Apa yang dimaksudkan dengan Fenomena Halo?
Fenomena Halo ialah satu fenomena di mana lingkaran cahaya seakan-akan pelangi mengelilingi matahari atau bulan. Ia adalah sejenis fenomena optik. Fenomena semulajadi ini agak kerap berlaku di Malaysia sejak kebelakangan ini.
Secara amnya hola terjadi kepada matahari atau bulan. Namun begitu, terdapat berbagai jenis halo, tetapi kebanyakannya terjadi dari kristal ais dalam awan sirus sejuk yang terletak pada ketinggian 6–18 km dari tanah iaitu di lapisan troposfera atas. Bentuk dan orientasi kristal-kristal ini menentukan bentuk halo yang terjadi.
Lapisan awan cirrostratus ini sangat nipis sehinggakan matahari atau bulan boleh dilihat dengan jelas melaluinya, tetapi kadang-kadang matahari atau bulan juga boleh kelihatan sebagai bayangan malap melalui lapisan awan yang tebal.
Apabila cahaya matahari atau cahaya bulan melalui kristal ais awan cirrostratus, cahaya tersebar atau dibiaskan yang menyebabkan halo terbentuk. Ini menyebabkan matahari atau bulan kelihatan seolah-olah dikelilingi cincin (sebenarnya adalah cahaya bulan yang terserak). Cincin tersebut sepatutnya berwarna pelangi yang jelas kelihatan pada halo matahari, tetapi bagi halo bulan agak berlainan sedikit kerana bulan tidak mempunyai cahayanya sendiri (bulan hanya memantulkan cahaya dari matahari) maka kesan warna itu amat terhad dan tidak kelihatan.
Gambar: Fenomena Halo Matahari di Taiping pada 27/5/2011.
Kewujudan halo ini dikatakan sebagai petunjuk yang boleh diguna untuk meramal hujan atau ribut petir dalam tempoh 12 hingga 24 jam, terutama jika ia diikuti awan jenis pertengahan.
Dinasihatkan orang ramai yang ingin melihat halo perlu memastikan kedua-dua mata dilindungi daripada pancaran matahari. Jangan sesekali memandang halo secara terus dan dalam tempoh yang lama dan perlu sembunyikan matahari dari penglihatan di sebalik binaan, bangunan atau apa-apa sahaja.
Orang ramai juga diingatkan supaya berhati-hati apabila mengambil gambar halo tanpa pelindung matahari kerana ia sangat berbahaya terutamanya ketika menggunakan kamera Single-lens reflex (SLR).
No comments:
Post a Comment