Tuesday, July 9, 2013

Stesen radio 1M4U FM

Petaling Jaya: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak semalam melancarkan stesen radio 1Malaysia For Youth FM(1M4U FM) dalam usaha menyuburkan semangat kesukarelawanan dalam kalangan belia negara.
Stesen dengan frekuensi FM 107.9 memulakan siaran ujian selama dua bulan mulai semalam dan akan bersiaran dalam bahasa Melayu dan Inggeris.

Selain menyiarkan maklumat terkini berhubung kegiatan sukarelawan, ia menguar-uarkan perkembangan Dana Sukarelawan 1Malaysia (Dre1m) dan mesej daripada duta 1Malaysia.

Najib berkata, pelancaran stesen radio itu diharap dapat membantu menyemarakkan aktiviti sukarelawan dalam negara.

“1M4U FM bersiaran mulai pagi ini (semalam) dan dengarkan saluran radio ini bagi mengetahui berita menarik dan perkembangan aktiviti sukarelawan,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan pelancaran Konvensyen Sukarelawan Belia Reach Out 1M4U di Universiti Taylor’s, di sini, semalam. Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif 1M4U, Dr Jake Abdullah.

Pada majlis sama, Najib melancarkan nombor pendaftaran khas 1M4U yang ditawarkan sebagai satu usaha menyumbang kepada dana Drea1M.

Beliau berkata, hasil jualan nombor khas yang ditawarkan sebanyak 9,999 nombor itu akan disalurkan kepada aktiviti berbentuk sukarelawan.

“Butiran berhubung pembelian nombor ini akan dimaklumkan menerusi laman web 1M4U dan Jabatan Pengangkutan Jalan Wilayah Persekutuan,” katanya.

Dalam pada itu, Najib menyeru sektor korporat memperkenalkan pelbagai insentif bagi pekerjanya yang terbabit dengan aktiviti kemasyarakatan dan kesukarelawanan.


Najib juga mengumumkan rancangan realiti televisyen Big Dre1m bagi menggalakkan idea kreatif menerusi pelbagai aktiviti sukarela dalam kalangan generasi muda.


Beliau berkata, ia bakal menyaksikan peserta membentangkan idea mereka di depan panel penilai yang akan menentukan sama ada mereka layak menerima dana RM100,000.


Sementara itu, konvensyen Reach Out 1M4U semalam berjaya menarik lebih 5,000 golongan belia bagi mendengar ceramah individu tempatan dan antarabangsa yang berjaya dalam bidang masing-masing.


Antaranya, Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Berhad, Tan Sri Tony Fernandes; bekas Ratu Malaysia/Dunia, Deborah Henry dan penerima anugerah Hero Tahunan CNN 2012, Pushpa Basnet.

Artikel ini disiarkan pada : http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Stesenradio1M4UFMbersiaranmulaisemalam/Article/index_html 2013/03/03

No comments:

Post a Comment

Zikir Dan Doa Yang Baik Dibaca Pada Hari Arafah

  Walaupun umat Islam di Malaysia dan banyak lagi negara lain tidak dapat menghantar jemaah haji ke Tanah Suci, Mekah oleh kerana penularan ...