Sunday, January 22, 2012

Fatwa Hukum Pelaburan ASN/ASB/Seumpamanya di Beberapa Negeri di Malaysia


Berikut dipanjangkan fatwa-fatwa tentang Hukum Pelaburan Amanah Saham Nasional (ASN) dan Amanah Saham Bumiputera (ASB) dan seumpamanya daripada beberapa negeri di Malaysia. Oleh itu, tepuk dada tanya iman masing-masing sama ada hendak meneruskan pelaburan dalam ASN/ASB dan seumpamanya atau berhenti. Ingat! amalan di dunia akan dipersoalkan di akhirat.
Dari Abi Barzah al-Aslami r.a., dari Nabi s.a.w, sabdanya:
“Tidak berganjak kedua kaki seseorang dari tempat berdirinya di mahkamah Tuhan pada hari qiamat sehingga ia disoal tentang umurnya pada perkara apakah ia habiskan dan tentang ilmunya untuk apakah ia gunakan dan tentang harta bendanya dari manakah ia dapati dan pada perkara apakah ia belanjakan dan juga tentang tubuh badannya pada perkara apakah ia susutkan kemudaan dan kecergasannya?”
Empat perkara itu ialah:
1. Umur – dimana dihabiskan, untuk maksiat atau taat, nabi memuji orang yang “tua dalam Islam” iaitu orang-orang yang Islam sejak dari muda lagi. Kata Nabi lagi, Orang yang paling baik ialah orang yang umurnya panjang dan lidahnya masih basah berzikir mengingati Allah. Dalam satu hadith qudsi, Allah bersama orang yang berzikir selagi bibir mulutnya masih bergerak mengingatinya.
2. Ilmu – Antara ilmu yang wajib dipelajari ialah Fardhu Ain seperti ilmu akidah iaitu ilmu tentang ketuhanan. Selain itu apa-apa ilmu yang dipelajari hendaklah diamalkan walaupun ianya hanya sunat, (sekurang-kurangnya sekali seumur sehidup-bagi perkara sunat)
3. Harta – Setiap sen yang diterima dan dibelanjakan akan ditanya tentang halal haramnya.
4. Tubuh Badan – Akan ditanya “dimanakah tuanya badan”, samada tubuh badan diguna untuk perkara baik atau jahat.
1. Penilaian Semula Hukum Pelaburan Amanah Saham Nasional (ASN ) Dan Amanah Saham Bumiputera (ASB ) Dan Seumpamanya (Selangor)
Tarikh Keputusan:
12 Apr, 2011

Keputusan:
Setelah meneliti setiap pandangan ahli mesyuarat dan hujah-hujah yang dikemukakan, maka Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor Kali Ke 2/2011 yang bersidang pada 12hb. April 2011M bersamaan 8 Jumadal Ula 1432H telah bersetuju memutuskan bahawa Pelaburan Amanah Saham Nasional (ASN), Amanah Saham Bumiputera (ASB) dan Seumpamanya adalah tidak halal kerana masih belum menepati hukum syarak dengan alasan seperti berikut:-
Skim Amanah Saham Nasional ( ASN ) dan Amanah Saham Bumiputera ( ASB ) secara jelas terlibat dalam aktiviti pelaburan yang bercampur-campur antara patuh syariah dan tidak patuh syariah sebahagian besarnya adalah daripada sektor kewangan konvensional. Ini berdasarkan hadis riwayat Jabir Al-Ja’fi daripada Ibnu Mas’ud:
ما اجتمع الحلال والحرام إلاغلب الحرام الحلال
Maksudnya : “ Tidak bercampur antara yang halal dan yang haram, melainkan mengalahkan yang haram atas yang halal.”
Skim Amanah Saham Nasional (ASN) dan Amanah Saham Bumiputera (ASB) diklasifikasikan sebagai dana unit amanah tidak patuh syariah oleh Majlis Penasihat Syariah Suruhanjaya Sekuriti kerana terlibat dalam pelaburan tidak lulus syariah iaitu pelaburan dalam kaunter perbankan konvensional berteraskan faedah melalui Maybank dan pasaran wang.
Sumbangan kepada tidak patuh syariah adalah terbesar yang tidak bertepatan dengan kehendak syarak serta kadar yang berubah-ubah ini menyukarkan pelabur untuk membuat pembersihan terhadap hasil dividen.
2. Hukum ASN/ASB Majlis Fatwa Kebangsaan Pelaburan Dalam ASN, ASB Dan Seumpamanya
Keputusan:
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-80 yang bersidang pada 1 – 3 Februari 2008 telah membincangkan Pelaburan Dalam ASN, ASB Dan Seumpamanya. Muzakarah telah memutuskan seperti berikut:
Setelah mendengar taklimat dan penjelasan serta meneliti keterangan, hujah-hujah dan pandangan yang dikemukakan, Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa bagi menjaga kepentingan dan maslahah umat Islam serta mengelakkan kemudharatan yang lebih besar, hukum melabur dalam skim Amanah Saham Nasional (ASN) dan Skim Amanah Saham Bumiputera (ASB) serta dividen atau bonus yang diterima adalah harus.
Keterangan/Hujah:
Hifz al-mal merupakan salah satu masalah daruriyah yang perlu diberi perhatian serius oleh pemerintah. Soal kekukuhan ekonomi umat adalah merupakan salah satu faktor penting kepada penerusan kemajuan umat Islam. Islam menegah umatnya menjerumuskan diri dalam kemudharatan dan kefakiran yang boleh menggugat kekuatan ummah.
Setiap hukum yang diputuskan perlu memenuhi tuntutan keadilan, maslahah dan menghindar daripada kerosakan dan keruntuhan yang lebih besar. Dalam hal ini, Maybank adalah satu institusi perbankan Islam terbesar di Asia Pasifik. Sekiranya PNB melepaskan pegangan dalam Maybank, ia bukan hanya akan meruntuhkan ekonomi pemegang saham yang majoriti adalah orang Melayu Islam, bahkan ia juga akan memberi kesan besar kepada situasi ekonomi negara dan banyak organisasi berkaitan orang Islam. Begitu juga peluang pekerjaan yang melibatkan 16,531 kakitangan Bumiputera Islam juga akan turut terjejas
Dalam menentukan hujah keharusan Islam dalam pelaburan ASN dan ASB ini, adalah tidak tepat hujah bersandarkan maslahah ummah ditafsirkan sebagai mengenepikan prinsip-prinsip Islam kerana maslahah juga adalah prinsip Islam yang perlu dipegang dalam penentuan sesuatu hukum.
Prinsip pensyariatan Islam yang telah digariskan iaitu kewajipan menjaga lima(5) perkara iaitu agama, nyawa, akal, zuriat dan keturunan serta harta benda perlu dipertahankan kerana ia menjadi tunjang kehidupan seluruh umat Islam. Sekiranya terjejas salah satu daripada perkara ini, maka umat Islam akan ditimpa kehinaan yang akan menjejaskan agama dan kehidupan. Dalam hal ini, hukum ke atas pelaburan ASN dan ASB tidak boleh dilihat dari aspek tertentu sahaja, tetapi perlu mengambilkira semua kesan yang akan dihadapi oleh agama dan umat Islam.
Dalam isu pelaburan yang bercampur antara halal dan haram, telah jelas bahawa PNB tidak melabur dalam sektor yang berkaitan dengan arak dan judi. Percampuran hanya berlaku dalam sektor kewangan di mana 70% pelaburan menepati syariah, hanya 30% sahaja pelaburan dalam Maybank yang dianggap masih tidak comply dengan syariah. Dalam keadaan ini, pelaburan dalam sektor yang halal lebih banyak daripada yang haram. Menurut sebahagian besar fuqaha’ iaitu Hanafi, Maliki, Shafi‘i dan Hanbali, pendekatan untuk mengharuskan masyarakat Islam melabur dalam saham syarikat yang bercampur aktiviti halal dan haram adalah berasas. Ini kerana fuqaha’ muktabar tidak mengharamkan syarikat sedemikian ketika menilai status syarikat yang dikongsi oleh orang Islam dan bukan Islam.
PNB telah melaksanakan perubahan yang terbaik khususnya dalam aspek pelaburan bagi membolehkan penguasaan umat Islam. Dalam hal ini, maslahah umat Islam adalah penting dan kemudharatan yang lebih besar perlu dielakkan.
3. Hukum Pelaburan Dalam Skim ASB, ASN dan Pelaburan-Pelaburan Lain Seumpamanya (Kelantan)
Tarikh Keputusan:
27 Dec, 2009

Keputusan:
Mesyuarat Jemaah Ulama’ Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan yang bersidang pada 27 Disember 2009 telah membincangkan hukum pelaburan dalam skim ASB, ASN dan pelaburan-pelaburan lain seumpamanya. Mesyuarat telah membuat keputusan bersetuju menfatwakan bahawa hukum pelaburan dalam skim ASB, ASN dan pelaburan-pelaburan lain seumpamanya adalah diharuskan.
Keterangan/Hujah:
Keputusan ini di buat berdasarkan hujah-hujah berikut:
Harus melabur dalam skim ASB, ASN dan seumpamanya kerana kedudukan ekonomi orang melayu islam di Negara ini yang disifatkan berada ditahap darurat. Darurat yang dimaksudkan di sini ialah dilihat dari aspek ekonomi ummat secara keseluruhan bukan dari sudut individu.
Pelaburan skim-skim ini dalam sektor yang halal lebih banyak daripada yang haram. Hukum berurusan dengan orang yang mempunyai harta yang halal lebih banyak daripada yang haram adalah harus. Rasulullah S.A.W dan para sahabat berurusan dengan orang Musyrikin yang mereka maklum tidak meninggalkan perkara yang haram sama sekali. Sementara bermuamalat dengan orang yang memiliki harta haram lebih banyak dari yang halal adalah makruh selama tidak diketahui atau tidak ditentukan Ain yang haram tersebut.
4. Hukum Pelaburan Dalam Amanah Saham Nasional (ASN), Amanah Saham Bumiputra (ASB) dan Skim Yang Seumpamanya (WP)
Tarikh Keputusan:
27 May, 2008

Keputusan:
Hukum Pelaburan Dalam Amanah Saham Nasional (ASN), Amanah Saham Bumiputra (ASB) dan Skim Yang Seumpamanya beserta dengan dividen dan bonus yang diterima daripada pelaburan tersebut adalah harus.
Status Penwartaan:
Diwartakan
Tarikh Diwartakan:
10 Jul, 2008

Nombor Rujukan:
PMWP/100/20 Klt.2; PN(PU²)530/VI

Akta/Enakmen:
Seksyen 34 – Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah – Wilayah Persekutuan) 1993

Pelaburan Dalam ASN, ASB Dan Seumpamanya
Keputusan:
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-80 yang bersidang pada 1 – 3 Februari 2008 telah membincangkan Pelaburan Dalam ASN, ASB Dan Seumpamanya. Muzakarah telah memutuskan seperti berikut:
Setelah mendengar taklimat dan penjelasan serta meneliti keterangan, hujah-hujah dan pandangan yang dikemukakan, Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa bagi menjaga kepentingan dan maslahah umat Islam serta mengelakkan kemudharatan yang lebih besar, hukum melabur dalam skim Amanah Saham Nasional (ASN) dan Skim Amanah Saham Bumiputera (ASB) serta dividen atau bonus yang diterima adalah harus.
Keterangan/Hujah:
Hifz al-mal merupakan salah satu masalah daruriyah yang perlu diberi perhatian serius oleh pemerintah. Soal kekukuhan ekonomi umat adalah merupakan salah satu faktor penting kepada penerusan kemajuan umat Islam. Islam menegah umatnya menjerumuskan diri dalam kemudharatan dan kefakiran yang boleh menggugat kekuatan ummah.
Setiap hukum yang diputuskan perlu memenuhi tuntutan keadilan, maslahah dan menghindar daripada kerosakan dan keruntuhan yang lebih besar. Dalam hal ini, Maybank adalah satu institusi perbankan Islam terbesar di Asia Pasifik. Sekiranya PNB melepaskan pegangan dalam Maybank, ia bukan hanya akan meruntuhkan ekonomi pemegang saham yang majoriti adalah orang Melayu Islam, bahkan ia juga akan memberi kesan besar kepada situasi ekonomi negara dan banyak organisasi berkaitan orang Islam. Begitu juga peluang pekerjaan yang melibatkan 16,531 kakitangan Bumiputera Islam juga akan turut terjejas
Dalam menentukan hujah keharusan Islam dalam pelaburan ASN dan ASB ini, adalah tidak tepat hujah bersandarkan maslahah ummah ditafsirkan sebagai mengenepikan prinsip-prinsip Islam kerana maslahah juga adalah prinsip Islam yang perlu dipegang dalam penentuan sesuatu hukum.
Prinsip pensyariatan Islam yang telah digariskan iaitu kewajipan menjaga lima(5) perkara iaitu agama, nyawa, akal, zuriat dan keturunan serta harta benda perlu dipertahankan kerana ia menjadi tunjang kehidupan seluruh umat Islam. Sekiranya terjejas salah satu daripada perkara ini, maka umat Islam akan ditimpa kehinaan yang akan menjejaskan agama dan kehidupan. Dalam hal ini, hukum ke atas pelaburan ASN dan ASB tidak boleh dilihat dari aspek tertentu sahaja, tetapi perlu mengambilkira semua kesan yang akan dihadapi oleh agama dan umat Islam.
Dalam isu pelaburan yang bercampur antara halal dan haram, telah jelas bahawa PNB tidak melabur dalam sektor yang berkaitan dengan arak dan judi. Percampuran hanya berlaku dalam sektor kewangan di mana 70% pelaburan menepati syariah, hanya 30% sahaja pelaburan dalam Maybank yang dianggap masih tidak comply dengan syariah. Dalam keadaan ini, pelaburan dalam sektor yang halal lebih banyak daripada yang haram. Menurut sebahagian besar fuqaha’ iaitu Hanafi, Maliki, Shafi‘i dan Hanbali, pendekatan untuk mengharuskan masyarakat Islam melabur dalam saham syarikat yang bercampur aktiviti halal dan haram adalah berasas. Ini kerana fuqaha’ muktabar tidak mengharamkan syarikat sedemikian ketika menilai status syarikat yang dikongsi oleh orang Islam dan bukan Islam.
PNB telah melaksanakan perubahan yang terbaik khususnya dalam aspek pelaburan bagi membolehkan penguasaan umat Islam. Dalam hal ini, maslahah umat Islam adalah penting dan kemudharatan yang lebih besar perlu dielakkan.
5. Permasalahan Mengenai Wang Shubhah / Haram/ ASN (Pulau Pinang)
Keputusan:
Mesyuarat memutuskan bahawa:-
Semua wang shubhah/haram yang diserahkan kepada Baitul Mal adalah dianggap satu dan bersih. (Rujuk kitab al-Imam Yusuf al- Qaradhawi, m/s 411 & 412)
Wang riba/faedah adalah haram bagi diri pengusahanya sahaja.(Rujuk kitab yang sama m/s 410)
Keuntungan/Dividen Amanah Saham Nasional (ASN) dan Amanah Saham Bumiputra (ASB) adalah haram kerana pelaburan terbesarnya adalah Bank Ribawi.
6. ASN dan ASB (Terengganu)
Tarikh Keputusan:
1 Mar, 1993

Huraian Tajuk/Isu:
Membincang dan menimbangkan ASN dan ASB

Keputusan:
Setelah meneliti draf pandangan Jawatankuasa Fatwa Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu mengenai Amanah Sham Nasional dan Amanah Saham Bumiputra, mesyuarat telah membuat beberapa pembetulan adalah sebagaimana dalam lampiran berkembar. Berdasarkan kepada nas-nas daripada fuqaha Islam sebagaimana yang dipetik dan disenaraikan itu dan juga keadaan yang diamalkan oleh Amanah Saham Nasional/ Amanah Saham Bumiputra yang didapati tiada tempat yang nyata haramnya kecuali di dalam institusi kewangan yang dianggapkan ada syubahah di dalam Islam maka Jawatnkuasa Fatwa berpendapat melabur di dalam Skim Amanah Saham Nasional/ Amanah Saham Bumiputra adalah tidak haram.
Keterangan/Hujah:
Lampiran
Pandangan Jawatankuasa Fatwa Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Terengganu mengenai Amanah Saham Nasional dan Amanah Saham Bumiputra
1. Pendahuluan
Umum telah mengetahui bahawa negara Malaysia khasnya Semenanjung Tanah Melayu adalah kepunyaan orang-orang Melayu beragama Islam. Merekalah yang mempusakai Semenanjung Tanah Melayu ini dari nenek moyang mereka turun temurun hinggalah datangnya penjajah yang mengubah wajah negara ini. Di samping membuka pintu seluas-luasnya kepada pendatang-pendatang asing sehingga melemahkan dan mengurangkan kekuasaan asal orang-orang Melayu di negara mereka sendiri.
Selepas mencapai kemerdekaan, para pemimpin Melayu telah memikirkan cara-cara yang serius bagaimana hendak mengembalikan semula kedaulatan hak dan ketuanan asal orang-orang Melayu di negara ini.
Keadilan tidak mungkin berada di tempatnya sekiranya tahap pencapaian ekonomi orang-orang Melayu dan tahap ketinggian pendidikan orang-orang Melayu tidak dibela. Keadaan ketidak adilan yang wujud menyebabkan negara menjadi pincang dan canggung buat selama-lamanya. Di samping itu ditakuti pula akan timbul perasaan tidak puashati yang meluap-luap di kalangan orang-orang Melayu yang mana akan membara terus-menerus dan di suatu masa nanti menyebabkan retak membawa belah. Oleh yang demikian berkewajipanlah pemimpin-pemimpin Melayu berusaha dan berikhtiar seberapa daya dan upaya mereka membela dan memenuhi hasrtat pembelaan ekonomi dan pendidikan orang-orang Melayu dengan apa cara dan apa jalan pun termasuklah melalui penubuhan Amanah Saham Nasional dan Amanah Saham Bumiputra.
2. Pengenalan Amanah Saham Nasional dan Amanah Saham Bumiputra
Skim Amanah Saham Nasional (Skim ASN) ialah suatu rancangan kerajaan untuk mencapai salah satu daripada matlamat dasar ekonomi baru, iaitu menyusun semula masyarakat menerusi pemilikan syarikat sekurang-kurangnya 30% daripada sektor ekonomi negara.
Pada awal 1970an, kerajaan menerusi Kementerian Perdagangan dan perindustrian telah memperuntukan saham-saham kepada orang-orang perseorangan (Bumiputra) sebagai usaha meningkatkan pemilikan Bumiputra di sektor syarikat. Malangnya, sebahagian besar daripada saham-saham ini telah dijual di pasaran terbuka intuk meraih kenaikan modal. Ini sudah tentu menjejaskan matlamat kerajaan.
Untuk menentukan saham-saham ini dipegang oleh masyarakat Bumiputara untuk tempoh yang lebih panjang, satu bentuk pemindahan saham secara tidak langsung atau ‘indirect’ telah dirancangkan.
Pada awal 1978, kerajaan telah menubuhkan Yayasan Pelabuaran Bumiputra. Yayasan ini diamanahkan dengan tanggungjawab mempercepatkan usaha pemilikan Bumiputra melalui korporat atau syarikat yang kian berkembang.
Untuk tujuan ini, kerjaan telah menubuhkan sebuah syarikat pelaburan yang dimiliki sepenuhnya, iaitu Permodalan Nasional Berhad. Tugas utama Permodalan Nasional Berhad ialah memilih adan membeli saham syarikat-syarikat yangg berpotensi dan mempunyai ‘track record’ yang positif. Selain daripada itu, Permodalan Nasional Berhad bertindak sebagai gedung saham yang mana sahamnya (dari pelbagai sumber) dipindahkan kepada Skim Amanah Saham Nasional yang menjualkan unit-unitnya kepada masyarakat Bumiputra.
Ini bermakna saham-saham yang dipegang oleh Permodalan Nasional Berhad adalah secara amanah. Saham-saham ini kemudiannya diagihkan kepada Bumiputra menerusi Skim Amanah Saham Nasional. Dengan cara ini sebahagian besar daripada Bumiputra dapat menyertai dan menerima manafaat sebagai pemilik dan pemegang (untuk tempoh yang lebih panjang) oleh Bumiputra.
Skim Amanah Saham Bumiputara pula diwujudkan adalah sebagai satu skim tambahan untuk masyarakat Bumiputra terus menyimpan dan melabur di dalam pelaburan saham amanah demi untuk meningkat dan mengekalkan pegangan ekonomi Bumiputra di sektor syarikat.
Walaupun Skim Amanah Saham Bumiputra mempunyai ciri-ciri dan struktur bentuk yang sama seperti Amanah Saham Nasional yang ada sekarang tetapi terdapat dua perbezaan yang utam. Pertamanya, had pelaburan maksimum yang dibenarkan di dalam Skim Amanah Saham Bumiputra adalah 100,000 unit bagi ekaun dewasa. Kedua, had umur yang layak melabur di dalam Skim Amanah Saham Bumiputra adalah 12 tahun ke atas. Keistimewaan di dalam skim Amanah Saham Bumiputara ini adalah untuk memberi peluang lebih ramai masyarakat Bumiputra melabur di dalam Saham Amanah di samping mendidik budaya menyimpan, terutamanya di kalangan pelajar-pelajar Bumiputra.
Dalam masalah pembelian saham dalam Amanah Saham Nasional dan Saham Bumiputra pihak pengurusan tidak menggalakkan pelabur-pelabur membuat pinjaman memandangkan pelaburan dalam Skim Saham Amanah adalah pelaburan jangka panjang. Oleh itu adalah baik pelaburan dibuat melalui simpanan sendiri.
Selain dari itu pihak pengurusan Amanah Saham Nasional dan Amanah Saham Bumiputra menjelaskan bahawa pihaknya akan terus memastikan pelaburannya tidak terlibat dalam pelaburan perjudian dan minuman keras.
Pihak pengurusan Amanah Saham Nasional dan Amanah Saham Bumiputra juga menjelaskan bahawa dalam konsep pelaburan, atau apa-pa sahaja urusniaga yang berkaitan dengannya, penglibatan bank dan insuran memang tidak dapat dielakkan kerana ia merupakan institusi yang membantu segala urusniaga dan bank memainkan peranan yang besar dalam ekonomi negara.
Pelaburan Amanah Saham Nasonal dan Amanah Saham Bumiputra dipelbagaikan dalam beberapa sektor bagi menentukan portfolio Skim Amanah Saham Nasonal dan Amanah Saham Bumiputra sentiasa kukuh dan memberi pulangan yang memuaskan. Jumlah pelaburan Amanah Saham Nasonal dan Amanah Saham Bumiputra sehingga 31 Disember 1991 mengikut sektor adalah seperti berikut:-
Amanah Saham Nasional
*********************
Sektor Jumlah Kos
($) Jumlah
Perindustrian
Perladangan
Perlombongan
Harta Benda
Kewangan 1,130,345,274
621,416,286
76,850,015
245.921,365
354,193,552 46.54
25.59
3.16
10.13
14.58
JUMLAH 2,428,726,492 100.00

Amanah Saham Bumiputra
**********************
Sektor Jumlah Kos
($) Jumlah
Perindustrian
Perladangan
Perlombongan
Harta Benda
Kewangan 3,531,243,081
2,415,952,076
464,727,028
661,432,704
2,718,474,813 36.06
24.67
4.75
6.76
27.76
JUMLAH 9,791,829,702 100.00

Secara terperinci syarikat-syarikat yang diceburi oleh Amanah Saham Nasional dan Amanah Saham Bumiputra berdasarkan sektor seperti tersebut di atas adalah sebagaimana lampiran berkembar.
Dari segi kenyataan di atas persoalan yang berkaitan ialah bermuamalah dengan bank atau sektor kewangan yang mana sektor kewangan itu ada melibatkan urusan kewangan yang bercampur antara halal dan haram.
3. Pandangan Islam mengenai muamalah kewangan yang bercampur Halal dan Haram :
Islam sentiasa menggesa supaya dipertahankan lima perkara iaitu :
- Memelihara agama
- Memelihara nyawa atau jiwa raga
- Memelihara akal
- Memelihara zuriat keturunan, dan
- Memelihara harta benda

Kerana dengan terdirinya lima perkara ini menjadi tonggak kepada keteguhan kedudukan umat Islam serta kehidupan mereka yang layak sebagi satu umat. Sekiranya terjejas salah satu daripada lima perkara ini maka umat Islam akan ditimpa kehinaan yang akan menjejaskan agama dan kehidupan kaum bangsa mereka khususnya kehidupan di dalam masyarakat majmuk yang mempunyai persaingan yang hebat di Malaysia ini iaitu ‘Siapa cepat dia dapat, siapa kuat dia berkuasa’. Umat Islam perlu mempertahankan kehidupan mereka dalam dunai yang penuh dengan persaingan dan kemajuan supaya umat Islam menjadi suatu umat yang kuat dalam ekonomi dan pelajaran.
Para fuqaha telah menjelaskan mengenai hukum-hukum kira bicara (bermuamalah) dalam urusan kewangan yang bercampur halal haram :-
(1) Di dalam Kitab Al-Fatawa Kubra Fiqhiah LiIbnu Hajar Al-Haitami juzuk ketiga muka surat 372 ada menyebut :-
فمعتمد مذهبنا أن معاملة من اكثر امواله حرام مكروهة لا محرمة۔
Maksudnya : Dalam pendapat yang muktamad dari Mazhab kita bahawa berurusan dengan orang yang kebanyakan hartanya haram hukumnya makruh tidaklah haram.
(2) Di dalam Kitab Ihya’ Ulumud Din
)(احياء علوم الدين للغزالى مع شرح اتحاف السادة المتقين )
Juzuk 6 halaman 41 Matbaah Darul Fikri, Beirut, Imam Al-Gahzali telah menyatakan :-
Maksudnya : Demikian lagi orang yang mengetahui bahawa harta-harta dalam dunia ini telah bercampur aduk dengan benda-benda yang memangnya haram tidaklah memestikannya meninggalkan membeli belah dan memakan makanan, kerana yang demikian itu menjadi kesukaran, padahal tiada dalam agama itu kesukaran. Dari itu diketahui manakala dicuri perisai dan dicuri iba”ah (sejenis baju labuh) oleh salah seorang pada zaman Rasulullah dahulu tidaklah tertegah seseorang itu dari membeli perisai dan iba”ah di dunia ini, begitulah juga keadaannya dengan barang-barang lain yang terdapat di antara barang-barang yang dicuri. Demikian lagi diketahui bahawa terdapat di kalangan manusia itu orang yang berurusan dengan riba dari dirham dan dinar, tetapi Rasulullah dan orang ramai tidak meninggalkan dirham dan dinar sama sekali. Ringkas kata hanya sanya dunia ini akan terhapus dari benda-benda haram jika sekiranya manusia di dalam dunia dijadikannya maksum. Perkara ini mustahil. Jika perkara seperti ini tidak dimestikan di dunia ini seluruhnya tidaklah dimestikan juga pada mana-mana negeri pun kecuali dalam keadaan di mana apa yang berlaku itu begitu terhad di kalangan sekumpulan kecil masyarakat.

(3) Pada halaman 42 kitab yang sama, Al-Imam Al-Ghazali menyatakan :-
Maksudnya : bahagian ketiga, bahawa percampuran benda yang haram tidak diketahui juga jumlahnya dengan yang halal yang tidak diketahui jumlahnya, seumpama hukum harta benda di zaman kiti ini. Hingga katanya : Dan menurut pendapat yang kami melihat iaitu tidaklah haram dengan sebab percampuran ini diambil sesuatu daripadanya yang mungkin ianya haram dan mungkin ianya halal, kecuali didapati bersama harta itu satu tanda yang menunjukan ianya dari harta yang haram. Sekiranya tidak didapati pada harta itu apa-apa tanda yang menunjukan ianya dari harta yang haram, maka meninggalkannya itu dianggap sebagai warak, manakala mengambilnya pula hukumnya halal yang tidak menjadikan penggunanya itu fasik.
Berdasarkan kepada nas-nas daripada fuqaha” Islam sebagaimana yang dipetik dan disenaraikan itu dan juga keadaan sosio ekonomi umat Islam di negara ini serta kaedah pelaburan dan institusi yang diamalkan oleh Amanah Saham Nasional/ Amanah Saham Bumiputra yang didapati tiada tempat yang nyata haramnya kecuali di dalam institusi kewangan yang dianggap ada syubahah di dalam Islam maka Jawatankuasa Fatwa berpendapat melabur di dalam Skim Amanah Saham Nasional / Amanah Saham Bumiputra adalah tidak haram.

Sumber 

2 comments:

  1. mohon share ye saudara...btw,salam kenal..sy suka bc blog saudara..byk info berguna..;)

    ReplyDelete

Zikir Dan Doa Yang Baik Dibaca Pada Hari Arafah

  Walaupun umat Islam di Malaysia dan banyak lagi negara lain tidak dapat menghantar jemaah haji ke Tanah Suci, Mekah oleh kerana penularan ...