Tuesday, November 28, 2017

Beras wangi Hom Mali dinobat 'paling sedap' di dunia



BANGKOK - THAILAND. Beras wangi Hom Mali Thailand telah dinobat sebagai beras "paling sedap" di dunia selama dua tahun berturut-turut dan ini merupakan kemenangannya yang kelima sejak tahun 2009, menewaskan beras wangi dari negara jiran iaitu Kemboja dan Vietnam, lapor Agensi Berita Thailand (TNA).

Menteri Perdagangan Thailand Apiradi Tantraporn mengumumkan bahawa beras wangi itu telah mengekalkan kejuaraannya sebagai beras "paling sedap" dalam Pertandingan Beras Terbaik Dunia 2017, yang berlangsung di Macau pada Rabu.

Apiradi berkata Rice Trader, sebuah penerbitan perdagangan terkemuka dunia yang mendedikasikan analisis mendalam terhadap industri beras global, telah menganjurkan pertandingan itu sebanyak sembilan kali, yang menyaksikan Hom Mali meraih kemenangan pada 2009, 2010, 2011, 2016 dan 2017.

Apiradi mengakui bahawa kesemua kemenangan itu mampu membuktikan bahawa beras wangi keluaran Thailand adalah "paling sedap" di dunia dan kementeriannya akan terus bergerak ke hadapan, melalui langkah-langkah yang ketat, bagi mengekal serta melestarikan kualiti dan piawaian tinggi beras Hom Mali Thailand dalam jangka panjang, sambil turut mempromosi dan mewujudkan keyakinan terhadap beras wangi negara berkenaan secara global.

Bagi mengekal serta melestarikan kualiti dan piawaian tinggi beras Hom Mali Thailand, menteri berkenaan menjelaskan bahawa pihaknya akan terus menyediakan pengetahuan serta maklumat kepada petani tempatan tentang cara penanaman yang betul dan masa yang sesuai untuk menuai beras berkualiti tinggi itu.

Untuk saluran pemasaran di peringkat antarabangsa, menteri itu mendedahkan pelannya untuk mempromosi beras wangi Thailand menerusi strategi biasa dan secara dalam talian serta jerayawara, selain menganjurkan pameran perdagangan beras sama ada di pasaran asing yang disasarkan seperti Hong Kong, China, Singapura dan Amerika Syarikat, atau di pasaran domestik.

Menteri itu melaporkan bahawa eksport beras Hom Mali Thailand telah mencecah kira-kira 1.19 juta tan dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun ini, peningkatan tahun ke tahun sebanyak 12.81 peratus, dan dijual pada harga kira-kira US$940 juta setiap tan, berbanding US$650 juta hingga US$700 juta setiap tan bagi tempoh yang sama pada tahun lepas.

Menurut menteri itu, pasaran utama bagi eksport beras Hom Mali Thailand termasuk Amerika Syarikat, China dan Hong Kong manakala pengeluaran beras wangi Thailand adalah lebih tinggi pada musim menuai bagi tempoh 2016/2017, susulan hujan berterusan sejak Pesta Songkran pada April dan kebanyakan kawasan sawah padi tidak terjejas akibat banjir tahun ini di beberapa kawasan rendah. - Bernama

No comments:

Post a Comment

Zikir Dan Doa Yang Baik Dibaca Pada Hari Arafah

  Walaupun umat Islam di Malaysia dan banyak lagi negara lain tidak dapat menghantar jemaah haji ke Tanah Suci, Mekah oleh kerana penularan ...