Friday, August 19, 2011

Kisah benar – Dakwah di Pendalaman Sabah 15: Air Sungai Naik Sendiri


Subhanallah! Allah SWT menunjukkan kuasa-Nya kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya…..Allahu Akbar!
Ikuti kisah benar yang dialami oleh pendakwah Ustaz Mohd Fadli Yusof. Sebarang pertanyaan boleh diajukan terus kepada beliau, seperti pautan (link) yang diberikan di atas.
Dakwah Di Pedalaman Sabah 15: Air Sungai Naik Sendiri
by Mohd Fadli Yusof on Thursday, 18 August 2011
Setibanya kami di jambatan gantung, ketika hendak menyeberang pulang, anak-anak muda itu bertanya, “Esok tuan mahu pergi mana?”
“Kami mahu ke Pagalongan.” Jawab saya.
“Tidak boleh tuan, sekarang kemarau, air sungai kering, takut nanti perahu pecah.” Kata mereka sambil menunjukkan ke arah sungai yang jelas kelihatan batu-batu timbul.
Dalam nada berseloroh, saya berkata kepada mereka, “Nanti pandailah air itu naik sendiri.”
“Betulkah tuan?” Mereka kehairanan. Saya rasa sedikit menyesal terlepas cakap begitu. Bimbang kalau-kalau mereka anggap itu betul-betul akan terjadi. Bagaimana pula jika tidak terjadi?
Sudah terlepas…terlajak perahu boleh diundur…ini terlajak kata.
“Kamu lihatlah esok, kalau betul air ini naik sendiri, kamu tolong hantar kami.” Tegas saya.
Dalam pada itu, hati saya mula resah. “Ya Allah! Tunjukkanlah kebenaran kepada mereka ini.” Doa saya dalam hati. Keresahan itu saya luahkan juga kepada Ustaz Arabi dan Muslim. Ustaz Arabi menasihati agar bertawakal.
Ketika itu saya teringat kisah Sungai Nil pernah dipenuhi air ketika kemarau, dengan karamah Sayidina Umar Al Khattab, demi mencegah amalan khurafat jahiliyah.
Sungai Longongon, Pensiangan, Sabah.
***************************************
Kisah Sungai Nil
Imam Mustaghfiri r.m meriwayatkan bahawa pada masa khalifah Umar bin Khattab r.a dan pada masa pembukaan Mesir, orang2 Mesir datang dan mengatakan kepada gabenur mereka, yakni Amr bin ‘Ash r.a.
“Sesungguhnya sungai Nil ini mempunyai adat istiadat. Jika sampai pada bulan yang tertentu, maka seorang perawan cantik mesti dikorbankan ke dalamnya. Perempuan tadi diberi pakaian dan perhiasan yang cantik-cantik sebelum dimasukkan ke dalam sungai Nil. (Dengan cara demikian) maka sungai Nil akan terus mengalir. Tanpa melakukan adat itu, maka sungai Nil tidak akan mengalirkan air. Untuk itu, Tuan gabenur hendaknya melakukan hal itu juga.”
Amr bin ‘Ash r.a berkata, “Adat istiadat seperti itu tidak diperbolehkan dalam Islam. Islam telah menghapuskan (semua) adat istiadat buruk sebelumnya.”
Selanjutnya selepas itu, selama tiga bulan sungai Nil tidak lagi mengalirkan air, kemarau berlaku dengan teruknya. Dan dikeranakan kebun-kebun di Mesir bergantung kepada sungai Nil, maka penduduk mulai risau dan merasa cemas. Mereka terpaksa berniat untuk meninggalkan kota tersebut. Melihat keadaan seperti itu, maka Amir bin ‘Ash r.a menulis surat dan mengirimkannya kepada Umar bin Khattab r.a.
Umar r.a memberi jawaban yang isinya, “Kamu telah berbuat benar. Adat istiadat Mesir yang tidak baik, tidak boleh dijalankan. Islam telah menghapuskan seluruh adat istiadat yang buruk, sama saja apakah adat yang semacam itu ataupun adat penyembahan berhala.”
Bersama surat tersebut, Umar r.a juga melampirkan secarik surat yang ditujukan kepada sungai Nil. Dia memerintahkan Amir bin ‘Ash r.a untuk memasukkan surat tersebut ke dalam sungai Nil. Setelah membaca surat untuk dirinya, selanjutnya Amir bin ‘Ash r.a membaca surat yang ditujukan kepada sungai Nil tersebut.
Dari hamba Allah, Amirul mukminin, Umar bin Khattab. Surat ini aku tujukan kepada Nil.
“Wahai Nil, jika kamu mengeluarkan airmu menurut kehendakmu, maka janganlah kamu mengeluarkan air lagi. Tetapi jika kamu mengeluarkan air menurut kehendak Allah, maka demi Allah kami berdoa (kepada-Nya), keluarlah air.”
Setelah membaca surat tersebut, Amir bin ‘Ash r.a mencampakkannya ke dalam sungai Nil. Dan segera setelah itu, terpancarlah air dari sela-sela bebatuan di dasarnya. Begitu banyaknya air yang mengalir, sehingga airnya menggenangi cerung-cerung sungainya (yang dalamnya sekitar 16 meter). Dan sejak saat itu, adat buruk yang biasa dilakukan oleh orang-orang Mesir punah bersamaan dengan mengalirnya air sungai Nil berterusan sesuai dengan kehendak Allah SWT.
(Sebagaimana diceritakan kembali oleh Maulana Ahmad Said Khan dalam kitab Kehebatan Mukjizat Nabi Muhammad ﷺ).
Rujukan: Tafsir Al-Qurtubiy dan Hasyiat al-Sawiy ‘ala al-Jalalain,tafsir ayat 57-58 Surah Asy-Syu’ara
فَأَخۡرَجۡنَـٰهُم مِّن جَنَّـٰتٍ۬ وَعُيُونٍ۬, وَكُنُوزٍ۬ وَمَقَامٍ۬ كَرِيمٍ۬
“Dengan sebab itu maka Kami jadikan mereka (Firaun dan tenteranya) keluar meninggalkan kebun-kebun dan mata air. Dan juga khazanah-khazanah kekayaan serta tempat tinggal yang mulia.”
Sungai Nil
*******************************************
Saya terus berdoa, “Ya Allah, tunjukkan kebenaran kepada mereka, jadikanlah apa yang pernah terjadi kepada sungai Nil yang mengalir ketika kemarau, dengan barakah Umar Ibnu Khattab r.a.”
Kami terus pulang ke rumah, meninggalkan anak-anak muda yang akan bersuka ria malam itu. Mereka menggendung “tajau” kecil berisi tapai, mungkin mereka mabuk malam ini.
********************************************
Air naik….!
Keesokan paginya, selepas Subuh, pintu rumah diketuk dengan keras, bertalu-talu.
Dari luar kedengaran suara yang begitu lantang, “Tuan! tuan! air dah naik, air sungai dan naik…kau betul..air sungai naik sendiri.”
“Ini mesti kes mabuk ni..” Kata saya kepada Ustaz Arabi.
“Marilah kita tengok, mana tahu betul-betul terjadi.” ujar Ustaz Arabi.
Bila pintu dibuka, anak-anak muda itu menarik tangan kami menuju ke sungai.
“Subhanallah! Alhamdulillah! Allahuakbar!..syukur ya Allah, Engkau telah mendengar doa kami.” Kami berulangkali menyatakan kesyukuran kepada Allah di hadapan anak-anak muda itu. Mereka tercengang, mungkin masih terfikir kami “ganggu Tuhan”.
Dalam fikiran saya, kemungkinan Allah turunkan hujan di bahagian hulu sungai, yang airnya mengalir ke sini. Serba mungkin, belum ada pengesahan ketika itu.
Saya lantas mengeluarkan wang RM40, lalu saya beri kepada anak-anak muda itu untuk membeli petrol, sambil kami bersiap sedia meneruskan perjalanan. Tidak lama mereka tiba dengan perahu berenjin, untuk menghantar kami ke Pegalongan.
Kami bertiga, bersama empat anak muda itu mengusuri Sungai Logongon untuk ke Pegalongan. Pelajaran itu memakan masa kira-kira 1 jam, menempuh jeram-jeram yang laju airnya. Saya kira tidak kurang 30 jeram-jeram bahaya terdapat di sana. Kecekapan anak-anak muda itu mengendali perahu amat saya kagumi.
Sejam selepas itu, kami tiba di Pegalongan. Matahari mula terik. Setibanya kami di sana, salah seorang anak muda itu menjerit…
“Tuan, lihat itu…air sudah turun, macam mana kami mahu pulang?” Katanya cemas.
Memang benar, nampak jelas kesan penurunan air di tebing sungai. Ia bagai disedut laju. Turunnya seinci demi seinci.
Sekali lagi, dengan nada bergurau, saya katakan kepada mereka, “Air ini Tuhan hantar supaya kamu boleh hantar kami ke sini, cepatlah balik, nanti tidak sempat.”
Apalagi…mereka memecut laju…pulang. Percaya sungguh mereka.
***********************************************
Turunnya hujan hidayah
Malam itu kami berzikir dan bertahlil, memanjat doa kepada Allah agar diturunkan hujan. Dengan izinNya, hujan turun dengan lebat membasahi bumi Daerah Pensiangan.
Rupanya kisah air sungai naik sendiri itu tidak berakhir begitu sahaja, tetapi berakhir dengan turunnya hidayah Allah kepada empat orang anak muda yang menghantar kami. Melalui Angin yang mengIslamkan mereka, memang benar, apabila mereka tiba semula ke Salong, air sungai kering seperti semalam. Dengan itu mereka dapat merasakan kebenaran yang kami bawa, lalu mereka Islam.
Telah saya selidiki dari penduduk di kawan ulu, tiada hujan semasa kejadian itu…semuanya dalam rahsia Allah. Allah memberi petunjuk kepada sesiapa yang dikehendaki.
يَہۡدِى مَن يَشَآءُ إِلَىٰ صِرَٲطٍ۬ مُّسۡتَقِيمٍ۬
“Allah yang memberikan petunjuk hidayahNya kepada sesiapa yang dikehendakiNya ke jalan yang lurus”. (Al-Baqarah 2:142)
“Ya Allah, aku hambaMu yang tiada apa-apa, segala kekuasaan milikMu. Ampunilah aku atas ketelanjuran kata-kataku!”
محمد فضلي بن يوسف
18 Ramadhan 1432H
18 Ogos 2011
Silakan share
(Jika ingin kongsikan di blog, atau di copy paste ke nota anda, sila nyatakan nama saya dan buat pautan ke FB saya, agar saya mudah menjawab segala persoalan yang timbul dari artikel ini. Link terus ke FB saya: http://facebook.com/mfadli11 atau ke note ini, http://www.facebook.com/note.php?note_id=10150346430866719)

No comments:

Post a Comment

Zikir Dan Doa Yang Baik Dibaca Pada Hari Arafah

  Walaupun umat Islam di Malaysia dan banyak lagi negara lain tidak dapat menghantar jemaah haji ke Tanah Suci, Mekah oleh kerana penularan ...