Tuesday, August 11, 2015

Matlamat kurang jurang pendapatan gagal, orang kaya bertambah kaya, kata pakar




Jurang pendapatan antara golongan berpendapatan tinggi dan rendah di negara ini semakin melebar, kata seorang pakar ekonomi yang juga pemikir tempatan biarpun jurang pendapatan isi rumah semakin mengecil.
Dr Muhammed Abdul Khalid berkata beberapa petunjuk mengenai keadaan ini adalah bagaimana jualan kereta dan rumah mewah semakin meningkat dan masih rancak berbanding jualan terhadap produk kos pertengahan serta rendah.

Jualan bagi barangan mewah masih berterusan buat masa ini ketika sentimen pengguna secara keseluruhannya adalah lemah kerana kadar inflasi dan ekonomi yang perlahan, kata Muhammad, yang bertugas di Institut Penyelidikan Khazanah.

"Jualan kereta di Malaysia menunjukkan penurunan tetapi bagi kereta jenama Porsche ia meningkat kepada 180%. Proton turun 22% manakala Naza turun sebanyak 100%, tetapi bagi jualan kereta jenama Mercedes ia merekodkan peningkatan sebanyak 44%.

"Kereta mewah terjual umpama pisang goreng panas manakala kereta kos rendah jatuh. Orang kaya tidak menghadapi masalah. Yang pendapatan rendah mempunyai masalah," kata Muhammad di luar Persidangan Pemimpin Pelajar Malaysia di Kuala Lumpur, kelmarin.

Perkara yang sama katanya, berlaku apabila lebih banyak rumah mewah sedang dibangunkan dan dijual berbanding dengan rumah kos pertengahan dan rendah.

Putrajaya berhasrat mengurangkan jurang pendapatan antara 40% terendah isi rumah dan teratas 20% isi rumah sebagai sebahagian daripada Rancangan Malaysia ke-11 (RMK11).

Kumpulan pakar mempersoalkan adakah RMK11 mampu mencapai matlamatnya dengan ekonomi negara perlu berkembang secara konsisten pada kadar 5% setiap tahun hingga 2020.

Pakar ekonomi baru-baru ini meramalkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia bagi 2015 akan berada pada kadar 4% atau mungkin lebih tinggi sedikit daripada itu.

Kekayaan tertumpu

Pada forum itu juga, Muhammad berkata pertumbuhan purata gaji individu pada tahun lalu hanya mencatat antara 2% dan 3%.

Di Selangor, pertumbuhan pendapatan individu keseluruhannya adalah negatif ketika kenaikan kos sara hidup mengatasi jumlah pertambahan pendapatan.

Seorang pekerja biasa di Selangor menyaksikan pendapatannya meningkat sebanyak purata RM20 sebulan. Namun, apabila harga petrol naik sebanyak 10 sen, ini diterjemahkan kepada kenaikan kira-kira RM32 dalam perbelanjaan bahan api itu sebulan, katanya.

"Jadi pada dasarnya, kenaikan dalam pendapatan bagi pekerja di Selangor secara puratanya dihapuskan oleh peningkatan dalam perbelanjaan," kata Muhammad dalam forum pemimpin pelajar itu.

Pendapatan individu diperoleh daripada upah dan aset yang dimiliki setiap pekerja.

Pendapatan isi rumah merujuk kepada jumlah pendapatan daripada gaji, aset dan bantuan kebajikan seperti skim Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) untuk satu isi rumah.

Menurut Jabatan Perangkaan, jumlah penduduk bagi sebuah rumah di Malaysia secara puratanya 4.4 ahli keluarga.

Walaupun jurang pendapatan antara isi rumah di Malaysia semakin berkurangan, Muhammad berkata, masih terdapat perbezaan yang sangat besar antara pendapatan isi rumah bergantung kepada kawasan.

Pendapatan dan taraf hidup di Kuala Lumpur, misalnya, adalah setanding dengan Korea Selatan, tetapi masih rendah di negeri yang miskin seperti Kelantan dan Kedah.

"Rakyat Kelantan misalnya mempunyai tahap pendapatan yang lebih kurang sama dengan penduduk di Sri Lanka."

Jika jurang ini berterusan, maka matlamat Malaysia untuk menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi menjelang 2020 tidak akan tercapai malah ia hanya akan dirasai mereka yang tinggal di kawasan tertentu seperti Kuala Lumpur dan Selangor. – 11 Ogos, 2015.

No comments:

Post a Comment

Zikir Dan Doa Yang Baik Dibaca Pada Hari Arafah

  Walaupun umat Islam di Malaysia dan banyak lagi negara lain tidak dapat menghantar jemaah haji ke Tanah Suci, Mekah oleh kerana penularan ...