Wednesday, November 28, 2012

Osteoporosis On The Rise For Both Men And Women: How To Reduce Your Risk


Osteoporosis (tulang rapuh atau pengurangan jisim tulang) menyebabkan tulang mudah patah, tulang semakin mengecil atau memendek, tulang belakang bengkok, atau jika keadaan serius ia boleh menyebabkan kecacatan.
Apabila disebut saja osteoporosis, selalunya ia dikaitkan dengan wanita yang telah berumur. Namun sejak kebelakangan ini, osteoporosis juga semakin meningkat di kalangan orang lelaki dan golongan yang lebih muda. Dijangkakan osteoporosis di kalangan orang lelaki akan meningkat kepada 50% dalam masa 15 tahun akan datang.
Para saintis telah mengenalpasti faktor utama bagi risiko mendapat osteoporosis ialah diet yang tidak seimbang (makanan diproses, makanan banyak lemak, merokok, minuman keras, dsb.) dan gaya hidup tidak sihat (kurang bersenam, kurang aktiviti fizikal dan banyak duduk). Faktor-faktor ini akan mengakibatkan kekurangan mineral tulang.
Beberapa cara boleh dilakukan bagi melambatkan proses kemerosotan tulang secara semulajadi, di antaranya ialah:
1. Ubat pembinaan tulang (Bisphosphonates)
Bisphosphonates (ubat pembinaan tulang) berfungsi untuk melambatkan proses penuaan yang menyebabkan tisu tulang larut secara perlahan-lahan yang dikenali sebagai osteoporosis. Pengambilan bisphosphonates secara tetap dapat memperlahankan kadar pengurangan jisim tulang yang menyebabkan tulang mudah patah.
Namun begitu, pengambilan bisphosphonates juga boleh mendatangkan kesan negatif dalam jangkamasa panjang, seperti tulang peha mudah patah dan penyakit tulang rahang yang serius. Oleh itu, penggunaan kaedah semulajadi bagi memperlahankan penguraian tisu tulang dan membantu membina tisu tulang yang baru adalah lebih baik.
Di antara kaedah semulajadi yang disyorkan bagi menangani osteoporosis adalah seperti berikut:
2. Penyerapan nutrien
Keupayaan badan menyerap nutrien secara berkesan merupakan faktor yang penting dalam penjagaan kesihatan tulang dan ia berkait rapat dengan proses osteoporosis. Faktor utama terjadinya osteoporosis dikaitkan dengan proses penghadaman yang lemah, di mana akhirnya mineral yang diperlukan oleh badan diserap keluar dari tisu tulang. Contohnya, makanan produk tenusu yang kaya dengan kalsium, vitamin dan mineral sukar dihadamkan, dengan itu kalsium dan mineral yang perlu akan diserap keluar dari tisu tulang.
Oleh itu, bagi membantu menangani dan mensaimbangkan proses ini, lebih mineral adalah diperlukan dari suplemen dan makanan yang kaya dengan mineral (seperti rumpai laut dan sayuran hijau pekat), serta penambahan enzim penghadaman bagi menghalang pengurangan mineral yang diperlukan oleh badan.
3. Kalsium
Makanan kaya kalsium sangat penting bagi kesihatan tulang dan gigi, di samping memastikan jantung, otot dan saraf berfungsi dengan betul. Oleh kerana badan kita tidak dapat menghasilkan kalsium secara semulajadi, sumber kalsium yang diperlukan oleh badan diserap melalui sayuran kaya kalsium seperti tauhu, brokoli, bayam, dsb. Pengambilan makanan ringan, seperti bijan, flax seed, almond dan brazil nut, dapat meninggikan kadar mineral bagi menguatkan tulang dan menghalang penyingkiran tisu tulang.
Jika sekiranya anda mengambil suplemen kalsium, pastikan ia juga mengandungi mineral lain (seperti magnesium) supaya proses penyerapan kalsium akan lebih berkesan.
4. Magnesium
Kekurangan magnesium biasanya dialami oleh wanita yang telah putus haid (menopause). Oleh itu, diet yang kaya magnesium, seperti bayam, koko, kekacang, peas, nuts dan bijirin tanpa kisar, di samping pengambilan suplemen magnesium – kalsium dengan nisbah 1-2:1, adalah perlu bagi membantu otot dan saraf berfungsi dengan normal, mengekalkan sistem imun yang sihat dan membina tulang yang kuat.
5. Vitamin D3 (Cholecalciferol)
Vitamin D3 ialah hormon yang terbentuk secara semulajadi daripada sinar ultr-violet-B (UVB) matahari dan juga daripada makanan seperti cendawan shiitake, minyak hati ikan kod, ikan berlemak (salmon, sardin dan tenggiri).
Vitamin D3 diperlukan bagi kesihatan badan keseluruhannya. Selain daripada diperlukan bagi penyerapan kalsium, ia juga memainkan peranan penting dalam sistem imun, mengawal keradangan, dan melawan kebanyakan penyakit kronik, termasuk kanser.
Vitamin D2 (ergocalciferol) pula diperolehi daripada tumbuhan. Ginjal berfungsi menukar vitamin D3 dan D2 menjadi calcitrol, iaitu bentuk bahan aktif vitamin yang secara semulajadinya membantu mengekalkan tahap kalsium dalam badan. Calcitrol juga berkhasiat bagi melawan dan mencegah kanser.
Jika perlu mengambil suplemen vitamin D3, sebaik-baiknya pilihlah suplemen D3 yang sumbernya berasaskan makanan, bukannya yang diproses daripada bahan kimia tiruan.
6. Vitamin K
Vitamin K merupakan nutrien yang penting bagi kesihatan jantung dan tulang. Dua bentuk semulajadi yang diperlukan oleh badan ialah vitamin K1 dan K2. Vitamin K1 diperlukan bagi pembekuan darah manakala vitamin K2 diperlukan bagi mengawal atur kalsium dan memastikan kalsium diserap serta disimpan di dalam tulang bukannya tertinggal di dalam saluran darah dan tisu lembut yang lain. Vitamin K2 yang banyak tertinggal dalam darah boleh menyebabkan pengerasan saluran darah dan komplikasi yang lain.
Sumber vitamin K2 kebanyakannya daripada daging, hati, keju, kuning telur dan makanan ditapai. Vitamin K1 pula diperolehi daripada sayuran kale, bayam, brokoli, brussel sprouts, parsley dan lettuce (daun salad).
Kekurangan vitamin K (kedua-dua vitamin K1 dan K2) menyebabkan risiko penyakit berkaitan umur tua, seperti pengerasan arteri disebabkan oleh pengumpulan kalsium, tulang menjadi berliang (berpora) kerana kekurangan kalsium yang diserap.
Jika anda mempunyai risiko osteoporosis, sebaik-baiknya ambil suplemen yang mengandungi kedua-dua vitamin K1 dan K2 bagi mendapatkan khasiat yang maksimum.
7. Kerap bersenam
Selalu bersenam secara tetap dapat membantu menambah jisim tulang, menguatkan tulang, mencegah kemerosotan tisu tulang dan meningkatkan kekuatan otot. Senaman yang sesuai ialah aktiviti fizikal kurang lasak seperti tai chi, berjalan pantas, berenang, dsb.

1 comment:

Zikir Dan Doa Yang Baik Dibaca Pada Hari Arafah

  Walaupun umat Islam di Malaysia dan banyak lagi negara lain tidak dapat menghantar jemaah haji ke Tanah Suci, Mekah oleh kerana penularan ...