Saturday, May 24, 2014

Piala Thomas: Malaysia tewaskan Indonesia untuk melangkah ke final


KUALA LUMPUR: Malaysia melangkah ke perlawanan akhir Piala Thomas apabila menewaskan Indonesia 3-0 pada separuh akhir di New Delhi pada malam tadi.

Kejayaan Malaysia melangkah ke perlawanan akhir ini mengulangi pencapaian yang sama pada 12 tahun lalu di Guangzhou, China

Dengan kemenangan tersebut, Malaysia akan bertemu pasukan yang tidak disangka iaitu Jepun pada Ahad ini.

Jepun dalam perlawanan sebelumnya telah mengejutkan ramai dengan menewaskan juara bertahan China 3-0 dalam saingan separuh akhir sebelah petang.

Kemenangan Malaysia ini dilakar menerusi pemain perseorangan Datuk Lee Chong Wei dan Chong Wei Feng serta pasangan beregu, Tan Boon Heong-Hoon Thien How.

Chong Wei dilihat menang mudah ke atas pemain Indonesia, Tommy Sugiarto 21-19 dan 21-13 dalam masa 52 minit.

Manakala pasangan beregu negara, memenangi set pertama 21-19 sebelum kalah 18-21 pada set kedua dan seterusnya menang dalam set penentuan 23-21 yang berlangsung selama 55 minit menentang pasangan Mohammad Ahsan dan Hendra Setiawan.

Perseorangan kedua negara pula, Chong Wei Feng berjaya menundukkan Dionysiu Hayom Rumbaka dengan 21-10 dan 21-17 dalam masa 43 minit.

Menurut laporan Bernama, Chong Wei berkata secara keseluruhan, prestasi pasukan adalah baik terutamanya kejayaan Wei Feng yang memenangi semua perlawanannya pada penampilan sulung di kejohanan ini

"Kita akan melakukan yang terbaik di pentas final," kata Chong Wei.

Selain itu dalam laporan yang sama, Boon Heong berkata kepada Bernama bahawa keyakinan dirinya bertambah selepas mengalahkan beregu terbaik dunia dari Indonesia itu.

"Semangat kita memang cukup bagus hari ini. Walaupun kita kalah set kedua tetapi tidak menyerah kalah. Walaupun kami ada keyakinan sekarang tetapi kami perlu lebih bersedia untuk berdepan dengan Jepun," katanya kepada Bernama.

12 tahun yang lalu, Malaysia tewas 2-3 menentang Indonesia dalam pentas final Piala Thomas di Guangzhou, China.

Skuad negara sekali lagi mempunyai peluang untuk menamatkan kemarau selama 22 tahun untuk menjulang piala berprestij itu yang dimenangi di Kuala Lumpur pada 1992.

No comments:

Post a Comment

Zikir Dan Doa Yang Baik Dibaca Pada Hari Arafah

  Walaupun umat Islam di Malaysia dan banyak lagi negara lain tidak dapat menghantar jemaah haji ke Tanah Suci, Mekah oleh kerana penularan ...