Tuesday, June 14, 2011

PENJAWAT AWAM RUGI RM3,000.00 JADI MANGSA PENIPUAN INTERNET

Utusan Malaysia
10/6/2011

BATU PAHAT 9 Jun - Seorang penjawat awam kerugian RM3,000 setelah terpedaya dengan tawaran iklan palsu di Internet berhubung jualan murah kereta mewah jenis Mercedes-Benz E220 Masterpiece yang kononnya baru berusia lima tahun yang ditawarkan pada harga serendah RM25,000.


Duit mangsa tersebut lesap selepas dimasukkan ke dalam akaun bank seorang pengiklan palsu sebagai wang pendahuluan tanpa mengetahui kereta yang ditawarkan di laman http://www.mudah.my/ itu sebenarnya tidak wujud.

Difahamkan, harga pasaran kereta itu adalah antara RM90,000 hingga RM100,000 tetapi pengiklan terbabit telah memperdaya mangsa dengan memberi alasan memerlukan wang segera kerana mahu ke luar negara.

Mangsa, seorang lelaki berusia 42 tahun memasukkan wang pendahuluan yang diminta hanya setelah berurusan menerusi telefon tanpa terlebih dahulu bertemu dengan suspek mahupun mengambil butiran terperinci pengenalan diri dan dokumen penjualan yang diperlukan.

Malah, mangsa yang bekerja di daerah ini dikatakan melihat iklan di Internet itu pada pagi 26 Januari lalu dan tanpa berfikir panjang memasukkan wang pendahuluan ke dalam akaun bank pada pukul 3.30 petang setelah menghubungi suspek berhubung urusan pembelian kereta itu.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Din Ahmad berkata, mangsa diberitahu supaya datang ke Plaza Tol Sungai Buloh, Selangor pada keesokan hari untuk mengambil kereta itu tetapi suspek dan kenderaan ditawarkan tidak muncul malah 'penjual' juga tidak menjawab panggilan telefon.

Menurut Din, setelah hampir dua jam menunggu dan merasakan dirinya ditipu, mangsa kemudiannya terus membuat laporan di Balai Polis Sungai Pelong di Petaling Jaya pada hari sama.

"Kes ini memberi pengajaran supaya jangan terlalu mudah percaya dengan sebarang tawaran apa jua barang pun termasuk kereta jika harga ditawarkan terlalu rendah atau tidak munasabah.

"Gerakan memburu suspek sedang dijalankan dan kita akan bekerjasama dengan pasukan polis di daerah dan negeri lain untuk memastikan sama ada suspek terlibat dalam kes sama di tempat lain," katanya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat di sini hari ini.

Din berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana melakukan penipuan dan jika disabit kesalahan, pesalah boleh dipenjara tidak melebihi 10 tahun dan boleh disebat serta dikenakan denda.

Menurut beliau, seorang lelaki, M. Rajandren, 56, (gambar) dikehendaki polis bagi membantu siasatan berhubung kes itu dan orang ramai yang mempunyai maklumat tentang Rajandren diminta menghubungi mana-mana balai polis berdekatan.

Sumber

No comments:

Post a Comment

Zikir Dan Doa Yang Baik Dibaca Pada Hari Arafah

  Walaupun umat Islam di Malaysia dan banyak lagi negara lain tidak dapat menghantar jemaah haji ke Tanah Suci, Mekah oleh kerana penularan ...