Sepanjang tahun ini kita dapat melihat begitu banyak kejadian yang dilaporkan di seluruh dunia. Ada yang berakhir dengan kegembiraan dan tak kurang juga terselit sedikit kedukaan. Tetapi, di setiap tragedi lahirnya insan-insan berhati mulia yang memberanikan diri untuk menghulurkan bantuan.
Biarpun mereka ini berunifom atau tidak, namun keberanian mereka dalam merisikokan nyawa untuk membantu sewajarnya dipuji dan dipandang tinggi. Ada dalam kalangan mereka yang terkorban tatkala melakukan tugas tersebut.
Berikut adalah 3 kejadian yang berakhir dengan tragedi:
#1 Bekas Tentera Laut Thailand Yang Kembali Berkhidmat Demi Nyawa Orang Lain
Bulan Julai yang lalu dunia dikejutkan dengan berita 12 orang pemain bola sepak remaja Thailand dan jurulatih mereka telah terperangkap di dalam Gua Tham Luang di Thailand. Kejadian itu telah menarik perhatian dunia apabila mereka semua ditemui dalam keadaan selamat selepas 10 hari berada di dalam gua tersebut tanpa sebarang makanan dan dalam keadan bergelap.
Walaupun mereka semua selamat dikeluarkan, namun terdapat kisah menyayat hati yang telah berlaku sewaktu operasi menyelamat. Seorang bekas tentera laut Thailand sanggup menyarung kembali pakaian menyelam untuk menyelamat mangsa-mangsa tersebut. Namun, ajalnya sudah tiba dan dia telah meninggal sewaktu operasi itu.
Saman Kunan, 38 tahun, telah terkorban ketika membawa tangki oksigen untuk diberikan kepada mangsa. Namun, beliau sendiri telah kekurangan oksigen dan akhirnya tidak menyedarkan diri sebelum menghembuskan nafas yang terakhir. Kerajaan Thailand telah membiyai keseluruhan upacara pengebumian dan dia diberi penghormatan terakhir oleh pihak tentera.
#2 Pengawal Trafik Udara Terus Kekal Dalam Menara Kawalan Sewaktu Gempa Bumi Indonesia
Penghujung bulan September, Indonesia berduka apabila daerah Sulawesi telah dilanda bencana alam gempa bumi berukuran 7.5. Gegaran itu juga telah menyebabkan tsunami sehingga meragut lebih 1,400 nyawa.
Disebalik kejadian itu, munculnya seorang wira yang sanggup menggadaikan nyawa sendiri. Anthonius Gunawan Agung, 21 tahun, seorang pengawal trafik udara sanggup berada di menara kawalan sehingga lah sebuah pesawat Batik Air selamat berlepas.
Selepas memastikan pesawat tersebut berlepas, baru lah pengawal tersebut cuba menyelamatkan diri dengan melompat keluar dari menara kawalan. Sayangnya, dia mengalami kepatahan pada kaki dan juga luka dalaman yang teruk. Dia menghembuskan nafas yang terakhir sebelum sempat helikopter bantuan sampai kepadanya.
#3 6 Bomba Malaysia Cuba Menyelamat Satu Jasad Di Lombong
3 Oktober menjadi satu tarikh yang menyedihkan buat seluruh anggota Pasukan Bomba dan Penyelamat serta seluruh rakyat Malaysia. Ketika hujan lebat mencurah-curah, enam anggota bomba turun ke lombong untuk mencari jasad seorang mangsa yang lemas.
Segala aspek telah diambil kira sebelum menjalankan tugas. Dalam satu video yang tular di media sosial, biarpun air lombong itu dalam keadaan berpusar, keenam-enam anggota ini tetap turun demi tugas.
Malang tidak berbau apabila tali yang mengikat mereka semua terbelit antara satu sama lain sehingga menyebabkan peralatan mereka tertanggal. Akhirnya, keenam-enam mereka terkorban ketika melaksanakan tugas. Ini satu sejarah buat Jabatan Bomba Dan Penyelamat kerana kehilangan anggota dalam jumlah yang agak besar.
Ahli bomba yang terlibat terdiri daripada Mohd Fatah Hashim, 34; Izatul Akma Wan Ibrahim, 32; Mazlan Omarbaki, 25; Yahya Ali, 24; Adnan Othman, 33, dan Muhammad Hifdzul Malik Shaari, 25.
Buat hero-hero yang sudi muncul ketika memerlukan, terima kasih kami ucapkan. Semoga jasa kalian dirahmati Tuhan dan diletakkan dalam kalangan orang-orang yang beriman.
Buat kita semua, hargailah mereka yang selalu ada untuk kita ketika susah mahupun senang. Mungkin hari ini kita nampak kerja mereka mudah tapi disebaliknya sangat susah jika dibayang dengan akal fikiran.
Selamat jalan hero dunia! Berehat lah dengan tenang untuk selama-lamanya.
Sumber: Berita Harian SG, BBC , Astro Awani
No comments:
Post a Comment