KUALA LUMPUR 28 April - Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyertakan gambar kenderaan yang didapati melanggar undang-undang jalan raya di kawasan mempunyai rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dalam setiap notis yang dihantar kepada pesalah trafik mulai 1 Mei ini.
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Khalid Abu Bakar berkata, gambar tersebut akan diletakkan di bawah kaki notis yang dihantar dan orang ramai boleh menyatakan bantahan jika mendapati kenderaan tersebut bukan miliknya.
"Kalau ada yang dakwa itu bukan kenderaan mereka (berdasarkan gambar), sila kemukakan bukti di mana-mana kaunter trafik," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini hari ini.
Khalid memberitahu, kaedah tersebut diguna pakai bagi semua kesalahan lalu lintas asalkan gambarnya dirakam melalui CCTV termasuk memandu melebihi had laju, tidak memakai tali pinggang keledar dan membuat pusingan di kawasan yang tidak dibenarkan.
Dalam perkembangan lain, Khalid berkata, orang ramai boleh membuat aduan jika masih ada anggota polis yang bertugas di balai-balai polis enggan menerima laporan yang dibuat.
Beliau berkata, pihaknya tidak akan teragak-agak mengenakan tindakan tegas terhadap mana-mana pegawai dan anggota polis yang enggan menerima laporan dibuat oleh pengadu biarpun di luar kawasan seliaan mereka.
Menurutnya, perkara tersebut dibangkitkan dalam mesyuarat 'Penyampaian Pasukan Khas' bagi mengurangkan kes jenayah yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Putrajaya hari ini.
"Perkara ini (enggan menerima laporan) sudah banyak kali kita sebut tetapi hari ini, saya ingin menyatakan lagi bahawa masyarakat boleh membuat laporan polis di mana-mana balai polis mengenai apa-apa perkara.
"Saya ingin mengingatkan anggota saya bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang masih lagi tidak mengikut arahan yang kita keluarkan iaitu enggan menerima laporan," katanya.
No comments:
Post a Comment