Friday, May 17, 2013

BSN umum pemenang hadiah perdana RM1juta hujung tahun


Kakitangan Bank Simpanan Nasional (BSN), Hazwani Mohd Pikri (kanan), Rashidah Abd. Razak dan Rugbeer Kaur Prittam Singh (tengah) bersama Hadiah Utama Cabutan Tempatan Sijil Simpanan Premium BSN bagi bulan Jun berupa sebuah kereta BMW 520i F10 yang bakal dicabut pada bulan hadapan ketika ditemui pada Pameran dan Festival Hari Guru 2013 di Kompleks Belia dan Sukan, Paroi, Negeri Sembilan, semalam.


SEREMBAN 16 Mei - Bank Simpanan Nasional (BSN) menawarkan hadiah istimewa RM1 juta kepada pemegang Sijil Simpanan Premium (SSP) bertuah menerusi cabutan perdana hujung tahun ini.

Naib Presiden Pembangunan Perniagaan Perbankan Islam BSN, Jalaluddin Mohd. Arif berkata, setakat ini, bank berkenaan sudah mempunyai seramai 1.2 juta pemegang SSP yang mewakili nilai RM2.1 bilion.

''RM1 juta berbentuk SSP ini merupakan hadiah perdana tahun ini, selain 44,573 hadiah bernilai RM16 juta yang ditawarkan menerusi cabutan tempatan dan bulanan yang diadakan sepanjang tahun.

''Pemenang bertuah hadiah perdana ini akan diumumkan pada 26 Disember, namun hadiah ini yang ditawarkan kepada pemegang SSP yang mempunyai simpanan minimum sebanyak RM3,000 sebelum tarikh cabutan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di ruang pameran BSN Pameran dan Festival Hari Guru di Kompleks Belia dan Sukan Paroi, di sini hari ini.
Jelasnya, program SSP itu merupakan salah satu usaha BSN untuk menggalakkan masyarakat menabung di samping memenangi hadiah menarik.

''Hanya dengan simpanan minimum RM10, pemegang SSP sudah layak untuk membawa pulang hadiah menarik setiap bulan seperti kereta mewah, motosikal, gajet, baucar barang kemas, termasuk SSP tambahan.

''Bagi cabutan bulan ini yang diadakan pada 25 Mei ini, hadiah utama cabutan tempatan adalah sebuah kereta jenis Toyota Camry bagi tempat pertama dan Proton Inspira bagi tempat kedua selain gajet seperti kamera, iPad, komputer tablet dan SSP bernilai RM150," ujarnya.

Katanya lagi, selain cabutan tempatan, BSN turut mengadakan cabutan bulanan di setiap negeri yang menawarkan hadiah seperti kereta Perodua Viva, motosikal, dan gajet elektronik.

Tambah Jalaludin, orang ramai juga berpeluang untuk memperoleh dividen melalui SSP edisi khas BSN yang menawarkan kadar keuntungan sehingga 2.42 peratus daripada jumlah nilai simpanan dalam tempoh yang ditetapkan.


No comments:

Post a Comment

Zikir Dan Doa Yang Baik Dibaca Pada Hari Arafah

  Walaupun umat Islam di Malaysia dan banyak lagi negara lain tidak dapat menghantar jemaah haji ke Tanah Suci, Mekah oleh kerana penularan ...