Malaysia menduduki tempat ke empat dari tujuh negara di rantau ini dari segi tahap kegembiraan di tempat kerja, menurut kajian Indeks Kegembiraan Pekerjaan 2017 yang dijalankan oleh JobStreet.com.
“Malaysia merekodkan 4.65 mata daripada skala 10 mata dengan sejumlah 10,143 pekerja Malaysia yang menyertai kajian tersebut.
“Lebih 58 peratus pekerja yang menyertai kajian itu mempunyai rasa neutral hingga gembira di tempat kerja mereka," kata kajian itu.
Kajian itu turut mendapati lokasi tempat kerja, rakan sekerja yang baik dan reputasi syarikat merupakan tiga faktor utama yang menyumbang kepada kegembiraan di tempat kerja.
“Kajian mendapati pekerja dalam sektor awam, makanan dan minuman, serta industri perubatan adalah paling gembira dengan tempat kerja mereka.
“Dari segi pengkhususan, pekerja yang gembira adalah di bahagian jualan, kejuruteraan, dan penjagaan kesihatan,” kata JobStreet dalam satu kenyataan.
Sementara itu, antara faktor yang menyumbang kepada rasa tidak gembira pekerja termasuk kepimpinan yang lemah, pembangunan kerjaya kurang dan peluang latihan rendah.
“Kami lihat pembangunan kerjaya dan peluang latihan sebagai aspek yang tidak boleh diabaikan. Trend sama turut didapati dalam laporan 10 Syarikat Utama JobStreet yang mana pekerja menekankan dua aspek ini," kata laman carian kerja atas talian itu.
Kajian itu turut mendapati 29 peratus responden merasakan kurang habuan termasuk peningkatan gaji yang sedikit.
“Sebanyak tujuh peratus responden berkata kurang penghargaan dari syarikat merupakan penyumbang kepada rasa tidak gembira mereka," jelas kenyataan itu.
Dalam kajian itu, Indonesia menduduki tempat pertama tahap gembira di tempat kerja (5.27 mata), Vietnam (5.19), dan Filipina (4.97 mata) di tempat ketiga.
Manakala Thailand di tempat kelima diikuti Hong Kong dan Singapura.
Sejumlah 35,513 pekerja terlibat dalam kajian itu di tujuh buah negara merentas 20 buah industri.
No comments:
Post a Comment