Sunday, November 16, 2014

5 Petua Menyimpan Duit Bagi Orang Yang Susah Menyimpan

Pada masa kini, terutamanya orang muda apabila ditanya tentang simpanan, boleh dikatakan ramai anak muda yang tidak mempunyai simpanan. Mereka merasakan ia sesuatu yang susah dan mustahil untuk dilakukan.
Apatah lagi, pada masa kini, taraf hidup yang tinggi, membuatkan aktiviti menyimpan itu sangat susah dilakukan. Andai diperhatikan, sangat kurang kempen kesedaran tentang menyimpan diwar-warkan.
Menyimpan
Umat Islam perlu menyimpan bagi menunaikan pelbagai tuntutan agama. [Alyssakai]
Ini boleh dilihat daripada papan-papan iklan di tepi lebuhraya, di banner berhampiran lampu trafik, dan iklan-iklan dalam pusat membeli-belah, media sosial. Kesemuanya menggalakkan kita untuk berbelanja.
Jarang sekali ada iklan mengingatkan untuk untuk menyimpan.
Hatta bank-bank, along-along dan pemiutang mengingatkan kita untuk membayar hutang. Mereka telefon dengan bertujuan untuk memberi peringatan agar kita membayar hutang mereka tepat pada masanya. Tidak pernah ada pihak bank, along atau pemiutang telefon dan mengingatkan kita,
“Encik Haris sudah simpan duit?”
“Cik Puan Irma sudah berapa banyak simpanan?”
“Muaz sudah ada simpanan berapa ratus ribu?”

3 Kepercayaan Karut Tentang Menabung

Lebih meruncing lagi apabila masyarakat kita berpegang dengan pelbagai kepercayaan karut tentang menabung.
Sedangkan Islam sendiri mengalakkan agar umatnya menyimpan untuk kegunaan kita pada hari muka yang memerlukan seperti pengajaran yang Allah gambarkan di dalam surah Yusuf,

Surah Yusuf 48
Kemudian akan datang selepas tempoh itu, tujuh tahun kemarau yang besar, yang akan menghabiskan makanan yang kamu sediakan baginya; kecuali sedikit dari apa yang kamu simpan (untuk dijadikan benih). – Surah Yusuf 12:48

#1 – Tiada Duit Untuk Simpan

Hakikatnya tiap orang boleh menyimpan. Andai tidak mampu simpan dengan nilai yang besar, letakkan peratus paling kecil dan nilai paling rendah.
Kata-kata adalah antara salah satu bentuk doa. Justeru, tidak hairan mengapa kita tiada duit untuk simpan, kerana kita selalu cakap, ‘kita tiada duit untuk simpan’.

#2 – Simpan Untuk Kecemasan

Apa yang kita niatkan boleh menjadi doa yang paling kuat untuk dimakbulkan. Sesungguhnya kekuatan dalaman lebih kuat daripada kekuatan luaran. Oleh sebab itu penting menjaga niat.
Segarkan niat daripada ‘simpan untuk kecemasan’ kepada ‘simpan untuk meningkatkan kekayaan’. InsyaAllah itu yang akan berlaku apabila kita niatkan simpan untuk membina kekayaan.

#3 – Simpan Dengan Niat Hendak Digunakan Semula

Ia adalah suatu perkara yang biasa terjadi bagi mereka yang sudah mula menyimpan. Segalanya tertakluk kepada displin. Duit akan pergi kepada mereka yang bertanggungjawab.
Semakin kita tidak bertanggungjawab dengan duit kita, duit tidak akan suka dengan kita. Seperti kita ada anak perempuan yang mahu keluar pada pukul 2 pagi, pasti kita halang. Kita prihatin dengan anak kita. Begitu juga penting mempraktikkan ia dalam perihal kewangan.

5 Teknik Menyimpan Daripada Pakar Kewangan

Teknik ini adalah gabungan teknik menyimpan oleh individu yang terkenal dalam pengurusan kewangan seperti Shamsuddin Kadir, penulis buku Hidup Tenang Walaupun Berhutang, Arkad, orang terkaya di Babylon dan Abang Abu, pengasas Mekanik Wang.

#1 – Simpan Si Hijau

Simpan Hijau
Menyimpan not hijau RM5 adalah satu idea yang kreatif. [Nur Saffawati]
Tiap kali pulang ke rumah, apabila ada Si Hijau (RM5) dalam dompet, simpan ia ke dalam tabung. Dapatkan sebuah balang dan khaskan penyimpanan RM5.

#2 – Simpan Si Oren

Andai berkemampuan dan mampu menebaskan nafsu, tiap kali membawa pulang Si Oren (RM20), masukkan ke dalam balang yang dikhaskan untuk penyimpanan RM20.

#3 – Simpan Duit Syiling

Ini adalah taraf paling rendah bagi mereka yang dalam proses mampu menyimpan Si Hijau (rujuk tip 1). Masukkan semua duit syiling dalam dompet ke dalam balang khas untuk duit syiling.

#4 – Simpan 10% Duit Gaji

Bagi mereka yang bekerja makan gaji, kita sudah memerah keringat selama 30 hari. Perkara pertama yang patut dilakukan, apabila mendapat gaji adalah membayar diri sendiri pada nilai 10% daripada gaji.
“Bayar diri sendiri dahulu sebelum membayar orang lain.”
Arkad, orang terkaya di Babylon
90% Daripadanya, kita boleh habiskan jika mahu. Ada beza antara orang yang ada simpanan RM100 dengan RM10,000. Pemikiran, perasaan dan keyakinan kita akan berubah apabila kita ada simpanan RM10,000. Yang akan memudahkan kita menjadi magnet wang yang menarik lebih banyak wang.

#5 – Mulakan Menyimpan Setiap Hari (Walau 10 sen!)

“Aliran wang orang kaya – dapat duit, simpan dan baru belanja. Aliran wang orang miskin – dapat duit, belanja.”
Abang Abu, Mekanik Kewangan
Apabila kita tetapkan niat simpan setiap hari, secara tidak langsung kita sedang membuat satu aliran terhadap status kewangan kita. Ibarat kita sedang membuka empangan untuk mengalirkan air masuk. Mulakan dengan serendah 10 sen tiap hari.
“Semakin kita lakukan, semakin lancar empangan, semakin banyak air masuk.”
InsyaAllah lama kelamaan, duit akan mudah datang dan masuk dalam tabung. Jangan percaya. Praktikkan dan rasa sendiri. Minima 30 hari dan kongsikan dengan kami hasilnya.
Sumber