Friday, September 8, 2017

Pasti Ada Yang Akan Merindui Cendol Pak Jabit


WATAK Pak Jabit menerusi filem Hantu Kak Limah memberi kesan sehingga peminat meminta pelakon Man Kadir membuka warung seperti dalam filem tersebut.
Berikutan itu, Man Kadir membuat keputusan membuka warung menjual cendol di hadapan rumahnya di Lanchang, Pahang sejak dua tahun lalu bagi memenuhi permintaan ramai.
Warung itu mendapat sambutan menggalakkan namun selepas kematian Man Kadir, pastinya peminat cendol akan merindui pencuci mulut air tangan pelakon itu.
Menurut cucu Allahyarham, Zuhairah Razali, 25, warung yang menjual pelbagai perisa cendol dan jagung itu menjadi perhatian sejak ia dibuka terutamanya bagi peminat datuknya itu.
“Atuk buka warung jual cendol pulut, durian dan tapai atas pemintaan peminatnya. Selain cendol, ada juga jual jagung mentah dan manis.
“Malah, nama dan konsep Warung Pak Jabit itu sendiri diambil menerusi filem tersebut.
“Warung tersebut dibuka di hadapan rumah sejak dua tahun lalu dan setiap hari ia sentiasa penuh,” kata Zuhairah memetik laporan mStar Online.
Malah jelasnya, buat masa sekarang keluarganya belum menentukan siapa yang akan ambil alih menguruskan warung tersebut selepas kematian Allahyarham.
“Sekarang keluarga masih sibuk nak uruskan hal tahlil. Tak silap saya, belum lagi ada perbincangan siapa yang akan ambil alih warung atuk.
“Tapi atuk ada amanahkan kebun, lembu dan kambing ternakan kepada anak bongsunya untuk dijaga,” ujarnya.
Zuhairah berkata Pak Jabit mengalami batuk yang berpanjangan sejak tujuh bulan lalu.
Kali terakhir dia menjalani penggambaran drama Waris Kampung Semerah Padi pada bulan Mei lalu.
“Atuk mengalami batuk yang panjang sejak tujuh bulan yang lalu. Batuk dia memang tak berhenti sejak daripada itu.
“Kali terakhir dia jalani penggambaran drama pada bulan Mei lalu dan ketika itu juga batuk masih berterusan.
“Mungkin itu juga salah satu punca dia selalu kelihatan letih,” katanya.
Pak Jabit atau nama sebenarnya Man Kadir Samsi, 68, meninggal dunia dipercayai berpunca daripada masalah jantung ketika mendapatkan rawatan di sebuah pusat kesihatan di Lanchang pada Khamis.
Allaharyaham meninggalkan isteri bernama Raja Maharani Raja Jaafar, 64, dan tujuh orang anak.

No comments:

Post a Comment

Zikir Dan Doa Yang Baik Dibaca Pada Hari Arafah

  Walaupun umat Islam di Malaysia dan banyak lagi negara lain tidak dapat menghantar jemaah haji ke Tanah Suci, Mekah oleh kerana penularan ...