Monday, June 6, 2011

40,000 peluang pekerjaan baru

MSC Malaysia jangka kemunculan pelbagai bidang dalam lima tahun


MSC Malaysia, inisiatif teknologi maklumat nasional, dijangka mewujudkan sehingga 40,000 peluang pekerjaan baru dalam tempoh lima tahun akan datang, yang mana kebanyakannya pada peringkat pengurusan pertengahan. 

Ia berikutan kemunculan beberapa bidang baru yang perkenalkan syarikat yang beroperasi dan melabur di kawasan itu,


Sejak inisiatif itu diperkenalkan pada 1997, MSC Malaysia sudah melahirkan 118,000 pekerja di kalangan firma tempatan dan multinasional yang beroperasi di kawasan itu dengan 92 peratus terdiri daripada pekerja tempatan.


Ketua Operasi Multimedia Development Corporation (MDeC), Ng Wan Peng, berkata industri teknologi maklumat kini adalah antara sektor yang menawarkan gaji paling tinggi di Malaysia. 


Katanya pekerja dalam bidang itu memperoleh purata gaji RM4,740 sebulan, dua kali lebih tinggi daripada purata gaji kebangsaan iaitu RM2,300 sebulan. 
Katanya, ia menjadi daya tarikan utama untuk menarik kehadiran lebih ramai tenaga kerja berbakat, terutama golongan muda. 

“Di MSC Malaysia, kita berdepan arah aliran yang mana bekalan tenaga kerja dalam sektor ini adalah kurang berbanding jumlah pekerjaan yang ditawarkan, berbeza dengan situasi dalam sektor lain. 
“Kami juga melihat berlakunya peningkatan jumlah pekerjaan pada peringkat pengurusan pertengahan yang kini mewakili 40 peratus daripada peluang baru yang disediakan,” katanya ketika ditemui Berita Harian di Cyberjaya. 

Di luar lingkungan MSC Malaysia pula, pekerja dalam industri teknologi maklumat yang mewakili pelbagai sektor seperti perbankan, perkhidmatan dan kejuruteraan tahun lalu memperoleh purata gaji RM5,626 iaitu peningkatan sebanyak 6.6 peratus daripada RM5,276 pada 2009. 

Penganalisis pasaran mengunjurkan purata gaji pekerja dalam sektor itu akan meningkat kepada RM6,210 tahun ini, iaitu peningkatan sebanyak 10.4 peratus berikutan perkembangan ekonomi yang memberangsangkan. 

Wan Peng berkata, peluang pekerjaan baru yang ditawarkan di MSC Malaysia kini memerlukan set kemahiran baru yang sangat jauh berbeza berbanding 10 tahun lalu berikutan perkembangan pesat teknologi global. 

“Pekerja tempatan kini sepatutnya lebih yakin bahawa mereka cukup bagus untuk pekerjaan itu. Mereka tidak perlu takut untuk bermula dari bawah kerana peluang perkembangan kerjaya dalam bidang ini adalah sangat baik,” katanya.

Dari segi daya saing pula, katanya, set kemahiran asas yang dimiliki pekerja tempatan adalah antara yang paling tinggi di kalangan negara serantau berdasarkan kaji selidik yang dilakukan firma enjin carian pekerjaan, JobStreet. 

“Paling penting ialah kemahiran berbahasa Inggeris, di mana berdasarkan ujian kemahiran yang dilakukan firma itu mendapati purata tahap penguasaan pekerja tempatan adalah setanding dengan Singapura dan Filipina,” katanya. 

Sementara itu, Wan Peng berkata, sejak inisiatif itu dimulakan juga, pertumbuhan pekerjaan di MSC Malaysia sentiasa mengatasi pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK), menggambarkan kerancakan kegiatan dalam industri berkenaan. 

Fasa ketiga MSC Malaysia dari 2011 hingga 2020 akan mengukuhkan lagi kedudukan Malaysia sebagai hab teknologi maklumat serantau. 


Sumber

No comments:

Post a Comment

Zikir Dan Doa Yang Baik Dibaca Pada Hari Arafah

  Walaupun umat Islam di Malaysia dan banyak lagi negara lain tidak dapat menghantar jemaah haji ke Tanah Suci, Mekah oleh kerana penularan ...