Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPECS) menjangkakan satu kejutan mengembirakan kakitangan awam bakal diumum oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada pembentangan Bajet 2012 yang dijadualkan pada 7 Oktober ini.
Presidennya, Datuk Omar Osman berkata, beliau menjangkakan Najib mungkin mengumumkan bonus tahunan yang lebih dari kebiasaan.
“Dengan tahap kemampuan yang ada pada kerajaan sekarang dan yakin pada kepimpinan Perdana Menteri, saya menjangkakan berita gembira akan diumumkan nanti,” katanya ketika dihubungi Mynewshub.my di sini hari ini.
CUEPECS dalam sidang akhbarnya sebelum ini memohon agar kakitangan awam di seluruh negara diberikan dua bulan bonus, kenaikan gaji dan memperbaiki Sistem Saraan Malaysia (SSM) sedia ada untuk meningkatkan produktiviti kakitangan Kerajaan.
Bagaimanapun, Omar berkata, permohonan CUEPECS itu adalah tertakluk kepada kemampuan Kerajaan untuk meluluskan permintaan mereka berdasarkan keadaan ekonomi semasa.
Menurut Omar, yang paling penting adalah tindakan mengkaji semula SSM yang membabitkan beberapa perkara seperti struktur gaji pekerja, elaun-elaun kakitangan awam, peningkatan peluang kerjaya dan syarat-syarat perkhidmatan.
Beliau berkata, penambakbaikan SSM akan membantu kakitangan awam untuk bekerja dengan lebih dedikasi, menumpukan sepenuh perhatian kepada kerjaya, serta tidak lagi mencari kerja sambilan di luar dan sekaligus menghapuskan gejala rasuah di kalangan mereka.
“Kita tidak mahu melihat kakitangan awam hidup dengan gaji di bawah paras kemiskininan dan terpaksa mencari kerja sambilan lain untuk menampung kos sara hidup yang semakin tinggi,” tambahnya lagi.
Omar juga melahirkan rasa keyakinannya terhadap Perdana Menteri dan kepimpinannya yang sering menunjukkan keprihatinan beliau terhadap rakyat, khususnya kakitangan awam, mampu mengumumkan berita ‘luar biasa’ tersebut pada perbentangan Bajet 2012 nanti.
“Sudah lama kami kakitangan awam tak merasa bonus yang ‘luar biasa’, saya yakin dengan keprihatinan Perdana Menteri terhadap kakitangannya,” ujarnya.
Najib yang juga merupakan Menteri Kewangan akan membentangkan Bajet 2012 pada sesi ketiga Dewan Rakyat, pada 7 Oktober ini.
-Sumber-
No comments:
Post a Comment