Thursday, May 19, 2011

Bezakan Raja Lawak, Maharaja Lawak

SALAH satu yang membezakan pertandingan lawak jenaka, Raja Lawak dan Maharaja Lawakialah para pesertanya. Raja Lawak dari musim pertama hingga kelima disertai oleh para peserta yang tiada nama mahupun pengalaman dalam bidang tersebut.

Sementara Maharaja Lawak pula menampilkan juara-juara daripada Raja Lawak sepanjang lima musim itu dan juga finalisnya. Ini bermakna, para peserta Maharaja Lawak lebih hebat dan popular. Sayangnya, para peserta pertandingan terbitan Astro Prima itu sekadar popular sahaja.
Kumpulan Jozan yang dianggotai oleh Johan dan Zizan yang selalu mendapat undian khidmat pesanan ringkas (SMS) paling tinggi setiap minggu. Walaupun ada masanya lawak mereka kelihatan lemau tetapi undian SMS para penonton tetap tinggi.

Perkara itu tidak menghairankan kerana Jozan mempunyai ramai peminat. Populariti itu mungkin diraih sepanjang mereka menjadi pengacara Raja Lawak beberapa musim yang lepas. Itu adalah kelebihan Jozan berbanding para peserta lain.

Walaupun kebanyakan komen para pengkritik tetap Maharaja Lawak terutamanya Mamat Khalid dan Ahmad Idham cukup bernas tetapi ia seolah-olah tidak memberi kesan. Ini kerana, 100 peratus kedudukan para pesertanya ditentukan oleh SMS.

Pendekatan sama turut digunapakai sewaktu Raja Lawak. Sepatutnya, Astro mewujudkan sedikit kelainan daripada segi pemilihan pemenang, misalnya dengan tidak menggunakan 100 peratus kuasa SMS di tangan penonton.
Untuk peringkat akhir Maharaja Lawak nanti Astro boleh memikirkan suatu kaedah yang lebih bagus dalam menentukan juara dan para pemenangnya yang lain. Undian SMS yang didominasi oleh para penonton selama ini 
haruslah dipecahkan.

Undi 50 peratus mungkin SMS daripada penonton, 30 peratus para pengkritik tetap, manakala 20 peratus lagi berdasarkan pemilihan juri-juri lain atau para penonton di studio. Ia bagi memberi keadilan buat para peserta lain yang mungkin kurang popular.

Sebagai pertandingan yang menawarkan hadiah wang tunai lumayan untuk juaranya yang berjumlah RM300,000 sepatutnya setiap peserta Maharaja Lawak diuji dengan sebetul-betulnya.

Namun, Astro seakan-akan ketandusan idea dan tema untuk dipersembahkan para pesertanya pada setiap Jumaat Gelanggang Maharaja Lawak yang disiarkan secara langsung mulai pukul 10 malam hingga 11.30 malam di Astro Warna.

Banyak tema yang boleh difikirkan bagi diterjemahkan oleh setiap peserta dengan gaya lawak masing-masing pada setiap minggu. Contohnya, tema lawak tentang masa lampau, pengacaraan, haiwan, berbahasa Inggeris dan sedutan filem Melayu.

Bagaimanapun, tiada tema khusus ditetapkan pada setiap minggu. Sebaliknya, selang seminggu Astro Prima memberi kebebasan kepada para peserta tampil dengan tema pilihan sendiri. Ia tidak mencabar para peserta untuk lebih kreatif dan berdaya saing.

Jika disediakan tema khusus, para penonton akan dapat melihat serta membezakan para peserta manakah yang mampu mempersembahkan idea-idea lawak yang betul-betul lucu.
Untuk meningkatkan lagi kualiti lawak dan bakat setiap peserta, para pengkritik seharusnya mempunyai kriteria-kriteria yang jelas atas setiap kritikan mereka itu. Contohnya, berapa peratus daripada segi idea, kelancaran, mesej di sebalik lawak mahupun gaya persembahan pesertanya.

Tanpa ada pemarkahan yang khusus maka, para peserta akan lebih tahu hala tuju lawak mereka. Setiap lawak yang dipersembahkan juga tidak sekadar lawak biasa. Sebaliknya, ia mampu merangkumkan elemen hiburan dan pendidikan di dalamnya.

Raja Lawak mahupun Maharaja Lawak seharusnya diperkemaskan dari semasa ke semasa. Agak merugikan jika sambutan para penonton yang semakin hebat terhadap pertandingan lawak jenaka ini tidak dipergunakan dengan sebaik-baiknya.

Rancangan ini telah membuktikan sambutannya kini melebihi pertandingan-pertandingan realiti televisyen lain termasuklah Akademi Fantasia yang dikatakan semakin merudum. Kalau tiada penambahbaikan maka tidak mustahil Maharaja Lawak juga mungkin akan mengalami nasib yang sama.

Sumber

No comments:

Post a Comment

Zikir Dan Doa Yang Baik Dibaca Pada Hari Arafah

  Walaupun umat Islam di Malaysia dan banyak lagi negara lain tidak dapat menghantar jemaah haji ke Tanah Suci, Mekah oleh kerana penularan ...