Ketika ini, terdapat 168 matawang yang digunakan oleh keseluruhan 195 negara yang diiktiraf oleh United Nation. Matawang yang paling banyak digunakan di dunia adalah Euro (EUR) iaitu oleh 19 daripada 28 buah negara dalam Kesatuan Eropah (EU).
Matawang paling terbaru diperkenalkan adalah Pound Sudan Selatan, yang digunakan oleh Republik Sudan Selatan setelah republik ini mendapat kemerdekaan daripada Sudan pada tahun 2011. Dan matawang tertua di dunia yang masih digunakan sehingga kini adalah Pound Sterling yang berusia 1,200 tahun dan wujud pada abad ke-8.
Dalam artikel lalu, iluminasi.com berkongsi artikel "10 negara dengan nilai matawang paling tinggi di dunia". Dan kali ini, seperti yang dijangkakan, kami akan berkongsi 10 negara yang mempunyai nilai matawang paling lemah dan terendah di dunia ketika ini.
10. Kemboja (KHR)
RM1 = 967 KHR
Berada di tangga ke-10 senarai negara nilai matawang terendah adalah sebuah negara Asia Tenggara iaitu Kemboja yang menggunakan matawang Riels atau KHR. Di negara monarki ini terdapat dua Riels yang berbeza. Riels pertama diperkenalkan pada 1953 untuk menggantikan matawang sebelum iaitu French Indochina Piastre. Riels pertama digunakan sehingga 1975.
Bermula tahun 1975, Kemboja tiada sistem kewangan atau matawang selama 5 tahun sehingga tahun 1980. Riels kedua dikeluarkan bermula tahun 1980 yang digunakan sehingga kini. Walaubagaimanapun, ketika itu matawang Riels mempunyai kadar pertukaran yang rendah membuatkan ia tidak popular di kalangan masyarakat yang kemudiannya memilih menggunakan USD dalam pembayaran.
Akibat ini, membuatkan nilai Riels menurun.
9. Sierra Leone (SLL)
RM1 = 1804 SLL
Sierra Leone menggunakan matawang Pound British Afrika Selatan sebelum mendapatkan kemerdekaan. Negara itu kemudiannya merdeka pada tahun 1961 dan memperkenalkan matawang Leone (SLL) pada tahun 1964. Negara Afrika miskin ini mengalami banyak pergolakan yang menyebabkan nilai Leone menurun.
Selain itu mereka juga pernah berhadapan dengan perang dan lebih teruk, diserang wabak Ebola. Kini nilai Leone sangat rendah iaitu RM1 bersamaan 1804 SLL.
8. Paraguay (PYG)
RM1 = 1350 PYG
Paraguay menggunakan matawang Guarani (PYG) yang diperkenalkan pada tahun 1940. Negara ke-2 paling miskin di Amerika Selatan selepas Bolivia ini mengalami apa yang dipanggil bencana ekonomi yang sangat buruk, disebabkan oleh kadar inflasi yang sangat tinggi, korupsi, kualiti pendidikan yang rendah, pengangguran yang tinggi dan banyak lagi.
Eksport utama Paraguay termasuklah kapas dan kacang soya namun ia tidak mampu menampung ekonomi yang kian memburuk, membuatkan nilai Guarani semakin parah. Guarani dibahagikan sehinga 100 bahagian (0.01) dan dimansuhkan selepas mengalami inflasi.
7. Laos (LAK)
RM1 = 1972 LAK
Berada di tangga ke-7 nilai matawang paling rendah di dunia adalah Laos, yang menggunakan matawang Lao atau Laotian Kip (LAK). Ia menggantikan Indochinese Plastre pada tahun 1952 yang diperkenalkan Perancis. Nilai LAK sememangnya sudah rendah ketika diperkenalkan, dan nilainya kelihatan semakin meningkat baru-baru ini, namun masih tetap rendah.
6. Guinea (GNF)
RM1 = 2145 GNF
Matawang di Guinea mengalami beberapa kali perubahan. Sebelum tahun 1959, Guinea menggunakan matawang CFA franc iaitu singkatan kepada Afrika Barat CFA franc dan juga Afrika tengah CFA franc. Kedua-dua matawang ini digunakan di Afrika dan dijamin oleh Perancis. Pada tahun 1959, Guinea Franc (GNF) diperkenalkan dan kemudianya digantikan oleh Syli pada tahun 1971. Pada tahun 1985, Guinea Franc digunakan semula sehingga hari ini.
Nilai matawang Guinea sepatutnya berada di paras tinggi kerana hasil bumi seperti emas dan berlian. Namun disebabkan kadar inflasi yang tinggi, kemiskinan yang semakin menjadi serta gangsterisma yang berleluasa membuatkan nilai Guinea Franc seperti tiada nilai.
5. Indonesia (IDR)
RM1 = 3149 IDR
Negara jiran bersempadan Laut Jawa, Indonesia berada di tangga ke-5 senarai ini. Matawang rasmi yang digunakan oleh Indonesia adalah Rupiah (IDR), yang merupakan perkataan dari India yang bermaksud "perak".
Agak mengejutkan melihatkan Rupiah Indonesia berada dalam senarai ini, kerana ekonomi Indonesia agak stabil dan merupakan salah satu negara Asia Tenggara yang membangun. Namun kadar pertukaran matawang Rupiah tetap rendah walaupun pelbagai usaha dilakukan.
4. Belarus (BYR)
RM1 = 4562 BYR
Belarus adalah sebuah negera di Timur Eropah yang menggunakan matawang Ruble (BYR). Dalam sejarah Belarus, terdapat dua jenis Ruble. Belarus merupakan sebuah negara dalam Soviet Union, dan selepas pembubaran kesatuan itu pada 1991, Ruble pertama diperkenalkan pada tahun 1992 dan digunakan sehingga tahun 2000.
Ruble baru pula diperkenalkan pada tahun 2000 yang mana digunakan sehingga hari ini. Belarus juga merupakan negara yang teruk dari segi ekonomi, inflasi yang tinggi, korupsi dan banyak lagi membuatkan nilai Ruble sangat rendah dalam pasaran global.
3. Sao Tome dan Principe (STD)
RM1 = 4876 STD
Mungkin ada yang tak pernah mendengar nama negara ini. Sao Tome dan Principe merupakan sebuah negara pulau Afrika di Afrika Barat dan berdekatan garisan khatulistiwa. Dobra (STD) merupakan matawang bagi negara Afrika ini yang menggantikan Escudo pada tahun 1977. Walaupun Sao Tome dan Principe mempunyai eksport seperti koko, kelapa dan kopi, namun ia tidak dapat menampung ekonomi mereka dengan baik.
Dikatakan terdapat penemuan minyak di Sao Tome yang diharapkan menjadi titik perubahan kepada ekonomi dan matawang Dobra.
2. Vietnam (VND)
RM1 = 5418 VND
Negara sosialis yang merupakan tanah jajahan Perancis yang terletak di Asia Tenggara, Vietnam menduduki tangga ke-2 senarai ini. Matawang Dong (VND) diperkenalkan oleh Vietnam pada tahun 1978 bagi menggantikan Indochinese Plastre.
Vietnam kini masih bergelut dalam menstabilkan ekonomi mereka, menyebabkan nilai VND masih rendah. Namun, pakar-pakar mengatakan Vietnam berada di landasan yang betul dan memerlukan sedikit masa lagi untuk berada di paras yang sama dengan negara Asia Tenggara yang lain.
1. Iran (IRR)
RM1 = 7946 IRR
IRR atau Riyal Iran berada di tangga pertama senarai ini menandakan matawang ini adalah matawang yang paling lemah dan mempunyai nilai paling rendah di dunia ketika ini. Sebelum penggunaan Riyal, Toman adalah matawang rasmi Iran, yang membuatkan rakyat Iran masih menggunakan perkataan Toman sebagai matawang mereka.
Amat pelik melihatkan Iran mempunyai matawang paling rendah nilainya, memandangkan negara ini mempunyai sumber bahan mentah yang sangat bernilai iaitu minyak. Namun, disebabkan pergolakan yang berlaku seperti peperangan Iran-Iraq, serangan oleh Israel dan juga sekatan ekonomi oleh kuasa besar dunia yang membuatkan minyak dari Iran tidak dapat dieksport, menyebabkan nilai matawang IRR menjadi tersangat lemah dan tenat.
Rujukan :
1. CNN Money
2. Travelex
3. XE
4. Naija Quest
5. Telegraph
7. iluminasi.com
I love your article. you can visit my website.
ReplyDeleteget xe currency app from club apk