BAGI bukan penggemar durian, pastinya aroma raja buah ini menjadi masalah kepada mereka.
Ini kerana keunikan durian, selain rasanya yang lemak manis, adalah baunya yang kuat hinggakan ia dilarang dibawa masuk ke mana-mana hotel di dunia.
Jika anda sering melihat papan tanda larangan membawa durian masuk ke premis, di hotel berkonsepkan resort ini pula sebaliknya menjadikan raja buah itu sebagai tarikan.
Hotel Bangi Golf Resort menjadi hotel pertama di dunia yang bebas daripada papan tanda larangan membawa durian kerana ia berkonsepkan hotel di ladang pertanian.
Menurut pengarahnya Tan Ban Keat, Bangi Golf Resort merupakan resort pertama yang mengetengahkan konsep agro pelancongan kepada pelancong dalam dan luar negara yang dibangunkan di atas tanah terbiar berkeluasan 40 hektar.
“Jika anda pergi ke mana-mana hotel, anda biasanya melihat tanda-tanda 'durian adalah tidak dibenarkan' atau 'durian adalah dilarang'.
“Kami mengubah persepsi untuk menjadi durian akan dibenarkan di zon-zon mesra durian. Pelanggan hotel boleh beli, makan dan membawa durian ke zon-zon yang ditetapkan seluruh resort.”
Ban Keat berkata selain 200 pokok durian musang king, ia turut menempatkan 500 pokok buah tin, 50 pokok avakado dan beberapa pokok kayu keras paulownias, pokok jagung, mulberi berserta tumbuhan lain seperti ulam raja, serai, dan bunga telang.
"Selain menikmati pemandangan hijau di sini, pengunjung berpeluang mempelajari ilmu pertanian secara lebih dekat di ladang pertanian bersama pengusaha ladang dan pakar dalam bidang itu," katanya.
Katanya lagi, resort ini mengetengahkan konsep dari kebun ke meja sebagai satu aspirasi di mana pihak resort mempunyai tanaman sendiri yang boleh dipetik bila-bila masa untuk digunakan.
"Kami harap resort ini beri pengalaman luar biasa kepada pengunjung dengan penambahbaikan kemudahan sedia ada.
"Malah, Bangi Golf Resort, kini menjadi antara resort pertama di Malaysia yang mesra durian, dan sentiasa mengalu-alukan peminat buah-buahan terutamanya raja buah itu," katanya lagi.
Selari dengan konsepnya itu, Bangi Golf Resort baru-baru ini menganjurkan Festival dan Anugerah Durian yang diadakan selama tiga hari bermula 12 Julai lalu.
No comments:
Post a Comment