KUALA LUMPUR: Kuala Lumpur berada di kedudukan keenam destinasi pilihan dengan 13.79 juta pelancong asing direkodkan pada tahun 2018.
Menurut laporan tahunan Indeks Destinasi Global Mastercard yang mencerap data bagi 200 bandar di seluruh dunia, kaji selidik ini sekali gus meletakkan ibu negara Malaysia ini mengatasi beberapa bandar maju lain antaranya New York, Tokyo dan Istanbul.
Sementara itu, tangga teratas kekal milik Bangkok untuk enam tahun berturut-turut dengan 22.8 juta pelancong dicatatkan tahun lalu.
Ia diikuti Paris dan London serta Dubai masing-masing mencatatkan 19.10, 19.09 dan 15.93 juta pelancong.
Bagi tahun ini pula, Kuala Lumpur diunjurkan berada pada tangga kedua tertinggi setakat ini dengan pertumbuhan sebanyak 9.87 peratus kemasukan pelancong antarabangsa.
Ia diikuti Osaka, Jepun dengan 9.24 peratus manakala Tokyo berada di kedudukan tertinggi dengan 10.02 peratus.
Menurut Mastercard, purata pelancong antarabangsa di Asia Pasifik terus mencatatkan peningkatan terbesar sejak 2009. Ia meningkat kepada 9.4 peratus dibandingkan dengan pelancong dari Eropah.
Bagi perbelanjaan pelancong antarabangsa semalaman pula, jumlah tertinggi dicatat di Dubai dengan AS$30.82 bilion (kira-kira RM130 bilion), diikuti Mekah AS$20.09 bilion (kira-kira RM84 bilion), Bangkok AS$20.03 bilion (kira-kira RM84) dan London AS$16.47 bilion (kira-kira RM70 bilion).
Kuala Lumpur berada pada kedudukan ke-11 dengan perbelanjaan pelancong antarabangsa sebanyak AS$11.23 bilion (kira-kira RM47 bilion) pada tahun lalu.
Laporan tahunan Indeks Destinasi Global Mastercard oleh Mastercard menggunakan data daripada pihak ketiga dan dianalisis untuk mengenal pasti perangkaan pada 2018 serta unjuran bagi tahun 2019.
No comments:
Post a Comment