Sunday, February 7, 2016

TEKNIK MENUNDA TENGGIRI

Potensi

Kaedah menunda boleh menjadi satu kaedah pancingan yang berpotensi. Ia amat efektif sekiranya dilakukan secara bersungguh-sungguh. Menunda boleh dilakukan sebagai satu alternatif baru bagi mereka yang sudah jemu dengan teknik-teknik pancingan biasa dan mahu mencuba sesuatu yang lebih menyeronokkan dan mencabar.

Kesesuaian Masa:

Pemilihan tarikh trip, yang menentukan keadaan air sama ada jernih atau keruh adalah penyebab utama kepada kejayaan mahupun kegagalan kaedah ini. Biasanya tenggiri lebih mudah dipancing ketika keadaan air laut agak tenang dan jernih dan sebaliknya jika berarus kuat serta keruh, kemungkinan besar hasilnya adalah kurang. Bagaimanapun, terdapat juga kes keadaan air yang terlalu jernih boleh menyebabkan kekecewaan. Oleh itu, pemilihan tarikh atau keadaan air menjadi satu syarat yang paling penting untuk kejayaan trip menunda gewang.

Bagi mengenalpasti tarikh yang sesuai kita perlulah sering merujuk kepada jadual pasang surut. Biasanya jadual pasang surut dapat menunjukkan kepada kita keadaan arus dan perubahan paras air laut. Arus yang kuat atau perubahan pasang surut yang tinggi selalunya membawa kepada keadaan air yang tidak begitu jernih. Oleh itu, selalunya ramai memilih untuk turun ke laut pada waktu air ‘cantik’ sahaja, misalnya pada 21 hingga 23 haribulan mengikut kalendar Islam. Cara yang terbaik ialah bertanya kepada tekong sendiri tentang tarikh manakah yang sesuai.

Image
Selain itu, masa yang baik juga boleh ditentukan dengan bertanya dari masa ke semasa kepada tekong tentang hasil yang diperolehi oleh kaki-kaki pancing lain dalam trip-trip yang dibuat sebelumnya. Ini kerana tenggiri adalah spesis bermusim dan selalunya apabila ia mula masuk ke satu-satu lubuk, kadangkala kita hanya mempunyai jangka masa seminggu atau dua minggu sahaja untuk bertembung dengan kumpulannya sebelum ia mula berpindah ke lubuk-lubuk yang lain.

Alatan dan Teknik:

Alatan seperti kekili, joran, pemegang joran, tali utama, perambut dawai dan mata kail yang sesuai perlulah disediakan untuk kaedah ini. Kekili yang terbaik adalah yang mempunyai dua kelajuan kerana tenggiri terkenal dengan daya pecutannya dan kita memerlukan kekili berkelajuan tinggi untuk menyesuaikan dengan taktik tenggiri. Namun apa yang paling penting dalam menjayakan kaedah menunda ialah pemilihan gewang.

(i) Jenis-jenis gewang

Gewang yang disyorkan untuk kaedah menunda ialah dari jenis Halco dan Rapala. Kedua-dua jenis gewang ini memang sudah terbukti kemampuannya. Ia mempunyai kelebihan yang terserlah dari segi kemampuan membuat selaman yang lebih dalam dan seimbang, tarikan bunyi yang tersedia dan silauan badannya yang amat menarik. Namun tidak kesemua jenis, warna, saiz dan kedalaman gewang sesuai untuk kaedah tundaan.

(ii) Saiz gewang

Saiz Halco dan Rapala yang selalu menarik perhatian tenggiri ialah yang sederhana besar, iaitu Rapala kepala merah saiz Cd11-Cd14 manakala Halco pula jenis Sorcerer 125-150. Kami pernah beberapa kali menunda dengan gewang yang lebih besar, misalnya Rapala kepala merah CD18 dan Halco Laser Pro 190 tetapi yang lebih berminat dengan gewang tersebut ialah alu-alu dan tenok. Oleh itu, kami jarang menggunakan gewang bersaiz besar melainkan jika berhasrat untuk memikat alu-alu atau tenok. Di kawasan-kawasan kita ditemukan dengan tenok, kumpulan tenggiri sudah tidak berani lagi berligar-ligar di sekitar lubuk yang dipenuhi spesis yang bermulut luas itu.

(iii) Kedalaman dan Warna Gewang

Soal kedalaman gewang juga memainkan peranan penting. Kedalaman berbeza dapat memastikan kita menjangkaui aras pemangsa berada di laut. Kedalaman yang disyorkan bagi Halco Sorcerer ialah 4 meter ke atas bergantung kepada kedalaman lokasi. Jika kita menunda di lubuk kapal karam yang dalam, saiz 5-8 meter disyorkan tetapi bagi kawasan pulau yang berair cetek memadailah dengan selaman 4-5 meter sahaja. Selaman 8 meter kadangkala sangat efektif tetapi susah dikendalikan dan sering tersangkut atau terlompat-lompat di permukaan jika kita tidak biasa menggunakannya.

Dari segi warna, beberapa keutamaan perlu dipertimbangkan. Hasil eksperimen kami menunjukkan gewang berkepala merah terutamanya dari jenis Rapala memang terbukti amat efektif. Beberapa kali dalam trip kami gewang Halco yang berwarna keemasan putus dilarikan oleh spesis tenggiri yang besar. Halco yang berwarna hitam berkepala merah pula boleh dijadikan sandaran terbaik sekiranya kita menunda ketika cuaca redup.

(iv) Perambut

Untuk mengelakkan perambut diputuskan gigi tenggiri yang tajam, perambut jenis dawai digunakan. Adalah penting untuk memahami lagi halus cara ia diikat pada gewang, lagi besar kemungkinan kita mendapat tarikan ikan. Oleh itu penggunaan sebarang jenis cili tidak digalakkan. Sebaliknya disarankan agar ikatan terus dibuat ke bibir gewang dengan perambut dawai yang halus dan tidak begitu panjang. Kekuatan perambut yang digunakan hendaklah sekitar 40-50 paun sahaja.

Andaian yang diberikan oleh tekong ialah lebih lebih halus dan pendek dawai yang digunakan, lebih dalam gewang akan menyelam dan lebih cepat mendapat sambaran sang tenggiri. Pemakaian jenis atau jenama dawai tertentu sebenarnya tak begitu penting. Perambut dawai yang murah misalnya dari jenis nylon coated wire berjenama Seahawk atau Tomman sudah memadai malah boleh dianggap lebih sesuai kerana ikatannya yang lebih kemas pada bibir gewang.

Lokasi:

Lokasi juga menentukan kejayaan trip menunda. Lokasi utama kaedah menunda ialah di lubuk-lubuk yang sudah terkenal dengan kehadiran spesis tenggirinya sepanjang tahun atau pada musim-musim tertentu. Di utara, selain lubuk-lubuk seperti tuas dan kapal karam yang menjadi tumpuan tenggiri, kaedah menunda juga amat sesuai di kawasan-kawasan pulau-pulau atau yang mempunyai karang luas, misalnya kawasan berhampiran dengan Pulau payar atau Pulau Langkawi. Tumpuan trip-trip kami sehingga kini ialah ‘segitiga lubuk hantu’ yang mencakupi kawasan Karang Batek, Pulau Payar dan Pulau Langkawi. Menunda di segitiga ini memberikan hasil yang sangat berbaloi. Tetapi anda diingatkan juga agar menunda jauh di kawasan dari taman laut agar tidak ditahan oleh pihak berkuasa.

(credit goes to UTARAANGLERS)

No comments:

Post a Comment

Zikir Dan Doa Yang Baik Dibaca Pada Hari Arafah

  Walaupun umat Islam di Malaysia dan banyak lagi negara lain tidak dapat menghantar jemaah haji ke Tanah Suci, Mekah oleh kerana penularan ...