PETALING JAYA, 15 Sept (Bernama) -- Kerajaan menyokong penuh penubuhan Skim Koperasi Syariah (Kopsya) bagi membantu kakitangan awam membebaskan diri daripada hutang bank seterusnya diisytiharkan muflis.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata pihak kementerian menyokong sistem itu ditubuhkan bagi membantu pegawai dan kakitangan kerajaan membuat pinjaman, seterusnya melangsaikan hutang mereka kepada bank.
"Jika kita membiarkan mereka ini (kakitangan kerajaan) terus dibelenggu hutang, maka mereka boleh diisytiharkan muflis dan implikasi dari perkara ini amat besar.
"Menjadi tanggungjawab kepada koperasi untuk membantu ahli yang berdaftar untuk membayar hutang mereka balik kepada bank, dan peminjam akan membayar pinjaman tersebut melalui sistem Kopsya ini," katanya kepada pemberita selepas menghadiri sambutan Aidil Fitri di Wisma Ungku Aziz, Kelana Jaya.
Beliau berkata kakitangan kerajaan akan membayar semula kepada koperasi dalam jangka masa yang ditetapkan melalui potongan gaji.
"Lagi kita biar, lagi bunga akan melambung tinggi, jadi kita perlu selesaikan dengan segera," katanya.
Ismail Sabri berkata buat masa ini, ia masih di peringkat awal kerana skim itu akan mula beroperasi dua bulan lagi dan dengan bantuan Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) serta kerjasama Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), perkara ini dijangka mudah.
Beliau berkata peruntukan akan diumumkan selepas mendapat data lengkap daripada Cuepacs, dan peruntukan awal dianggarkan kira-kira RM10 juta, bergantung kepada jumlah peminjam.
Terdahulu, beliau menyampaikan sumbangan kepada empat bakal jemaah haji Orang Asli Pos Betau, Kuala Lipis, Pahang iaitu sebanyak RM1,500 bagi tiap seorang.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment