Thursday, July 28, 2011

Beruang kutub hilang dataran ais




NASIB keluarga beruang kutub ini masih samar dengan isu pemanasan iklim yang tidak berkesudahan.


AHLI biologi baru-baru ini memberi peringatan terkini mengenai masalah perubahan iklim yang menyebabkan suhu meningkat di bahagian kutub.
Di kutub utara misalnya, peningkatan suhu telah memaksa beruang kutub berenang lebih jauh untuk mencari ais laut yang lebih stabil.
Ternyata, senario terbaharu ini membahayakan kebanyakan anak-anak beruang kutub yang berdepan dengan ancaman maut akibat kepenatan dan juga pemangsaan.
Para penyelidik yang mengikuti kumpulan beruang kutub dewasa mendapati kadar kematian anak-anak haiwan tersebut adalah pada kadar 45 peratus apabila berenang sejauh 48 kilometer (km) berbanding hanya 18 peratus bagi beruang kutub lain yang tidak perlu 'berpindah' lokasi dengan kerap.
Keadaan menjadi lebih buruk apabila ais laut menyusut dengan pantas hingga memaksa beruang kutub itu berenang lebih jauh dan lama.
"Penyelidikan ini merupakan analisis pertama dalam mengenal pasti perubahan penting aliran bertahun-tahun mengenai peningkatan pola renang jarak jauh oleh beruang kutub.
"Sebelum ini, kajian hanya merekodkan kejadian tunggal mengenai pola renang beruang kutub," kata Penyelidik Kajian Geoff York yang merupakan pakar beruang kutub Tabung Hidupan Liar Sedunia (WWF).
LAPANGAN ais yang ideal semakin berkurangan lantas mengancam survival beruang kutub.


Bagi mengenal pasti jarak renang mamalia tersebut, para penyelidik telah mengumpul data daripada kolar sistem kedudukan global (GPS) yang dipasang pada 68 ekor beruang kutub dewasa di Lautan Artik Selatan Beaufort dan Chukchi antara tahun 2004 hingga 2009.
Kesemua beruang kutub yang direkodkanitu adalah betina. Kolar GPS tidak dipasang pada beruang kutub jantan kerana bentuk kepalanya tidak sebesar otot lehernya hinggakan alat tersebut mudah tergelincir.
Dalam pada itu, penyelidik turut melihat imejan satelit ais laut bagi mengenal pasti insiden beruang-beuang kutub tersebut berenang melebihi 48km pada satu-satu masa.
Sebanyak 20 ekor daripada beruang kutub yang memakai kolar berkenaan telah berenang pada jarak begitu jauh malah saintis mengenal pasti renangan haiwan berkenaan adalah sejauh 50 larian maraton.
Pada masa yang sama, terdapat 11 ekor beruang kutub itu turut berenang bersama anak-anaknya dan lima daripada beruang kutub tersebut kehilangan anak ketika berenang terlalu jauh.

ADAKAH tidak lama lagi, beruang kutub hanya akan menjadi penghuni di banyak zoo di seluruh dunia gara-gara kemusnahan habitatnya?


Renangan paling jauh dicatatkan dalam kajian tersebut adalah sejauh 686km manakala 12.7 hari merupakan catatan hari paling lama direkodkan oleh mereka.
Menurut penyelidik, renangan yang jauh menambah penggunaan tenaga sekali gus melemahkan beruang kutub itu akibat kepenatan merentasi laut bergelora.
Kata penyelidik lagi, kehilangan ais laut secara mendadak telah memaksa beruang-beruang kutub dan anaknya berenang dalam jarak yang jauh untuk mencari daratan. Haiwan itu juga sukar mencari dataran ais yang kuat untuk menampung beban berat badannya.
"Perubahan iklim yang melanda dunia telah membuatkan ais laut tidak dapat menampung beruang-beruang kutub lagi.
"Ia sekali gus telah memaksa beruang-beruang kutub ini mencari makanan dan tempat tinggal di kawasan lain," kata York.
Menurut Pusat Sains Kutub, Universiti Washington, tahap ais laut Artik telah menurun pada kadar terendah pada Julai 2011 dengan 47 peratus lebih rendah berbanding tahun 1979.
Sumber

No comments:

Post a Comment

Zikir Dan Doa Yang Baik Dibaca Pada Hari Arafah

  Walaupun umat Islam di Malaysia dan banyak lagi negara lain tidak dapat menghantar jemaah haji ke Tanah Suci, Mekah oleh kerana penularan ...