Sunday, December 1, 2013

BSN buat cabutan RM1j 28 Disember



Taiping: Pemegang Sijil Simpanan Premium (SSP) Bank Simpanan Nasional (BSN) berpeluang memenangi hadiah utama bernilai RM1 juta, akhir bulan ini. 

Naib Presiden Kanan BSN yang juga Ketua Jabatan Perbankan Islam, Mohd Sofi Mat Jahaya, berkata hadiah itu disediakan kepada pemegang SSP yang memiliki simpanan minimum RM3,000 yang tidak ditebus sehingga hari cabutan dibuat pada 28 Disember ini. 

Cabutan khas 

“Tawaran itu dibuat menerusi kategori cabutan khas iaitu Cabutan Istimewa yang menawarkan hadiah SSP bernilai RM1 juta. 

“Ia adalah galakan kepada amalan menabung dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum untuk menyimpan dalam BSN,” katanya selepas majlis cabutan SSP bagi November 2013 di Taiping Sentral Mall, di sini, semalam. 

Turut hadir, Naib Presiden Kanan yang juga Ketua Jabatan Pengurusan Sumber Manusia BSN, Zainuddin Ahmad dan Pengarah BSN Perak, Mohd Hafis Hashim. 

Pada majlis itu, pelajar institut pengajian tinggi (IPT) swasta dari Ipoh, Chan Yi Lin, 21, dipilih menerima kereta PERODUA Viva bagi Cabutan Tempatan, manakala Md Sah Osman, 56, dari Kuala Lumpur, terpilih menerima Toyota Camry 2.0 bagi kategori Cabutan Bulanan. 
Mohd Sofi berkata, sepanjang tahun ini, BSN Perak juga mencatatkan rekod jualan SSP yang baik dengan pencapaian bersih berjumlah RM40 juta. 

“Jumlah simpanan yang direkodkan di Perak pula RM106 juta bagi Januari hingga November tahun ini,” katanya. 

Perkembangan baik 

Katanya, aliran penambahan bilangan pelanggan dan jumlah simpanan di BSN menunjukkan perkembangan memberangsangkan termasuk peringkat usia yang menyimpan di bank itu. 

“BSN juga bercadang menambah lebih banyak kategori simpanan serta menawarkan lebih banyak hadiah bagi menarik orang ramai menabung dalam SSP,” katanya. 

Beliau berkata, BSN mensasarkan pertambahan antara RM600 juta hingga RM700 juta dalam simpanan daripada penabung untuk tahun depan.

Sumber

No comments:

Post a Comment

Zikir Dan Doa Yang Baik Dibaca Pada Hari Arafah

  Walaupun umat Islam di Malaysia dan banyak lagi negara lain tidak dapat menghantar jemaah haji ke Tanah Suci, Mekah oleh kerana penularan ...