Tahukah anda bahawa skrin telefon bimbit pintar anda terdedah dan dipenuhi bakteria yang boleh menyebabkan mata merah, ceret-beret atau selesema. Ini kerana biasanya kita membawa dan meletakkan telefon bimbit di merata tempat yang kita pergi, termasuklah dalam tandas awam, restoran, pejabat-pejabat kerajaan, tempat rekreasi awam, pasaraya dan lain-lain tempat awam.
Ada kajian yang menunjukkan bahawa bakteria yang terdapat pada skrin telefon bimbit pintar sama dengan bakteria yang terdapat dalam najis manusia, dan ia mengandungi jumlah bakteria 2000 kali ganda lebih banyak daripada sampel air minum. Ini jelas menunjukkan pengguna telefon bimbit tidak menjaga kebersihan tangannya semasa memegang telefon ini di samping suka meletakkan telefon di atas permukaan kotor.
Gambar di bawah ini menunjukkan perbandingan bakteria yang terdapat di skrin telefon bimbit dengan bakteria yang terdapat di pemegang pintu tandas, bonggol pintu dan di atas mangkuk tandas….. Bayangkan!!!
Jadi, bagaimana cara untuk membersihkan kuman/bakteria tersebut?
Sesetengah orang menggunakan alkohol, walaupun berkesan membunuh kuman tetapi alkohol ini boleh merosakkan skrin telefon bimbit. Begitu juga jika menggunakan pencuci tingkap juga boleh merosakkan skrin telefon bimbit. Cara lain ialah dengan lap menggunakan kain kapas lembut yang lembab. Cara ini lebih baik daripada menggunakan alkohol atau bahan kimia pencuci tingkap. Terdapat juga pengeluar telefon bimbit yang mencadangkan penggunaan sinar UV bagi membersihkan kuman di skrin telefon bimbit keran ia lebih berkesan tetapi kaedah ini agak mahal.
Oleh itu, cara yang paling mudah dan murah ialah dengan memastikan telefon bimbit tidak diletakkan merata-rata di permukaan yang kurang bersih. Jika skrin telefon bimbit terkena kotoran, cepat-cepatlah dibersihkan atau dilap dengan kain lembab yang bersih. Selain itu, pastikan tidak memegang telefon bimbit jika tangan kotor, semasa makan atau minum. Pastikan basuh tangan selepas menggunakan telefon bimbit sebelum makan atau memegang makanan atau menyapu mata supaya bakterianya tidak merebak.
No comments:
Post a Comment