Sunday, April 14, 2013

Warning Health Signs To Look For In Your Eyes


Selain bahagian-bahagian badan yang lain, keadaan mata juga boleh dijadikan penunjuk kepada kesihatan seseorang yang tersembunyi atau tidak disedari. Ini merupakan penanda awal tentang sesuatu penyakit atau masalah kesihatan yang lain. Apabila tanda-tanda ini wujud, sebaik-baiknya segeralah dapatkan nasihat doktor dan rawatan yang sewajarnya.
Di antara penanda keadaan mata yang boleh digunakan bagi menunjukkan keadaan kesihatan, termasuklah:
1. Mata merah
Mata merah biasanya terjadi disebabkan oleh pembengkakan atau pembesaran salur darah di permukaan bahagian putih mata (sklera).
mata merah
Di antara faktor yang menyebabkan mata menjadi merah ialah:
* Sakit mata (conjunctivitis) – boleh dirawat dengan ubat mata atau titisan air saline.
* Alergi kepada sesuatu – ini juga boleh diubati dengan menggunakan titisan air saline dan hindari penyebab kepada alergi tersebut.
* Terdedah kepada udara panas dan kering.
* Terlalu lama terdedah kepada cahaya matahari yang terik.
* Terlalu lama menghadap skrin komputer sehingga menyebabkan mata menjadi tertekan (strain) – mata perlu direhatkan dari masa ke masa, jangan lihat skrin secara berterusan.
* Habuk
* Berenang dalam kolam berklorin tinggi.
* Terlalu banyak minum alkohol sehingga menyebabkan salur darah halus dalam mata mengembang dan kelihatan seperti berdarah.
* Demam yang agak kuat.
* Ada sesuatu benda yang masuk ke dalam mata.
* Terlalu lama memakai kanta pelekap mata.
* Jangkitan penyakit.
* Kecederaan mata.
* Batuk yang kuat – memberi tekanan kepada mata yang boleh menyebabkan mata menjadi merah.
2. Mata putih atau mata refleksi putih – Retinoblastoma (Rb)
Retinoblastoma adalah sejenis bentuk kanser mata dan mungkin juga menunjukkan kanser otak. Retinoblastoma sebenarnya ialah kanser yang berkembang di dalam sel-sel retina, iaitu tisu mata yang boleh dikesan oleh cahaya kerana terdapat refleksi cahaya putih yang jelas. Kebanyakannya (95-98%) dikesan pada kanak-kanak dan sebahagian mereka hidup sehingga dewasa.
mata retinoblastoma
Tanda-tanda biasa bagi retinoblastoma ialah:
* Pupil mata kelihatan tidak normal.
* Penglihatan semakin kabur.
* Mata menjadi merah atau gatal dengan glaucoma.
Kenapa terjadi retinoblastoma?
Di kalangan kanak-kanak, kebanyakan kes retinoblastoma adalah disebabkan oleh faktor genetik di mana terjadinya mutasi kromosom 13 iaitu pada gen RB1. Mutasi gen ini menyebabkan terjadinya kanser.
3. Gegelang putih di keliling iris mata (Corneal arcus)
Keadaan di mana terbentuknya gegelang putih di keliling iris mata atau dikenali juga sebagai Corneal arcus atau Arcus senilis corneae ialah sejenis penyakit kornea. Suatu gegelang berwarna putih, kelabu atau kebiruan terdapat di tepi kornea atau di depan tepi iris mata. Arka atau gegelang berwarna putih ini adalah disebabkan oleh pengumpulan fosfolipid dan kolesterol yang biasanya dikaitkan dengan paras lipid atau kolesterol yang tinggi dalam darah dan boleh membawa kepada penyakit jantung atau serangan sakit jantung.
mata gegelang putih
Ia biasanya terjadi di kalangan orang yang telah berumur (umur lebih daripada 60 tahun), tetapi jika ia terdapat di kalangan orang muda, ini menunjukkan penyakit atau gangguan dalam metabolisma lipid (lemak) dan menunjukkan tanda hiperkolesterolemia atau hiperlipidemia.
Selain itu, bintil-bintil kuning yang kecil di atas kulit kelopak mata juga menunjukkan pengumpulan kolesterol yang tinggi dalam darah.
4. Katarak
Katarak ialah keadaan di mana kanta mata menjadi kelabu kerana bahagian tengah-tengah pupil mata berwarna putih disebabkan oleh katarak. Ini secara beransur-ansur menyebabkan penglihatan semakin kabur dan boleh buta atau rabun jika dibiarkan tanpa dirawat. Keadaan buta atau rabun terjadi apabila kanta mata yang kelabu disebabkan katarak tadi menghalang cahaya masuk melaluinya untuk difokuskan di retina yang terletak di bahagian belakang mata. Oleh itu, retina tidak dapat menangkap atau menerima imej yang dihantar kepadanya.
mata katarak
Pengidap katarak juga bermasalah melihat warna, kontras, memandu kereta, membaca, mengenal muka orang, dan masalah dengan pantulan cahaya yang terang.
Di antara sebab atau faktor terjadinya katarak ialah:
a. Umur
Katarak ini biasanya dikaitkan dengan proses penuaan di mana semakin meningkat umur, pigmen kuning-coklat akan berkumpul di dalam lensa mata dan seterusnya menghalang penembusan cahaya melalui kanta dan ini memberi kesan ke atas penglihatan.
Proses ini dipercepatkan lagi jika seseorang itu mengidap penyakit darah tinggi, diabetes dan sebab-sebab lain seperti terdedah kepada toksin persekitaran, radiasi dan cahaya UV.
b. Genetik
Katarak juga berkait rapat dengan faktor genetik atau kromosom yang tak normal.
c. Radiasi
Cahaya UV terutamanya UV-B boleh menyebabkan katarak. Penipisan lapisan ozon, yang menahan pancaran UV berlebihan ke bumi, juga menyebabkan kadar pengidap katarak bertambah kerana paras cahaya UV di bumi meningkat. Kajian juga menunjukkan bahawa terdedah kepada ketuhar microwave meningkatkan risiko mendapat katarak. Pekerja yang terdedah kepada api panas secara terus seperti pekerja di relau atau peniup kaca juga berisiko tinggi mendapat katarak.
d. Merokok
Aktiviti merokok juga meningkatkan kadar katarak.
e. Ubat-ubatan
Pengambilan sesetengah ubat yang mengandungi steroid, seperti corticosteroids dan ubat asthma yang lain, dalam tempoh yang lama akan menggalakkan terjadinya katarak.
f. Kekurangan Iodin
Kekurangan iodin dalam badan juga boleh menyebabkan katarak.
g. Penyakit-penyakit lain
Penyakit-penyakit lain seperti diabetes Type-2, Rubella dan lain-lain juga boleh menyebabkan katarak.
Bagi mencegah terjadinya katarak, faktor risikonya perlu dihindari seperti kurangkan terdedah kepada UV-B dan merokok, Oleh itu, selalulah memakai cermin mata dengan perlindungan UV supaya risiko mendapat katarak mampu dikurangkan.
Cara rawatan katarak yang terbaik setakat ini ialah melalui pembedahan mata.

Daftar Streamyx, UNIFI, P1, Time Broadband, Line Telefon TM, Maxis Fibre dan Celcom Broadband anda secara online di sini dengan PERCUMA. 

Call/SMS/Whatsapp/Viber : 0192595019


No comments:

Post a Comment

Zikir Dan Doa Yang Baik Dibaca Pada Hari Arafah

  Walaupun umat Islam di Malaysia dan banyak lagi negara lain tidak dapat menghantar jemaah haji ke Tanah Suci, Mekah oleh kerana penularan ...