Saturday, April 16, 2016

Kempen Membeli Produk Keluaran Bumiputera



Apabila kita membeli sesuatu barangan keperluan, ada kalanya kita menutup sebelah mata, tidak pernah peduli dengan label ‘Keluaran Bumiputera’, ‘100% Produk Bumiputera’ atau ‘100% Keluaran Bumiputera’. Sebaliknya, apa yang dicari pastinya label ‘Halal’, agar barangan yang dibeli itu dijamin halal dari segi pembuatan dan pengeluarannya dan boleh digunakan tanpa ragu-ragu. Namun, tahu kah anda tentang kepentingan membeli produk keluaran Bumiputera ini? Bersediakah anda untuk menyahut seruan kerajaan dan cuba membantu usahawan Bumiputera negara ini dengan membeli produk keluaran Bumiputera sendiri?

Galakan Untuk Produk Keluaran Bumiputera

Usahawan merupakan pemangkin kepada pembangunan dan pertumbuhan ekonomi sesebuah negara. Maju dan mundurnya ekonomi sesebuah negara adalah bergantung kepada usahawan yang dinamis dan berpandangan jauh. Usahawan juga berperanan untuk meningkatkan pendapatan negara dan meninggikan taraf hidup masyarakat secara keseluruhan.

Di Malaysia, terdapat pelbagai cara yang telah dilakukan oleh kerajaan Malaysia, untuk membantu usahawan Bumiputera dalam memperkembangkan perniagaan yang mereka usahakan. Beberapa strategi pemasaran telah dirancang dan disusun untuk memperkenalkan produk Bumiputera ini di mata masyarakat tempatan dan juga di mata dunia, antaranya dengan mengadakan ekspo-ekspo produk halal seperti HALFEST 2012 – ekspo halal yang terbesar di Malaysia. Di samping itu telah juga diadakan ekspo usahawan seperti Ekspo Usahawan Groom Big. Malahan di peringkat nasional sendiri telah dirancang aktiviti yang sama seperti Ekspo Usahawan Bumiputera Pulau Pinang 2012 dan Kempen 1Malaysia 1Halal di negeri Johor. Matlamat utama ekspo dan pameran ini sudah tentu untuk memberi peluang kepada para usahawan Bumiputera mempamerkan dan membuat jualan produk-produk yang berkualiti hasil keluaran masing-masing. Selain itu, diatur juga sesi padanan perniagaan antara usahawan dan peniaga bertujuan untuk membolehkan usahawan Bumiputera ini tadi meluaskan jaringan perniagaan dan mendapat laluan pemasaran yang betul. Kerajaan juga melalui agensi-agensi kerajaan ada menyediakan tempat pameran untuk dijadikan ruang bagi usahawan Bumiputera ini tadi mempamerkan produk-produk keluaran Bumiputera mereka.

Untuk memastikan usahawan Bumiputera ini memiliki jati diri, berdaya saing dan tidak ketinggalan di belakang usahawan tempatan yang lain, kerajaan sendiri telah menganjurkan pelbagai seminar keusahawanan dengan bantuan beberapa agensi kerajaan lain seperti Majlis Amanah Rakyat (Mara), Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Lembaga Kemajuan Perindustrian Malaysia (MIDA), Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC) , SME Bank, Bank Pembangunan dan lain-lain lagi. Seminar ini diadakan bertujuan untuk mendedahkan usahawan Bumiputera ini dengan ‘trend’ pasaran terkini, cara meningkatkan kualiti produk dan pembungkusan, serta memperkasakan kemahiran pemasaran mereka dalam mempromosikan produk dan perkhidmatan dengan lebih efektif. Usahawan juga telah diajar bagaimana untuk mengembangkan rangkaian perniagaan mereka di peringkat domestik dan antarabangsa melalui bantuan yang disalurkan.

Daripada segi suntikan modal pula, kerajaan turut memastikan usahawan Bumiputera ini mendapat modal yang mencukupi dengan menyediakan bantuan kewangan seperti skim pinjaman dan dana kewangan dalam bentuk geran peruntukan, pinjaman dan insentif bagi mereka yang berada di sektor perindustrian dan perusahaan. Terdapat juga agensi-agensi kerajaan yang membantu dengan menyalurkan bantuan dana tersebut kepada usahawan yang terpilih. Walau bagaimanapun, ada juga usahawan Bumiputera yang menceburi dalam dunia perniagaan secara bersendirian dahulu untuk membuktikan kemampuan diri dan daya saing syarikat mereka sebelum berupaya untuk memohon skim dan dana pinjaman kewangan ini.

Perkembangan dunia Internet telah banyak membantu dalam mempromosi produk keluaran syarikat Bumiputera ini. Terdapat portal-portal kerajaan dan portal individu yang menjadi hab untuk mengumpulkan maklumat tentang syarikat dan produk yang dikeluarkan oleh usahawan Bumiputera ini. Hab-hab ini juga bertindak sebagai perantara antara jaringan usahawan Bumiputera yang berdaftar ini dengan masyarakat. Dengan hanya mendaftar melalui portal ini, kesemua ahli-ahli yang berdaftar sebagai usahawan akan sentiasa diberitahu tentang program-program anjuran kerajaan negeri dan maklumat-maklumat usahawan dari masa ke semasa. Masyarakat juga akan mendapat pendedahan tentang jaringan produk usahawan Bumiputera ini yang berada dalam pasaran. Contoh portal ini adalah sepertihttp://usahawan.selangor.gov.myhttp://www.upub.sarawak.gov.my dan http://mecd.skali.my.

Terdapat juga dalam kalangan usahawan Bumiputera ini yang cerdik IT dan telah menjadikan dunia Internet sebagai salah satu medium pemasaran. Mereka ini telah membina sendiri laman web atau blog masing-masing yang bertujuan untuk mempromosikan barangan dan perkhidmatan yang diberikan oleh syarikat mereka. Ada juga di antara laman blog ini yang menyediakan ruangan ‘chat’ untuk mereka yang ingin berhubung atau membuat sebarang pertanyaan mengenai produk yang dipasarkan oleh usahawan tersebut.

Media massa juga memainkan peranan penting dalam mempromosikan barangan keluaran Bumiputera. Media massa di sini merujuk kepada kedua-dua media elektronik dan media cetak. Kedua-dua ini digunakan agar masyarakat mendapat pendedahan yang sewajarnya tentang produk Bumiputera dalam bentuk iklan di kaca TV dan juga di dada akhbar. Iklan-iklan yang kreatif ini mampu menarik minat masyarakat untuk membeli produk keluaran Bumiputera. Ada juga segmen wawancara seperti yang terdapat dalam rancangan ‘Wanita Hari Ini’ yang menjemput usahawan-usahawan ini datang ke konti TV untuk ditemu ramah. Hal ini tentunya membuka peluang bagi usahawan yang dijemput, sekali gus mereka berpeluang mendapat ‘airtime’ untuk mempromosi produk keluaran syarikat mereka. Bagi usahawan yang berkemampuan, maka bolehlah membeli halaman yang terdapat dalam akhbar tempatan untuk mempromosikan produk mereka. Melalui media massa ini juga, rakyat akan berpeluang untuk mendapat maklumat yang tepat dan lebih terkini berkaitan produk-produk Bumiputera yang terdapat di pasaran.

Selain daripada galakan daripada media massa dan pihak kerajaan sendiri, anda juga seharusnya memberi galakan kepada diri anda sendiri untuk memilih dan membeli produk Bumiputera yang ada kalanya setanding dengan barangan import. Jika anda merupakan ibu atau bapa dan mempunyai anak-anak yang meningkat dewasa, jadilah contoh kepada anak-anak anda dengan menggunakan barangan produk Bumiputera. Anak-anak akan mula mengikuti jejak langkah ibu bapa, dan seharusnya ibu bapa perlu menunjukkan teladan yang baik kepada anak-anak.

Kelebihan dan Contoh Produk Bumiputera

Antara kelebihan produk Bumiputera sudah tentu atas jaminan Halal nya. Tanpa ragu-ragu produk Bumiputera yang berasaskan produk makanan boleh dimakan tanpa rasa was-was. Dari segi harga pula, terdapat produk Bumiputera yang menawarkan harga yang kompetitif dan ada yang lebih murah dengan jaminan kualiti yang setanding dengan produk lain yang terdapat dalam pasaran.

Salah satu contoh produk Bumiputera yang boleh dibanggakan adalah produk Adabi. Adabi Consumer Industries Sdn. Bhd. atau lebih dikenali sebagai Adabi merupakan antara syarikat yang mengeluarkan produk barangan keperluan keluaran Bumiputera yang terkenal. Dalam masa lebih dua dekat, produk barangan keperluan ini telah berkembang dan dipelbagaikan demi memenuhi kemahuan masyarakat Malaysia. Adabi membekalkan produk makanan yang 100% Halal dan berkualiti tinggi dan pernah dianugerahkan Superbrand pada tahun 2002 oleh Majlis Superbrands Malaysia. Adabi juga telah berjaya menembusi pasaran negara luar dan Indonesia merupakan salah satu daripada negara itu.

Noor Arfa Batik pula adalah merupakan produk usahawan Bumiputera yang mengetengahkan industri pakaian batik negara ke mata dunia. Perniagaan yang pada mulanya dibuat secara kecil-kecilan itu kini telah diperluaskan dan hingga kini sebanyak 11 cawangan di seluruh negara Malaysia telah dibuka. Noor Arfa Batik telah berjaya menerima beberapa anugerah di peringkat kebangsaan dan antarabangsa, antaranya Anugerah ‘BRANDS LAUREATE’ Asia Pacific Oleh Brands Laureate dan Anugerah Usahawan Korporat Sempena Sambutan Anugerah Usahawan MARA 2011 Peringkat Kebangsaan.

Selain contoh di atas, terdapat juga dalam kalangan usahawan Bumiputera ini yang mempunyai perniagaan berskala kecil yang mengusahakan perniagaan berasaskan produk makanan, tekstil, elektrik dan elektronik, herba dan perubatan tradisional, kosmetik, teknologi maklumat dan peruncitan.

Halangan dan Cabaran

Meskipun pelbagai cara telah dibuat oleh kerajaan untuk mempromosikan barangan keluaran Bumiputera, namun terdapat kajian yang mengkaji dan mendapati peratusan barangan produk Bumiputera yang dijual di cawangan-cawangan hypermarket di sekitar Malaysia amatlah kecil jika dibandingkan dengan produk tempatan yang lain. Kajian juga mendapati bahawa majoriti produk usahawan Bumiputera yang dijual ini pula adalah merupakan produk makanan.

Dipercayai terdapat beberapa halangan dan cabaran yang menjadi isu penting yang terpaksa dihadapi oleh usahawan Bumiputera di negara ini, antaranya syarat kemasukan yang ketat, faktor pemasaran antaranya kekurangan modal, kekurangan tenaga kerja, kapasiti, bahan mentah, teknologi serta pengangkutan. Hal ini menyukarkan lagi usahawan Bumiputera untuk memasarkan produk mereka berbanding dengan usahawan lain di Malaysia. Ada juga kajian yang mengaitkan sikap usahawan itu sendiri dalam menentukan kejayaan perniagaan mereka. Antara sikap usahawan Bumiputera yang biasanya dilihat adalah seperti tidak berani mengambil risiko, pasif, kurang pengetahuan dalam bidang kewangan dan hanya tahu meningkatkan harga demi mendapatkan keuntungan yang lebih. Budaya niaga keusahawanan dan kesanggupan menanggung risiko masih belum dihayati sepenuhnya oleh usahawan Bumiputera. Ramai usahawan Bumiputera di negara ini juga dilihat masih mengamalkan cara lama dan konvensional dalam perniagaan yang mengakibatkan golongan usahawan Bumiputera ini masih ketinggalan dan berdepan kesukaran untuk bersaing dengan usahawan bukan Bumiputera lain.

Kesimpulan

Kerajaan Malaysia dengan bantuan beberapa agensi kerajaan yang lain telah bertungkus lumus mengatur strategi untuk menggalakkan pembeli membeli barangan keluaran Bumiputera. Dalam bajet yang dibentangkan pada setiap tahun, pasti ada peruntukan dalam bentuk insentif dan geran khas untuk usahawan di Malaysia. Beberapa aktiviti seperti seminar keusahawanan juga telah dirangka untuk membina jati diri dan semangat keusahawanan dalam diri usahawan Bumiputera ini.

GLC juga sedikit sebanyak telah menyumbang kepada peningkatan penyertaan usahawan Bumiputera dalam bidang ekonomi dengan memberi kontrak kerja serta perkhidmatan kepada usahawan Bumiputera. Contohnya PETRONAS, yang telah membuka ruang kepada golongan Bumiputera untuk membuka stesen minyak dan Kedai Mesra. Begitu juga dengan syarikat GLC yang lain yang banyak memberi peluang perniagaan kepada usahawan Bumiputera.

Namun segala-galanya terletak pada tangan pengguna. Anda sebagai pengguna boleh melakukan perubahan. Ubah sikap anda dan mula menerima produk keluaran Bumiputera. Buka persepsi minda kita agar lebih bijak membeli. Jika mutu yang dicari, ada produk yang mutunya setanding produk import. Sokong usahawan Bumiputera. Beli produk keluaran Bumiputera.


Kempen Membeli Produk Keluaran Bumiputera. Support Produk Bumiputera DISINI

No comments:

Post a Comment

Zikir Dan Doa Yang Baik Dibaca Pada Hari Arafah

  Walaupun umat Islam di Malaysia dan banyak lagi negara lain tidak dapat menghantar jemaah haji ke Tanah Suci, Mekah oleh kerana penularan ...