Friday, January 6, 2012

Makanan Ringan Penyebab Utama Kanser

Jajan adalah istilah baru bagi makanan ringan yang banyak mengandungi perisa tiruan seperti MSG, bahan pengawet dan pewarna tiruan yang bahaya kepada kesihatan. Umum mengetahui bahawa jajan merupakan penyebab utama kepada penyakit kanser yang bahaya, walaupun pada umur muda.
Demi kesihatan dan kesejahteraan hidup, jangan jadikan jajan menu harian…. mencegah lebih baik daripada mengubati.
Artikel berikut memperincikan faktor penyebab kanser yang sering dihidapi oleh orang-orang yang suka makanan segera (jajan) tetapi tidak suka makan sayur atau tidak mengamalkan diet yang seimbang….
Ikut selera tekak punca kanser
HERBALIS BAHRAIN SAMAH, RH (AHG)
December 27, 2011

Beberapa jenis makanan tertentu yang diambil, pada masa sama meminggirkan makanan dengan nilai nutrien tinggi yang diamalkan secara berpanjangan dipercayai adalah faktor utama mengapa semakin ramai didiagnosis menghidap kanser dalam kalangan kanak-kanak hingga ke peringkat usia emas.
Hari ini semakin ramai orang dikatakan makan ikut selera tekak sahaja. Mereka lebih menggemari makan makanan terproses dan segera berbanding makanan yang tinggi nilai nutrien. Sesetengahnya, makan ayam goreng hampir setiap kali makan, dan beri alasan ikan mahal.
Ramai juga tidak makan sayur-sayuran disebabkan rasanya tidak menyelerakan. Begitu juga dengan makanan diperam seperti tempoyak, budu dan jeruk buah-buahan asli kerana rasanya tidak menyenangkan.
Seorang kanak-kanak lelaki didiagnosis menghidap sejenis kanser otak ketika berusia lapan tahun. Dia boleh dikatakan tidak menyentuh nasi sepanjang hidupnya dan banyak mengambil makanan merapu yang terdiri daripada makanan terproses di rumah mahupun di sekolah.

Kanser organ reproduktif
Anda bayangkan bagaimana seorang remaja perempuan berumur 19 tahun yang belum berkahwin boleh menghidapi kanser payudara. Penulis berpendapat remaja tersebut menghidapi kanser payudara berpunca daripada jenis makanan yang diambil sejak sekian lama. Dia juga kurang makan nasi. Sebaliknya sering makan ayam goreng dan makanan segera lain seperti hotdog dan burger.
Remaja itu mudah mendapatkan makanan tersebut kerana ibunya penjaja makanan ringan di pasar malam. Pada masa sama, rakan sebaya remaja tersebut juga mengalami sis ovari. Sis ovari bukanlah sejenis kanser tetapi ia merupakan ketumbuhan atau tumor ovari.
Apakah kaitan kurang atau tidak makan nasi dengan pembentukan kanser? Makan nasi yang penulis maksudkan ialah nasi berlaukkan makanan yang tinggi zat seperti ikan dan sayur. Jenis lauk-pauk juga berbeza-beza dari satu hari ke hari yang lain. Makanan daripada jenis dan penyediaan secara tradisi adalah paling baik seperti masakan yang direbus atau digoreng dengan pantas.
Ini bertujuan mengurangkan kehilangan/kemusnahan gizi atau nilai nutrien sama ada nutrien makro atau mikro. Lauk-pauk tidak sepatutnya sering kali dalam bentuk makanan gorengan secara terendam lama seperti ayam goreng dan nuget. Air terbaik mengiringi makanan ialah air mineral atau orang dulu-dulu minum air masak yang ditimba dari telaga. Jus buah-buahan tanpa gula atau teh herba juga sesuai.
Terdapat teori popular di kalangan golongan perubatan moden iaitu mereka mengaitkan pembentukan sis/ketumbuhan atau kanser organ reproduktif dengan paras estrogen tinggi. Penulis pula mengikut pendapat yang menyatakan ia berpunca dari ketidakseimbangan hormon reproduktif iaitu antara estrogen dan progesteron.
Pada keadaan normal hormon progesteron yang bersifat merencatkan pembahagian sel organ reproduktif sentiasa mengimbangi hormon estrogen yang bersifat merangsang pembahagian sel organ reproduktif. Hati tidak berfungsi secara berkesan berpunca daripada pelbagai faktor dipercayai kurang berkesan dalam memusnahkan estrogen. Ini dipercayai punca ketidakseimbangan estrogen-progesteron.
Hati organ penting
Salah satu punca mengapa fungsi hati terganggu ialah sering makan makanan terproses dan pada masa sama kurang atau langsung tidak makan sayur-sayuran. Sayur-sayuran bantu lancarkan fungsi hati termasuk bantu hati menjalankan detoks dengan sempurna.
Punca lain adalah sering mengalami gangguan emosi secara berpanjangan termasuk murung, risau dan sedih. Untuk pengetahuan anda, karakter terlalu agresif, mudah meradang atau sifat kurang sabar boleh mengganggu fungsi hati. Fungsi hati semakin terganggu jika seseorang masih mengalami gangguan emosi seperti disebutkan di atas dan mengamalkan karakter-karakter tersebut secara berterusan.
Sindrom premenstuasi yang teruk termasuk gejala seperti haid tidak lancar ialah tanda fungsi hati terganggu. Perubatan moden tidak mengetahui kaitan antara hati dan fungsi sistem reproduktif. Namun ia telah diketahui dan diamalkan oleh sistem perubatan tradisional China (SPTC) sejak beribu tahun dahulu.
Menurut SPTC, meridian (saliran chi) hati berpunca dari hati. Ia turun ke bawah dan meliputi organ reproduktif termasuk kemaluan. Meridian ini seterusnya turun dari kawasan kemaluan dari bahagian sebelah dalam pangkal peha menghala ke arah bawah.
Antara herba yang boleh meredakan kesesakan meridian hati dan seterusnya PMS ialah Dong Quai (Tang Kwei) jintan manis dan halba dan herba pahit. Pucuk betik dan ulam raja ialah antara ulam yang sesuai. Semua orang tahu sayur-sayuran kaya dengan antioksidan yang membantu meneutralkan radikal bebas.
Paras radikal bebas yang tinggi dan tidak terkawal dikatakan punca kepada mutasi sel. Sel yang bermutasi secara tidak terkawal akhirnya membentuk sel kanser. Makanan terproses mengandungi paras nutrien yang amat rendah. Tambahan pula kebanyakan makanan terproses membekal bahan karsinogen seperti perisa dan warna tiruan. Paras gula tinggi pula mengganggu fungsi sistem kekebalan terutama sel pembunuh T (T killer cell).
Ekspresi gen
Makanan gorengan dikatakan boleh menyebabkan kerosakan membran dan komponen sel termasuk DNA. Karbohidrat, protein dan lemak yang dipanaskan terutama pada suhu tinggi seperti dipanggang hingga hangus atau digoreng secara terendam lama membentuk bahan karsinogenik.
Kegilaan kanak-kanak dan remaja makan kentang goreng sebenarnya juga menempah maut. Mengapa? Kentang goreng biasanya disalut dengan lemak terhirogenasi. Lemak terhidrogenasi termasuk marjerin sayur-sayuran dipercayai tidak sesuai untuk tubuh.
Epigenetik
Kekerapan mengambil minyak sayuran cair kategori omega 6 seperti minyak bunga matahari, safflower, jagung atau kacang soya dan lemak terhidogenasi yang diperbuat darinya dipercayai akan melemahkan struktur membran sel. Kandungan lemak trans (walau pun pada kuantiti amat rendah) dalam lelemak terhidrogenasi dipercayai melemahkan lagi struktur membran sel. Stuktur membran sel yang tidak teratur dipercayai antara lain mengganggu komunikasi antara sel dan mengubah ekspresi gen.
Ekspresi gen yang berubah menyebabkan gangguan kepada pelbagai fungsi organ sistem. Perubahan ekspresi gen yang berlaku akibat perubahan persekitaran biokimia membran sel tanpa mengubah susunan DNA ini dikenali sebagai epigenetik. Jadi, mengurangkan dan seterusnya mengelakkan makanan yang dipercayai menjadi punca pembentukan kanser ialah suatu usaha permulaan yang baik.
Makanan terproses dan kurang makan makanan kaya antioksidan seperti sayur-sayuran dan buah-buahan dikatakan menyebabkan tubuh kita mudah ‘berasid’. Tanda-tanda tubuh berasid banyak termasuk sering demam, batuk, sakit kepala, artritis, sakit gusi, sakit gigi dan serangan jantung. Makanan yang atau bersifat panas seperti daging, ayam dan makanan gorengan secara terendam lama menjadi hidangan utama hari ini. Pelopor teori keasidan-kealkalian tubuh mengklasifikasikan makanan tersebut sebagai makanan berasid.

1 comment:

  1. A'kum nak Hafiz, ibu setuju dan amat berterima kasih dengan penerangan yang terperinci mengenai pemakanan kanak-kanak dan remaja masa kini. Ianya banyak membantu dan ada kesedaran yang tersirat dalam jiwa anak-anak ibu setelah mereka membacanya. Mencegah lebih baik dari mengubati...mudah-mudahan akan lebih ramai lagi yang menyedarinya. Sekian, w'salam.

    ReplyDelete

Zikir Dan Doa Yang Baik Dibaca Pada Hari Arafah

  Walaupun umat Islam di Malaysia dan banyak lagi negara lain tidak dapat menghantar jemaah haji ke Tanah Suci, Mekah oleh kerana penularan ...