
-gambar hiasan-
Hari ini Malaysia Utusan memaparkan komen seorang guru Malaysia yang mempertikaikan skim gaji guru 2012 SBPA yang baru ini. Kami tertarik untuk mengulasnya selepas anda baca sendiri komen beliau selepas ini.
Pendapat Salah Seorang Guru Mengenai Skim Gaji Guru 2012 SBPA :
SAYA mengucapkan jutaan terima kasih kepada kerajaan yang bersetuju untuk melanjutkan tempoh opsyen SBPA. SBPA secara umumnya memang mendatangkan banyak kebaikan kepada semua pihak. Contoh ketara ialah peningkatan gaji mati bagi guru iaitu antara 19.34% hingga 56.78%. Perkiraan ini adalah berasaskan gaji mati P1T3 @ P1T2 mana yang berkenaan di gred gaji SSM dengan gaji mati SBPA.
Gaji mati SBPA ini berdasarkan kutipan maklumat dari blog-blog yang boleh dipercayai. Ini kerana laman web JPA setakat ini belum memaparkan jadual gaji SBPA. Namun maklumat ini sangat boleh dipercayai kerana berdasarkan pengalaman gaji saya sendiri yang diuar-uarkan di blog tersebut adalah sama dengan tawaran opsyen SBPA yang saya terima. Terima kasih kepada kerajaan dan syukur kepada Allah.
Namun, disebabkan SBPA ialah sistem ciptaan manusia pasti terdapat beberapa kekurangan. Izinkan saya berkongsi perasaan dan pendapat bersama pembaca sambil mengharapkan mendapat respons positif daripada pihak-pihak yang berkenaan.
Perkara pertama yang ingin saya kongsikan ialah perbezaan peratusan kenaikan gaji bagi guru di bawah SBPA yang sangat ketara. Kami guru DG44/ DG1-2 cuma mendapat kenaikan gaji sebanyak RM2.01 atau 0.07% iaitu dari RM2,982.99 ke RM2,985. Nilai ini terlalu rendah jika dibandingkan dengan guru DG54/DG1-6 iaitu sebanyak RM1,857.46 bersamaan 35.94% iaitu dari RM5,167.64 ke RM7,025.00.
Malah terdengar desas-desus peningkatan gaji JUSA dan kumpulan Premier pula lebih RM3,000 sebulan. Saya tidak dapat memastikan kesahihannya kerana JPA seolah-olah cuba menyembunyikan jadual gaji SBPA daripada menjadi tatapan umum. Untuk tujuan perbandingan tersebut, saya telah menggunakan kaedah yang sangat adil iaitu berdasarkan gaji permulaan bagi kedua-dua gred yang dibandingkan.
Saya mengharapkan agar gaji permulaan SBPA bagi guru DG2-3, DG2-5, DG1-2 DG1-4 dan DG1-5 disemak semula. Jurangnya hendaklah dirapatkan. Kami mengharapkan sekurang-kurangnya 10% kenaikan.
Perkara kedua ialah mengenai tempoh kenaikan pangkat secara time-based. Jika dihayati ucapan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri semasa membentangkan Belanjawan 2012, tempoh guru DG41 (DG1-1) dinaikkan pangkat ke DG44 (DG1-2) adalah tahun ke-8 dan seterusnya tahun ke-16 dikira dari pelantikan DG41 akan dilantik ke DG48 (DG1-4).
Tapi mengikut SBPA kami menunggu tahun ke-9 atau menggenapkan perkhidmatan selama 8 tahun di DG41/DG1-1 sebelum dinaikkan pangkat ke DG44/DG1-2 dan perlu menggenapkan 8 tahun perkhidmatan di DG1-2 sebelum layak dinaikkan pangkat secara time-based ke DG1-4.
Formula 8+8+6+3. Tempoh Kenaikan Pangkat. Dipetik daripada Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 13 tahun 2011. Jika diikutkan maksud ucapan PM, formula tersebut sepatutnya jadi 7+8+6+4. Kami sangat mengharapkan agar dasar ini dikaji semula.
Perkara ketiga yang ingin saya utarakan juga berkaitan dengan perkara di atas. Sebahagian daripada guru siswazah adalah asalnya seorang guru bukan siswazah/lepasan diploma. Kami dinaikkan pangkat ke guru siswazah secara lantikan atau Kenaikan Pangkat Secara Lantikan (KPSL).
Dalam SBPA kaedah ini dikenali dengan nama Peningkatan Secara Lantikan (PSL). Jika mengikut SSM kami diberi formula 3+7 iaitu menggunakan tempoh perkhidmatan sebagai guru bukan siswazah untuk diambil kira sebagai tempoh perkhidmatan untuk proses kenaikan pangkat ke DG44 atau DG48.
Formulanya ialah setiap tiga tahun perkhidmatan sebagai guru lepasan diploma sebagai setahun perkhidmatan sebagai guru siswazah dengan had maksimum yang boleh digunapakai ialah 9 tahun perkhidmatan bersamaan 3 tahun perkhidmatan guru siswazah.
Di bawah SBPA kami tidak mendapat apa-apa maklumat mengenainya. Kami mengharapkan agar dasar tersebut dipanjangkan di bawah SBPA dengan diberi penambahbaikan iaitu dengan menghapuskan had maksimum 9 tahun perkhidmatan bersamaan 3 tahun perkhidmatan guru siswazah.
Rasionalnya permintaan ini ialah, kebanyakan guru KPSL/PSL ini sudah berumur. Jika dihadkan kepada 9 tahun perkhidmatan sahaja yang diambil kira maka kebanyakan guru ini akan sentiasa ketinggalan dari segi insentif berbanding guru baru. Hargailah jasa guru lama ini.
Perkara keempat adalah cadangan baru dari saya sendiri. Saya mencadangkan agar gred gaji guru KPSL/PSL diasingkan daripada guru lantikan pertama. Saya mencadangkan diwujudkan gred baru. Contohnya DG1-1A, DG1-2A, DG1-4, DG1-5A dan DG1-6A. Jumlah gajinya dicadangkan 10% lebih tinggi berbanding gaji DG1-1, DG1-2, DG1-4, DG1-5 dan DG1-6. Cadangan ini adalah berdasarkan pengalaman saya yang dilantik pada Januari 2001 ke PPPS DG3/41 dengan mendapat kenaikan kurang daripada RM30.
Pada Julai 2007 kerajaan memberikan kenaikan gaji sebanyak 15% kepada kumpulan pengurusan dan profesional manakala kumpulan sokongan 1 (iaitu kumpulan saya sebelum itu) diberi kenaikan 25%.
Kesannya gaji saya lebih rendah berbanding dengan rakan saya yang sama-sama dilantik sebagai guru bukan siswazah dengan kelulusan SPM pada tahun 1990. Luahan kami tidak diambil tindakan yang sewajarnya.
Jawapan standard daripada Pegawai Perhubungan Korporat Kementerian Pelajaran Malaysia ialah tidak boleh membandingkan gaji PPPS DG41 dengan PPPLD DGA32 dan menyarankan kami membandingkan gaji PPPS DG41 dengan gaji PPPLD DGA29.
Suka dimaklumkan PPPS DG41 yang membandingkan gaji mereka dengan gaji PPPLD DGA32 adalah guru KPSL@PSL yang mana jika kami tidak dilantik ke PPPSDG41 maka kami sepatutnya mendapat gaji sebagaimana PPPLD DGA32.
Di sinilah wujudnya anomali iaitu di mana pegawai yang dinaikkan pangkat mendapat gaji yang kurang. Satu lagi hujah Pegawai Perhubungan Korporat KPM yang sangat kami benci mendengarnya ialah menyarankan kami melihat secara keseluruhan iaitu elaun-elaun yang diterima.
Saya akui, jika diambil kira elaun yang diterima, jumlah emolumen yang kami terima adalah lebih berbanding PPPLD32 tapi ia masih tidak berbaloi. Perlu diambil ingatan, elaun tidak diambil kira dalam pembayaran pencen dan gratuiti.
Saya sangat mengharapkan agar semua kesatuan guru mengambil tempoh lanjutan ini untuk mengadakan perbincangan dengan JPA supaya skim perkhidmatan perguruan diperbaiki.
JAUHAR AJILI 64
Hulu Terengganu.

Respon Berita Semasa Mengenai Pertikaian Skim Gaji Guru 2012 SBPA :
Jikalau pandangan kami ini pahit ini untuk ditelan, kami minta maaf. Tetapi….yang putih tetap putih, tidak boleh ditukarkan dengan yang hitam. Kalau dah dikatakan pendapat, mungkin itulah pendirian & pandangan beliau berdasarkan skim gaji guru 2012 SBPA ini. Kami hormati. Tetapi kami tampil di sini, adalah untuk “berkongsi pendapat”, yang mana kurang garamnya kita tambah, kalau kurang santan, kita tambah supaya akhirnya nanti dapat menghasilkan menu yang baik. Insyaallah. rakan-rakan pembaca yang lain pun boleh turut serta sekali
Selepas kami membaca komen guru ini, apa yang boleh kami katakan biasanya yang kerap meluahkan ketidakpuashatian kebiasaannya guru-guru lepasan diploma dan kemudiannya sambung belajar, lepas itu dapat ijazah dan naik ke DG41 secara lantikan.
Kalau disingkap semula semasa berada di gred DG29, dapat gaji rendah. Betul bukan? Jadi kerajaan dah berikan peluang untuk sambung belajar, siap tawarkan cuti belajar lagi bergaji penuh untuk mereka-mereka ini menuntut ilmu diperingkat yang lebih tinggi sehingga berjaya mendapat ijazah. Apabila dah dapat ijazah, biasalah mesti seronok & gembira bukan? Tambahan pula gred naik & gaji pun naik sekali.
Tetapi…….selepas itu ada kalangan guru yang mula merungut sebab usia mereka semasa masuk DG41 dah lanjut, tetapi gaji sama banyak dengan guru yang fresh graduate degree. Akhirnya mereka hilang senioriti dalam perkhidmatan. Jadi boleh dikirakan seperti baru mula semula perkhidmatan tahun pertama mereka untuk DG41. Kemudian nak tunggu DG44, kena sama dengan fresh graduate degree yang lain iaitu 10 tahun.
Jadi mereka-mereka ini akan terus merungut sehingga kerajaan pun berikanlah keistimewaan iaitu :
- Setiap 3 tahun perkhidimatan di DGA29 bersamaan 1 tahun perkhidmatan sebagai DG41
- Jadi kalau DGA 29 selama tempoh 9 tahun bersamaan dengan 3 tahun perkhidmatan sebagai DG41. Dan begitulah seterusnya…
- Dengan keistimewaan tersebut, hanya perlu tunggu 7 tahun sahaja untuk dapat DG44 (skim SSM) berbanding fresh graduate yang masih tetap perlu tunggu 10 tahun juga
- Akhirnya “jalan mana sekalipun” cikgu-cikgu senior akan naik DG44 lebih dahulu berbanding yang fresh graduate
Apabila keluar SBPA pula, pun tidak puas hati juga.
Sehingga bertindak nak bezakan dengan JUSA pula. Rasanya kami belum pernah tengok lagi JUSA ini muda trang tang-tang. Dah nak “penghujung usia” baru dapat JUSA. Maksudnya di sini, JUSA pun bermula daripada bawah juga. Mereka bukan seperti :
“Bayi yang baru lahir, terus boleh berlari”
Ada proses yang perlu ditempuhi mereka sebelumnya daripada gaji sekecil-kecil alam sebelum mereka dapat apa yang mereka perolehi hari ini. Mana tahu anda-anda di sini dapat JUSA, siapa tahu bukan? Rezeki anda. Jika anda berusaha ke arah itu, tiada yang mustahil. Apabila anda berada di atas, adakah anda akan berasa seronok kalau orang bawah anda yang lebih muda, berjawatan lebih rendah daripada anda menanggung tekanan & risiko yang kurang berbanding anda asyik dengki & ungkit mengenai gaji anda pada masa itu.
Lagipun berapa ramai sangat JUSA yang ada. Sehinggakan kalau gaji mereka tak naik pun, gaji mereka tetap lagi tinggi daripada DG48 dan ke bawah. Jadi yang nak dapat gaji setinggi JUSA, cuba berusaha ke arah itu (go for it). Dalam perkhidmatan perguruan, banyak jalan pintas. Antaranya,
cuba mohon Guru Cemerlang (GC), jalan pintas untuk dapat DG 44, kemudian mohon pula DG 48….DG52 sampailah dapat JUSA. Sekarang ada mula kelihatan yang dapat JUSA, masih muda lagi. Naik atas platform guru cemerlang.
Pada kami nak membangkitkan isu tiada masalah, masing-masing ada hak untuk menyuarakan pendapat. Tetapi biarlah isu-isunya kena pada “point-point” yang sesuai. Sebabnya benda-benda sebegini berbalik-berbalik kepada anda juga :
- Gred DG 41 – DG 52 merungut dengan gaji JUSA
- Pada masa yang sama kakitangan sokongan pun tentu ada yang acapkali merungut pasal gaji anda pula yang di atas
Kami bersetuju dengan pendapat saudara Jauhari mengenai cadangannya yang keempat (kami telah warnakan tulisan dengan warna biru)
P/S : Walaubagaimanapun suka untuk kami mendengar pandangan guru-guru mengenai skim gaji guru 2012 SBPA?
Sumber