Saturday, May 18, 2013

Kahwin lewat rugikan sosioekonomi negara




Institusi kekeluargaan adalah isu penting terutama dalam konteks Malaysia sebagai negara Islam dan berciri ketimuran. Di peringkat masyarakat dan undang-undang negara, ia tidak mengiktiraf hubungan individu berlainan jantina yang hidup bersama tanpa ikatan perkahwinan. 

Ini termasuklah perkara hak dan tanggungjawab terutama sekali apabila timbul insiden kelahiran dan kematian. Pengiktirafan kepada institusi perkahwinan tidak hanya berkisar mengenai hubungan kekeluargaan semata-mata tetapi menyumbang kepada dasar pembangunan sosioekonomi negara. 
Hari ini, nilai kekayaan semata-mata tidak lagi menjadi ukuran utama bagi sesebuah negara. Nilai murni, kebahagiaan dan kesihatan mental menjadi ukuran pembangunan yang terkini di pelbagai negara termasuklah di negara maju. 


Antara data boleh ditekuni dalam konteks pembangunan sosial ialah kesuburan wanita di Malaysia. Pada 2007, kadar kesuburan jumlah bagi setiap 1,000 wanita ialah 2.3 dan menurun kepada 2.1 pada 2010. 

Mengikut Jabatan Perangkaan, kadar kesuburan jumlah merujuk kepada purata bilangan anak yang akan dilahirkan jika seseorang perempuan terus hidup sehingga akhir tempoh reproduktifnya.

Perubahan sosial

Walaupun berlaku peningkatan jumlah penduduk setiap tahun, arah aliran pertumbuhan ini adalah perlahan berdasarkan maklumat kadar kesuburan jumlah yang diperoleh. 
Dalam perspektif yang berbeza ia memberi gambaran terdapat perubahan sosial dan gaya hidup masyarakat yang mencetuskan insiden ini seperti berkahwin lewat pada umur produktif yang mungkin disebabkan kesedaran mengenai pendidikan tinggi semakin berkembang dalam kalangan masyarakat.

Lazimnya pelajar lepasan sekolah yang menyambung pengajian tinggi komited kepada pengajian mereka dan tidak cenderung untuk berkahwin. Namun, ada juga sebahagian daripada pelajar berkahwin dalam masa yang sama. 

Peningkatan kos sara hidup juga boleh menyebabkan individu cenderung untuk menunda perkahwinan dengan mencari pekerjaan atau mengambil masa mengumpul wang bagi tujuan perkahwinan.

Adaptasi arus Barat

Arus permodenan yang dibawa oleh Barat sedikit sebanyak telah diadaptasi oleh masyarakat kita. Hubungan tanpa perkahwinan dilihat lebih selamat dan menyeronokkan kerana tiada tanggungjawab yang perlu dipikul selain bebas untuk bertukar atau mempunyai ramai pasangan.

Islam sebagai cara hidup memandang tinggi kepada institusi kekeluargaan. Bahkan hidup berkeluarga adalah fitrah kejadian manusia.

Firman Allah SWT: Dan di antara tanda-tanda (yang membuktikan kekuasaan dan rahmat-Nya) bahawa Dia menciptakan untuk kamu isteri-isteri daripada jenis kamu sendiri, supaya kamu hidup bahagia dengannya dan dijadikan-Nya antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan kasihan belas. (Surah al-Rum) 

Antara perkara yang boleh mengukuhkan institusi keluarga ialah memastikan keperluan asasi masyarakat dipenuhi termasuk tempat tinggal yang sesuai bagi menjadikan rumah tempat berkasih sayang, menyemai budi dan menanam adab.

Kebahagiaan juga diperoleh menerusi kemantapan ekonomi keluarga. Tidak dinafikan wang adalah elemen penting untuk memperoleh kebahagiaan namun bukanlah mutlak. 

Firman Allah SWT: Kemudian setelah selesai solat, maka bertebaranlah kamu di muka bumi (untuk menjalankan urusan masing-masing), dan carilah limpah kurniaan Allah, serta ingatlah Allah sebanyak-banyaknya (dalam setiap keadaan), supaya kamu berjaya (di dunia dan di akhirat). (Surah Al-Jumuah, ayat 10).


No comments:

Post a Comment

Zikir Dan Doa Yang Baik Dibaca Pada Hari Arafah

  Walaupun umat Islam di Malaysia dan banyak lagi negara lain tidak dapat menghantar jemaah haji ke Tanah Suci, Mekah oleh kerana penularan ...