Friday, March 14, 2014

MH370: Di mana mereka?

mh370

Norli Akmar Hamid, 33, dan Mohd Razahan Zamani, 29, baru sahaja berkahwin lebih setahun yang lalu dan merancang untuk bercuti bersama di Beijing. Mereka hilang sejak enam hari lalu.


mh370
 
Sofuan Ibrahim, 33, mendapat tawaran bertugas di luar negara daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri dan dalam perjalanan untuk melapor diri di Beijing. Dia hilang sejak enam hari lalu.

mh370
 
Kranti Shirsath, 44, dalam penerbangan ke Korea Utara melalui Beijing untuk bertemu suaminya, Pralhad Shirsath. Mereka tinggal berasingan sepanjang 17 tahun usia perkahwinan kerana tuntutan kerjaya. Mereka sudah merancang untuk hidup bersama sebagai sebuah keluarga di India. Dia hilang sejak enam hari lalu.

mh370

Tan Wei Chew (kiri), 19, baru lulus kolej dan ingin bercuti bersama keluarganya sebelum memohon tempat di sebuah universiti di Amerika Syarikat. Dia dan ibu bapanya hilang sejak enam hari lalu.

mh370
 
Andrew Nari menghabiskan banyak masa jauh dari rumah kerana tugasnya sebagai ketua pramugara yang memerlukan dia terbang hampir sepanjang masa. Anak perempuannya kini begitu merinduinya. Dia hilang sejak enam hari lalu.

mh370
 
Noorida Mohd Hashim, 57, baru bersara selepas berkhidmat dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur. Dia diraikan dalam satu majlis jamuan perpisahan tidak sampai 12 jam sebelum berlepas ke Beijing untuk bercuti. Dia hilang sejak enam hari lalu.

mh370

Datuk Mohamed Ramli Abbas, pengerusi Kumpulan Modal Perdana, tidak mengikut isteri dan dua anaknya ke Beijing yang turut menaiki pesawat MH370. Noorida, pesara DBKL, merupakan adik iparnya. Keluarganya hilang sejak enam hari lalu.

Mereka yang hilang itu adalah sebahagian daripada 239 orang yang berada dalam pesawat Boeing 777-200 dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing pada pagi Sabtu 8 Mac lalu. Pesawat itu tidak tiba di Beijing.

Ia hilang tanpa dapat dikesan lebih kurang sejam setelah berlepas dari KLIA. Ramai lagi individu yang mengalami nasib sama seperti mereka -- kehilangan anak, ibu, ayah, suami, isteri, sahabat, tunang, majikan, pekerja dan sebagainya.

Dengan operasi mencari dan menyelamat pesawat penerbangan MH370 yang masuk hari keenam, banyak tumpuan diberikan kepada banyak perkara — daripada soal ketidakcekapan pihak berkuasa menangani krisis sehinggalah kepada teori konspirasi (termasuk aksi lucu 'Raja Bomoh') sampailah kepada di mana kedudukan pesawat itu.

Media di seluruh dunia kini berdepan dengan imej satelit, rakaman video sidang media rasmi, visual pesawat terbang ke sana ke mari dan tokoh cerdik pandai yang bercakap tentang ilmu pengetahuan penting, manakala orang ramai berbahas tentang pelbagai kemungkinan yang boleh berlaku.

Semua ini boleh menyebabkan kita terlupa hakikat utama bahawa insiden kehilangan pesawat ini melibatkan sejumlah orang yang mempunyai kisah hidup tersendiri dan memiliki insan tersayang.

Pengakhirannya, biar apapun kesudahan tragedi ini — baik atau buruk, ia bakal meninggalkan kesan dalam hidup seseorang.

No comments:

Post a Comment

Zikir Dan Doa Yang Baik Dibaca Pada Hari Arafah

  Walaupun umat Islam di Malaysia dan banyak lagi negara lain tidak dapat menghantar jemaah haji ke Tanah Suci, Mekah oleh kerana penularan ...