Saturday, May 7, 2011

Barca hampiri kejuaraan

PEMAIN Barcelona meraikan kejayaan mara ke final Liga Juara-Juara selepas menewaskan Real Madrid di Camp Nou, Selasa lalu.

Kemenangan esok bakal berikan takhta Liga Sepanyol 

BARCELONA: Barcelona yang masih segar dengan kejayaan ke final Liga Juara-Juara Eropah berdepan perlawanan tetangga penting menentang Espanyol esok yang bakal memberikan mereka kejuaraan Liga Sepanyol.



Berbaki empat perlawanan, Barcelona mempunyai pendahuluan lapan mata di depan Real Madrid, lawan yang ditewaskan dalam saingan Eropah dan bertandang ke Sevilla, hari ini.
Jurulatih Barcelona, Josep Guardiola meraikan kejayaan ke final Liga Juara-Juara di Nou Camp bersama pemainnya Selasa lalu, tetapi sedar dia perlu membawa mereka berpijak di bumi nyata. 

Hanya selepas kejuaraan Liga Sepanyol sah dimenangi, barulah jurulatih itu akan membenarkan barisan pemain bintangnya memikirkan mengenai detik berdepan Manchester United pada final Liga Juara-Juara di Wembley, 28 Mei ini. 

“Kami perlu bersedia untuk perlawanan liga dan diharap kami mendapat beberapa pemain yang kembali cergas,” kata Guardiola. 

“Ia menjadi perlawanan penting Ahad ini dan kemenangan akan membawa kami lebih dekat untuk memenangi kejuaraan. Kejuaraan liga adalah sasaran utama kerana ia memberi kami lebih kredibiliti.” 
Mengenai cabaran berdepan United, Guardiola mengimbas detik lebih jauh daripada hujung minggu ini dan Wembley di mana dia bermain dalam skuad Barcelona 1992 yang kali pertama menghadiahkan kejuaraan Piala Eropah kepada kelab itu. 

“Apapun, ia adalah Stadium Wembley yang baru, maka tidaklah begitu istimewa untuk kembali ke sana. Ia menjadi satu peluang bagi kami mempamer cara permainan bola sepak kami, sentiasa memegang bola dan menggerakkannya secepat mungkin.” 

Espanyol bergelut sejak Krismas lalu dan berada empat mata daripada kelayakan ke Eropah walaupun menewaskan pencabarnya Athletic Bilbao hujung minggu lalu. – AFP 

No comments:

Post a Comment

Zikir Dan Doa Yang Baik Dibaca Pada Hari Arafah

  Walaupun umat Islam di Malaysia dan banyak lagi negara lain tidak dapat menghantar jemaah haji ke Tanah Suci, Mekah oleh kerana penularan ...