Sunday, September 23, 2012

Gallstones


Batu karang pundi hempedu ialah partikel pepejal terbentuk daripada enapan cecair hempedu di dalam pundi hempedu.
Pundi hempedu pula ialah organ yang berbentuk poket di bahagian atas sebelah kanan abdomen, iaitu di bawah hati (hepa) (di bawah tulang rangka sebelah kanan). Ia merupakan sebahagian daripada sistem hati (hepa) dan pankreas yang menghasilkan cecair hempedu dan enzim penghadaman.
Cecair hempedu ialah bendalir yang dihasilkan oleh hati bagi membantu menghadamkan lemak yang kita makan. Ia mengandungi beberapa bahan seperti kolesterol dan bilirubin (produk hasil daripada penguraian sel darah yang tua dalam hati). Cecair hempedu ini disimpan di dalam pundi hempedu sehingga ia diperlukan.
Bagaimanakah pundi hempedu berfungsi?
Apabila seseorang itu makan makanan yang berlemak dan berkolesterol tinggi, pundi hempedu akan mengecut dan mengeluarkan cecair hempedu ke dalam duodenum (usus kecil hadapan) melalui duktus hempedu sepunya. Kemudian, cecair hempedu ini akan membantu proses penghadaman lemak tersebut.
Terdapat 2 jenis batu karang pundi hempedu:
1. Batu karang kolesterol
2. Batu karang pigmen

1. Batu karang kolesterol
Jenis ini yang paling biasa berlaku, merangkumi 80% daripada semua kes batu karang pundi hempedu. Ia terjadi disebabkan terlalu banyak kolesterol terkumpul dalam cecair hempedu.
2. Batu karang pigmen
Jenis ini terjadi apabila bilirubin berlebihan dalam cecair hempedu.
Saiz batu karang pundi hempedu berbeza-beza, dari saiz kecil seperti lumpur hingga sebesar bola golf.
Biasanya, batu karang pundi hempedu tidak mendatangkan masalah jika jumlahnya sedikit dan saiznya kecil, tapi apabila jumlahnya banyak atau terlalu besar, ia akan menyebabkan kesakitan apabila pundi hempedu perlu merembeskan cecair hempedu bagi menghadamkan makanan berlemak atau apabila batu karang ini bergerak keluar daripada pundi hempedu. Keadaan akan menjadi bertambah serius apabila batu karang ini menyekat mana-mana duktus (saluran) yang menyambungkan pundi hempedu, hati dan pankreas dengan duodenum (usus kecil hadapan). Apabila ini berlaku, ia boleh menyebabkan cecair hempedu atau enzim penghadaman lain tersekat di dalam duktus, dan akhirnya akan menyebabkan keradangan, pembengkakan dan kesakitan yang amat sangat, infeksi, dan kerosakan organ pankreas yang akan menyebabkan kesakitan teruk. Jika keadaan ini tidak dirawat, ia boleh menyebabkan kematian.
Simptom batu karang pundi hempedu
Biasanya batu karang dalam pundi hempedu tidak menunjukkan sebarang simptom kecuali apabila telah berlakunya komplikasi. Di antara simptom yang biasa ialah sakit di bahagian atas sebelah kanan abdomen yang dikenali sebagai serangan batu karang pundi hempedu. Serangan ini boleh berlaku setiap beberapa hari, minggu, bulan atau mungkin tahun. Kesakitan ini mula dirasai dalam masa 30 minit selepas mengambil makanan berlemak atau berminyak. Rasa sakitnya berbeza-beza sama ada teruk, kurang teruk atau sedikit dan ia biasanya berlanjutan dari 1 hingga 5 jam. Sakit ini boleh merebak ke bahu atau belakang sebelah kanan. Serangan ini biasanya berlaku pada waktu malam dan selalu mengejutkan pesakit dari tidur.
Simptom lain termasuklah pening, muntah-muntah, demam, makanan tak hadam, angin, jaundice (sakit kuning) dan rasa sakit berpanjangan.
Cara untuk mengurangkan kesakitan ini ialah dengan:
1. Minum air putih sahaja bagi merehatkan pundi hempedu daripada merembeskan cecair hempedu.
2. Hindari pengambilan makanan berlemak dan berminyak.
3. Ambil ubat tahan sakit, seperti acetaminophen (tylenol, dsb.) jika terlalu sakit.

Perlu diingat bahawa diet dengan makanan rendah lemak atau rendah kolesterol hanya dapat menghindari simptom yang ditunjukkan di samping dapat mengurangkan kesakitan, tetapi ia tidak dapat menghalang pembentukan batu karang di dalam pundi hempedu tersebut.
Oleh itu, sebagai langkah berjaga-jaga dan bagi mengelakkan kesakitan disebabkan batu karang dalam pundi hempedu, hindarilah makanan yang berlemak atau berminyak dan yang tinggi kandungan kolesterolnya.
Semoga bermanfaat…

No comments:

Post a Comment

Zikir Dan Doa Yang Baik Dibaca Pada Hari Arafah

  Walaupun umat Islam di Malaysia dan banyak lagi negara lain tidak dapat menghantar jemaah haji ke Tanah Suci, Mekah oleh kerana penularan ...