Datuk Maznah Mazlan (kiri) dan Shamsuddin Bardan.
PELBAGAI reaksi diberikan terhadap cadangan melanjutkan usia persaraan kakitangan awam dan swasta kepada 60 tahun. Pihak yang menyokong antara lain bertegas ia demi keperluan dan kepentingan masa depan bagi menangani kenaikan kos sara hidup, yang menentang pula khuatir ia menyekat peluang kenaikan pangkat, meningkatkan kadar pengangguran, menyumbang kepada masalah sosial dan jenayah. Wartawan Berita Minggu, DIYANAH ANUAR dan RASHIQAH ILMI ABD RAHIM mendapatkan Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Maznah Mazlan dan Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan Malaysia (MEF), Shamsuddin Bardan untuk mengulas cadangan berkenaan.
Maznah Mazlan
Lebih baik jika KWSP, majikan dan Kementerian Sumber Manusia mengadakan program bagi memberi panduan kepada pekerja untuk menguruskan dana dengan lebih baik apabila bersara. - Shamsuddin Bardan, Pengarah Eksekutif MEF
APA pandangan Datuk mengenai cadangan ini?Secara keseluruhannya, tujuan had umur persaraan dilanjutkan adalah bagi membolehkan kakitangan dalam perkhidmatan berdepan pelbagai kenaikan kos sara hidup, termasuk perubatan, perumahan dan barangan keperluan harian. Kita melihat isu usia mempunyai implikasi begitu besar kepada produktiviti guna tenaga kerja di negara ini. Sekarang ini, sektor swasta belum ada penetapan umur persaraan. Perkara ini sedang dikaji kerajaan serta kementerian dan sudah ada pelbagai inisiatif dengan mengumpulkan maklumat kajian dan hasil rundingan dengan semua pihak berkepentingan seperti kementerian, agensi kerajaan, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), wakil majikan, wakil pekerja dan industri sebelum memberi keputusan terbaik kepada semua pihak.
Kenapa perlu kajian semula selepas sekian lama mengikut amalan biasa? Pertama, kita perlu melihat daripada aspek demografi. Jumlah penduduk di negara ini berusia 60 tahun ke atas pada 2006 adalah 1.8 juta dan pada 2010 seramai 2.1 juta, dijangka meningkat kepada 2.7 juta pada 2015 dan seterusnya bertambah. Kedua, kadar kesuburan yang mana pada 1950-an, purata seorang ibu melahirkan antara enam hingga tujuh anak, menyusut pada 2010 pada purata hanya dua hingga tiga anak.
Kita faham sekarang wanita ramai kahwin lambat kerana pendidikan dan kerjaya, ada juga memilih tidak berkahwin atas pilihan sendiri atau sebab lain. Apabila bilangan berusia 60 tahun bertambah dan kesuburan menyusut, ia sekali gus mengakibatkan kita kekurangan sumber tenaga kerja. Sekarang kita ada ramai pekerja asing, jika kadar penggantian menyusut diakibatkan masalah kesuburan, kita terpaksa bergantung kepada pekerja asing. Langkah awal melanjutkan perkhidmatan adalah cara terbaik menangani masalah ini selain membantu mereka dalam aspek kewangan selepas bersara.
Boleh Datuk perjelaskan lebih lanjut mengenai aspek kewangan selepas persaraan?
Berdasarkan kajian KWSP pada 2009, 73 peratus mereka yang bersara pada usia 55 tahun memiliki simpanan RM50,000. Keadaan bertambah buruk apabila purata jangka hayat meningkat sehingga 72.9 tahun. Hanya berbekalkan RM50,000 simpanan selepas bersara, seseorang itu hidup dalam paras kemiskinan dengan purata pendapatan bulanan RM530. Justeru, saya yakin sekiranya perkhidmatan pekerja dilanjutkan sekurang-kurangnya lima tahun, mereka tidak perlu bergantung kepada sesiapa kerana masih mempunyai pendapatan tetap dalam tempoh beberapa tahun selain simpanan KWSP juga akan semakin bertambah.
Berdasarkan angka daripada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) pada 2010, bilangan orang tua tidak bekerja yang menerima bantuan adalah sekitar 120,496 orang. Ini bermakna kerajaan memperuntukkan RM422 juta setahun untuk menampung golongan ini dan ia satu beban walhal peruntukan itu boleh digunakan untuk menampung kos lain.
Namun, menaikkan had umur persaraan juga dilihat boleh memberi kesan negatif terhadap produktiviti dan kualiti tenaga kerja?
Seperti yang kita ketahui, umur bekerja hari ini ialah antara 16 hingga 64 tahun. Soal produktiviti atau menyimpan ‘dead wood’ dalam satu organisasi tidak timbul kerana ia tidak berkaitan dengan umur. Orang muda pun ada yang tidak produktif. Kementerian melihat ia sebagai kebaikan kerana keperluan tenaga kerja berpengalaman wajar dikekalkan selagi mereka mampu berkhidmat. Kita juga akan fikirkan sama ada memberi pilihan atau mandatori kepada pekerja jika cadangan ini diluluskan, bergantung kepada hasil kajian dan perbincangan yang akan diumumkan tidak lama lagi.
Satu lagi faktor ialah tahap kesihatan yang meningkat ketara. Jangka hayat pada 1950-an, purata boleh hidup dalam lingkungan 48.5 tahun, iaitu lelaki sehingga 47 tahun dan wanita pada purata 50 tahun, jadi sesuai dengan had persaraan 55 tahun. Tetapi pada 2010, purata jangka hayat meningkat dengan lelaki sehingga 72.9 tahun dan wanita 77.6 tahun. Ini menunjukkan mereka mampu bekerja lebih lama. Jika hendak dibandingkan dengan negara lain, kita agak ketinggalan. Jepun dan Korea Selatan sudah melanjutkan usia persaraan hingga 60 tahun, Brunei, Indonesia, Thailand, Filipina, Vietnam dan Kemboja juga melakukan perkara sama bagi sektor swasta mereka. Singapura pula melanjutkan hingga 62 tahun dan Australia 65 tahun. Usia bersara 55 tahun di Malaysia ketika ini hanya meletakkan kita sama dengan Bangladesh, Sri Lanka, Nepal dan Papua New Guinea.
Kebanyakan golongan muda dalam sektor swasta dan awam membantah cadangan itu, menyifatkannya menyekat peluang kenaikan pangkat, meningkatkan kadar pengangguran dan masalah sosial. Ada juga sinis menyindir cadangan ini mungkin kerana KWSP sudah kehabisan wang dan kerajaan ada agenda sendiri?
Di sebalik reaksi negatif yang diterima, saya bertanggungjawab untuk menjelaskan bahawa cadangan melanjutkan umur persaraan ini tiada kaitan dengan peluang kenaikan pangkat mahupun kadar pengangguran. Kajian Bank Dunia selama 42 tahun terhadap negara maju mendapati lanjutan umur persaraan tidak menjejaskan peluang pekerjaan golongan muda kerana mereka kurang berpengalaman dan pengetahuan jika dibandingkan dengan pekerja lama. Malah, kerajaan juga sudah melakukan pelbagai usaha membantu golongan muda melalui Program Transformasi Ekonomi (ETP) yang berpotensi tinggi memacu pertumbuhan dan menyumbang secara langsung terhadap peningkatan ekonomi negara selain Model Baru Ekonomi yang mana pihak swasta akan memainkan peranan lebih ketara manakala sektor awam akan jadi pemudah cara kepada sektor swasta. Kita dapati semua inisiatif ini akan menjana pekerjaan baru yang begitu banyak dan dijangka 3.3 juta peluang pekerjaan akan ditawarkan pada 2020.
Selain itu, usaha memperkasakan bidang kemahiran dengan latihan dalam bidang teknikal dan vokasional secara tidak langsung membuka peluang lebih kepada golongan ini untuk tidak hanya bergantung kepada pekerjaan tradisi tetapi juga bidang kemahiran. Tidak timbul isu kewangan atau agenda tertentu kerana cadangan ini jelas untuk masa depan negara.
Jika diluluskan, apa kaedah paling baik akan digunakan. Adakah melalui kesediaan pekerja sendiri untuk menyambung khidmat selepas bersara atau keputusan dibuat berdasarkan merit?
Buat masa ini kita belum menentukan sama ada lanjutan umur persaraan ini mandatori atau pilihan. Bagaimanapun, pemberian pilihan dilihat sebagai sesuatu yang baik bagi memberi peluang kepada setiap individu membuat keputusan berdasarkan kemampuan masing-masing. Merit atau penilaian pula bergantung kepada organisasi itu sendiri. Yang pasti kami akan menetapkan majikan tidak boleh memberhentikan pekerja selagi mereka belum mencapai umur persaraan, kecuali atas sebab tertentu seperti sakit atau sebagainya.
Shamsuddin Bardan
Bagaimana reaksi MEF apabila cadangan ini dibangkitkan dan jika ia diluluskan kerajaan, perlukah wujud kategori kerja berbeza supaya sesuai dengan usia pekerja?
Sebenarnya, permintaan untuk menaikkan had umur wajib bersara sudah lama disuarakan pelbagai pihak. Sebelum ini, MEF tidak berminat dengan cadangan ini kerana kita rasakan, pekerja pada usia 50 tahun ke atas masih boleh terus bekerja secara kontrak. Namun, bila melihat kepada keadaan pasaran tenaga kerja sekarang berlainan di mana begitu ramai pekerja asing, mencecah 1.7 juta orang di Malaysia, haruskah kita membiarkan saja perkara ini atau menggunakan tenaga kerja tempatan.
Disebabkan faktor seperti ini yang disokong pula dengan pelbagai faktor lain, MEF berpendapat wajar kita meningkatkan usia persaraan. Memang ada sesetengah pekerjaan yang banyak menuntut penggunaan kudrat seperti dalam sektor pembinaan, perladangan dan perkilangan tidak sesuai untuk dilanjutkan umur bersara. Untuk mereka, kita ada minta pengecualian dan majikan, kesatuan serta kerajaan harus melihat bagaimana boleh tolong mereka. Di sinilah fungsi program latihan dan latihan semula untuk tenaga kerja, mungkin golongan pekerja dalam sektor itu boleh dilatih melakukan kerja yang kurang menggunakan manual. Contohnya, kita boleh berikan mereka kerja di lapangan terbang, menggunakan mesin ringkas seperti yang diamalkan di Thailand dan Singapura. Cara ini juga boleh meningkatkan imej negara kerana menunjukkan kita lebih menggunakan tenaga kerja tempatan daripada orang asing.
Bagi majikan, apakah buruk baiknya menggaji kakitangan yang berusia lebih 55 tahun?
Kita rasa melanjutkan usia persaraan sehingga 60 tahun itu boleh dilaksanakan. Lihat saja purata jangka hayat rakyat kita kini yang mencapai lebih 72 tahun, jadi tempoh persaraan itu dilihat agak lama untuk dilalui. Adakah kita perlu berdiam saja atau berbuat sesuatu untuk jadi lebih aktif dalam ekonomi? Kalau kita tingkatkan umur bersara dan beri peluang kepada golongan 55 tahun ke atas terus bekerja lima tahun lagi, itu boleh membina masyarakat yang lebih stabil bagi kelompok usia begini. Lanjutan lima tahun itu boleh kita gunakan untuk menambah sumber tenaga manusia dan kita harus gunakan peluang ini sepenuhnya. Dari segi statistik juga, pekerja sektor swasta yang bekerja secara formal tidak begitu ramai.
Mengikut statistik KWSP, ada 5.8 juta pekerja sektor swasta yang aktif bekerja dan kira-kira 100,000 bersara setiap tahun. Kalau kita ambil tempoh lima tahun, kita akan peroleh kira-kira 500,000 pekerja tiada dalam pasaran kerja. Jumlah 500,000 itu secara tidak langsung dapat mengurangkan pekerja asing. Pada masa sama, kehadiran pekerja asing perlu diuruskan sebaiknya dan bersistematik. Negatifnya ada, iaitu dari segi kos tapi kita boleh urus perkara itu. Sesetengah majikan berkata, lanjutan ini akan menjadikan pekerja yang berusia ini malas dan sebagainya. Ia mungkin berlaku, tapi boleh ditangani. Kalau benar-benar seseorang pekerja itu merosot prestasinya, syarikat boleh ambil tindakan sepatutnya, memperbaiki prestasi mereka atau terus menamatkan perkhidmatan pekerja terbabit. Tidak bermakna apabila seseorang pekerja usia lebih 55 tahun, boleh duduk goyang kaki dan panaskan kerusi, dapat gaji saja sehingga bersara pada usia 60 tahun.
Ramai juga membantah cadangan ini, terutama golongan muda yang menganggap peluang memasuki pasaran kerja dan naik pangkat semakin tipis jika usia persaraan dilanjutkan?
Golongan muda tidak perlu khuatir kerana hal ini tidak semestinya berlaku dalam semua organisasi. Peluang untuk naik pangkat masih ada, cuma sedikit lewat. Sebagai rakyat, ini (perubahan) adalah pengorbanan yang harus kita lakukan jika mahu menuju kepada penggunaan sumber manusia yang lebih baik. Bagi yang bimbang mengenai nasib graduan universiti atau lepasan sekolah yang tidak dapat kerja, saya rasa itu sesuatu yang boleh ditangani dengan lebih baik. Ada satu kajian dilakukan kerajaan, soal selidik mengenai jumlah tenaga kerja yang diperlukan majikan. Pihak majikan menyatakan, ada lebih sejuta ruang kosong. Dari segi kemasukan tenaga kerja baru dalam pasaran, secara purata, seramai 300,000 orang setiap tahun. Dengan kekosongan yang demikian, saya rasa pasaran kerja kita boleh menampung permintaan. Nanti bila lebih ramai warga tempatan ingin bekerja dan dapat penuhi ruang sedia ada, kita dapat kurangkan keperluan terhadap pekerja asing. Ia sesuatu yang positif dari segi ekonomi kerana dapat mengurangkan penghantaran wang ke luar negara, iaitu kira-kira RM22 bilion oleh pekerja asing setiap tahun yang boleh diguna untuk membangunkan negara.
Satu lagi faktor yang ditekankan penyokong cadangan ini ialah manfaatnya kepada tabungan. Sejauh mana tempoh lima tahun lanjutan itu boleh menambah jumlah simpanan dengan ketara?
Bagi saya, lebih baik jika KWSP, majikan dan Kementerian Sumber Manusia mengadakan program bagi memberi panduan kepada pekerja untuk menguruskan dana dengan lebih baik apabila bersara. Ini juga masa yang baik untuk memberi pendidikan begini kepada pekerja bagi mengelakkan masalah kehabisan simpanan dalam tempoh singkat selepas bersara. Golongan pekerja tidak harus mempunyai pemikiran bahawa selepas bersara, mereka tidak perlu lagi melakukan kerja yang boleh menjana pendapatan. Golongan ini perlu diberi bimbingan, apa yang boleh mereka lakukan selepas bersara.
Selain itu, pihak berkaitan perlu membantu dalam mewujudkan aktiviti ekonomi atau pekerjaan yang bersesuaian dengan golongan yang mencapai usia persaraan. Bukan bermaksud bila kita lanjutkan usia bersara beberapa tahun, simpanan KWSP yang sepatutnya seseorang pekerja ada akan mencukupi untuk menampung hidup mereka. Mungkin akan dapat kira-kira RM10,000 hingga RM15,000 saja caruman KWSP sepanjang lima tahun itu. Tapi, ia suatu langkah permulaan yang baik. Apa yang penting ialah bagaimana kita dapat merangsang pekerja untuk terus memberi perkhidmatan yang baik dan menyumbang kepada ekonomi. Sebab itu MEF sering utarakan mengenai keperluan membayar gaji berdasarkan produktiviti dan prestasi. Jadi, masing-masing akan lebih produktif untuk dapat gaji lebih tidak kira usia.
Bagaimana untuk mendapatkan keseimbangan dalam isu ini supaya setiap pihak memperoleh manfaat?
Ada sesetengah majikan mengatakan lanjutan umur bersara akan menimbulkan masalah, antaranya dari segi tenaga fizikal dan kesihatan pekerja dan sebagainya. Kita perlu ubah keadaan ini seiring dengan langkah transformasi yang kerajaan lakukan. Kita perlu lakukan transformasi diri, ambil langkah pencegahan supaya berupaya untuk terus bertenaga dan sihat walaupun usia melangkau 50 tahun. Ini secara tidak langsung meningkatkan kualiti hidup. Perubahan yang mahu dilakukan juga mestilah holistik. Ubah usia bersara, ubah gaya hidup, ubah cara bekerja dan ubah cara berfikir. Namun untuk sementara waktu, perlu juga ada peruntukan atau pilihan kepada pekerja yang tidak mahu bersara pada usia 60 tahun, yang mungkin sudah mempunyai perancangan tersendiri untuk menghadapi pasca persaraan. Kita tidak boleh paksa mereka terus bekerja sedangkan dalam hati, mereka tak mahu.
-Sumber-
No comments:
Post a Comment