Sunday, June 12, 2011

Susu coklat penyambung hayat

MOHD AIDIL hanya mengambil sup kosong dan Milo sebagai diet harian.  

Mohd Aidil tak boleh telan pepejal termasuk nasi sejak 25 tahun lalu

SHAH ALAM: Sepanjang hayat, Mohd Aidil Amri Saa’din, 25, tidak pernah merasai keenakan nasi lemak, jauh sekali menjamah rendang dan ketupat di pagi Aidilfitri kerana tubuhnya hanya boleh memproses makanan dalam bentuk cecair sejak dilahirkan. 
 
Sebagai ganti, Mohd Aidil bergantung kepada minuman Milo, sup dan air kosong untuk mendapatkan tenaga dan zat. Setiap kali jatuh sakit, dia akan meminta doktor memberi ubat cecair gara-gara tidak boleh menelan pil. Berikutan tabiatnya meminum sehingga 15 gelas Milo sehari, Mohd Aidil Amri digelar ‘Milo’ oleh rakan yang memahami keganjilan yang dihadapinya. Bukan saya tidak pernah cuba makan nasi, tetapi apabila ditelan, seakan-akan tekak tidak dapat menerima dan saya akan segera muntah.

“Makanan lain seperti roti, mi atau makanan yang dijual di restoran segera tidak pernah saya sentuh sepanjang hidup,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini, semalam.

Mohd Aidil Amri yang bekerja sebagai Pengurus Web Tonton di Media Prima Bhd (Media Prima) ketika ditemui, tampak sihat dan tidak menunjukkan beliau menghadapi masalah berhubung tabiat pemakanannya itu.

Mohd Aidil Amri yang berasal dari Alor Setar, Kedah, berkata tabiatnya mengambil cecair sebagai makanan bermula sejak berusia setahun seperti diceritakan ibunya, Zaiton Hashim.
“Ketika kecil, ibu cuba memberi saya makanan, tetapi saya selalu lari. Sejak usia setahun, saya tidak menyentuh makanan melainkan meminum Milo yang menjadi makanan ruji saya,” katanya yang menjadi perhatian ramai sejak ditemuramah rancangan, Pagi Show di Fly FM, Selasa lalu.

Beliau berkata, dalam sehari, beliau akan mengambil sekurang-kurangnya 15 gelas Milo.

“Saya juga boleh mengambil minuman lain, tetapi Milo menjadi makanan penting untuk saya,”.

Mohd Aidil Amri berkata, setiap kali menjamah sup, beliau akan mengasingkan isinya sebelum dihirup serta menganggap sajian yang diambil dua kali seminggu itu sebagai makanan ‘mewah’.

Ditanya mengenai perasaannya setiap kali melihat rakan menjamu selera dengan makanan lazat, beliau berkata, rasa iri hati tetap wujud tetapi dirinya sentiasa berfikiran positif.

“Adik-beradik saya normal, keluarga lain pun sama. Hanya saya yang mengalami keadaan ini dalam keluarga. Sejak kecil, saya sudah berjumpa ramai pengamal perubatan sama ada tradisional atau moden, namun mereka juga tidak tahu punca keadaan saya ini.

“Doktor memberitahu saya sihat saya anggap ini adalah takdir Allah SWT dan saya menerimanya dengan hati terbuka,” katanya yang meminati muzik rock terutama kumpulan rock, Metallica.
Komen Anda








No comments:

Post a Comment

Zikir Dan Doa Yang Baik Dibaca Pada Hari Arafah

  Walaupun umat Islam di Malaysia dan banyak lagi negara lain tidak dapat menghantar jemaah haji ke Tanah Suci, Mekah oleh kerana penularan ...