Bayangkan ada ibu yang tinggalkan anaknya di tepi jalan dan dibiarkan sehingga nyawanya diambil Tuhan kerana tidak mampu memberi mereka makan.
Memang sedih, tapi itu yang terpaksa dia lakukan kerana akhirnya si ibu menemui ajal dengan cara serupa, cerita penuntut dari Somalia, Shafie Sharif Mohamed, 29.
Dia yang sudah empat tahun di Malaysia, menyambung pengajian ijazah kedoktoran di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), dekat sini, memberitahu bencana kebuluran di negara asalnya semakin kritikal.
Katanya, walaupun tidak berada di sana, namun dia dapat merasakan penderitaan penduduk yang terjejas, khususnya apabila bekalan makanan dan minuman tidak mencukupi bagi menampung keperluan terutama kanak-kanak.
Mendengar rakan di sana (Somalia) memaklumkan terdapat ibu meninggalkan anak di tepi jalan dan menunggu kematian, sudah cukup untuk menterjemahkan betapa teruknya masalah kebuluran yang melanda negara kami.
Situasi ini yang terburuk dan kelihatan seperti sukar diubati, tetapi kami percaya masih ada harapan bagi penduduk yang menderita untuk memperoleh rawatan dan bantuan sewajarnya.
Syukur kerana banyak pihak yang mahu membantu termasuk apa yang dilakukan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pihak lain di Malaysia. Mereka tidak hanya menyatakan sokongan, tapi mencari jalan membantu, terima kasih diucapkan, katanya.
Shafie Sharif ditemui pada sesi khas anjuran Persatuan Bantuan Perubatan Malaysia (Mercy Malaysia) bersama 30 penuntut Somalia di pejabat Mercy Malaysia, di sini, semalam yang dihadiri Pengarah Eksekutif Mercy Malaysia, Zahrah Yaacob.
Bagi Graduan Pengurusan Pelancongan Universiti Utara Malaysia (UUM), Yaser Mohamed Baffo, 27, sebagai menzahirkan keprihatinan terhadap mangsa, kira-kira 5,000 komuniti penduduk Somalia yang menetap di negara ini melakukan pelbagai cara bagi menyalurkan bantuan.
No comments:
Post a Comment