Mari kita cuba amalkan nasihat berguna daripada YBhg Menteri Kesihatan Malaysia bagi menjadikan kita seorang yang sihat. Jika tak mampu nak amalkan semua, jangan tinggalkan semua….
Guna minda kawal selera makanOleh Liow Tiong Laibhnews@bharian.com.my2012/03/07
Lima peraturan patut dipatuhi untuk jadikan badan sihatBARU-BARU ini saya menghadiri majlis sosial yang mana hidangan bufet pelbagai jenis juadah disediakan untuk tetamu. Saya gembira melihat makanan yang dihidangkan seperti sayur-sayuran kukus, ikan bakar dan buah-buahan segar, nampak berkhasiat.Bagaimanapun, saya agak kecewa melihat sebilangan tetamu melonggokkan makanan yang bertimbun dalam pinggan mereka dan berulang-alik untuk menambah buat kali kedua dan ketiga!Oleh kerana majlis itu berlangsung pada waktu malam, terlintas dalam fikiran saya bahawa kebanyakan hadirin mungkin akan pulang terus ke rumah selepas itu dan terus masuk tidur, justeru, membiarkan semua kalori yang diambil bertukar menjadi lemak.Saya teringat pada kempen Pemakanan Sihat 88888 yang saya lancarkan ketika perayaan Tahun Baru Cina baru-baru ini yang membawa mesej mengenai lima peraturan untuk gaya hidup sihat.Pada musim perayaan ada kecenderungan untuk makan berlebihan, terutama juadah istimewa yang tidak ada pada hari-hari biasa. Walaupun kita mungkin nampak ‘sejahtera’, malangnya bukan dengan cara yang betul kerana badan kita semakin ‘melebar.’Berdasarkan pemerhatian saya pada majlis itu, nampaknya peraturan kempen itu tidak meninggalkan kesan dalam minda tetamu. Mungkin sebilangan daripada kita sudah lupa memandangkan perayaan Tahun Baru Cina sudah berlalu lebih sebulan. Oleh itu, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengingatkan kembali mengenai kempen itu.Peraturan pertama kempen itu yang terlintas dalam fikiran saya apabila memerhatikan tetamu pada majlis itu ialah, ‘Berhenti makan bila terasa kira-kira 80 peratus kenyang’, seperti pepatah Melayu, ‘Makan apabila lapar, berhenti sebelum kenyang.’Pada kebiasaannya, kita akan makan sehingga kenyang. Mengapakah kita ‘mendera’ diri sendiri? Jika kita mengambil makanan dengan jumlah yang cukup untuk memenuhi keperluan nutrien harian, kita akan dapat mengawal pengambilan kalori.Saya sedar perkara ini bukan mudah dilakukan memandangkan pelbagai jenis makanan ada di mana-mana. Tetapi kita boleh mengubah cara pemikiran dan menerima hakikat bahawa kita tidak perlu makan semua yang tersaji di hadapan kita. Kita harus menggunakan minda, bukan mengikut nafsu perut untuk mengawal selera makan.Bersenam atau beriadah ialah satu perkara yang memerlukan kesungguhan dan disiplin yang kuat. Saya telah mendidik diri sendiri supaya melakukannya sejak beberapa tahun lamanya dan sekarang sudah menjadi tabiat saya untuk bermain badminton setiap pagi selama 30 hingga 45 minit bersama anak lelaki atau jiran saya.Bagaimanapun jika idea untuk bersenam atau beriadah selama 30 minit setiap hari rasanya tidak dapat dilakukan, mungkin ia dapat membantu jika dilakukan sesuatu yang lebih mudah diterima minda.Sebab itulah saya cadangkan peraturan kedua iaitu berjalan sekurang-kurangnya 8,000 langkah sehari (sungguhpun 10,000 langkah lebih baik). Berjalan adalah amalan harian yang dilakukan sama ada di rumah, tempat kerja atau pada waktu lapang.Jika boleh, pilih untuk berjalan kaki bukan memandu. Pergi berjalan di sekeliling pejabat atau kawasan, bukan berehat untuk menghisap rokok. Jika anda mahu berbincang dengan rakan atau ketua pejabat, berjalan ke mejanya, jangan telefon atau menghantar e-mel. Di bangunan kementerian Kesihatan, ada satu papan tanda di lif yang mengingatkan kakitangan supaya menggunakan tangga. Perkara kecil seperti ini akan mendatangkan manfaat.Peraturan ketiga ialah minum air sebanyak lapan gelas setiap hari, kerana air amat penting untuk mengnyahkan toksin dalam badan, membekalkan nutrien pada sel-sel dan menjamin fungsi badan yang sihat.Kebanyakan daripada kita gagal mengamalkan peraturan minum lapan gelas air (atau lebih kurang dua liter) ini. Saya dapati minum air segelas dua sebaik saja bangun daripada tidur sangat membantu. Untuk sepanjang hari, cuba amalkan minum air biasa dan bukan minuman manis seperti teh atau kopi.Peraturan keempat ialah makan malam sebelum jam 8 malam. Ini mungkin sukar dilakukan kerana jadual kerja kita yang sentiasa sibuk, tetapi anda akan dapati bahawa amalan ini membantu penghadaman makanan dengan lebih sempurna sebelum tidur.Ada seseorang memberitahu saya bahawa jika dia makan sebelum jam 8 malam, dia akan berasa lapar menjelang tengah malam, sebelum dia masuk tidur! Jawapan saya ialah dia harus tidur lebih awal – dia bukan saja dapat mengelakkan berasa lapar, malah akan dapat tidur sekurang-kurangnya lapan jam untuk menyegarkan kembali minda dan tubuhnya.Peraturan terakhir ialah sesuatu yang saya sendiri dapati sukar dipatuhi. Ini kerana tugas dan tanggungjawab saya sebagai Menteri Kesihatan, Timbalan Presiden MCA dan wakil rakyat Bentong membuatkan saya sentiasa sibuk sehingga larut malam dan saya tidak cukup rehat seperti yang diperlukan.Saya beritahu diri sendiri bahawa mematuhi empat daripada lima peraturan itu lebih baik daripada tidak langsung, tetapi saya berharap pembaca dapat melakukan yang lebih baik daripada saya untuk patuh kepada semua lima peraturan ini!Ingat, kita semua hendaklah mengamalkan gaya hidup sihat, sepanjang tahun. Selamat sejahtera dan hidup sihat semua!Datuk Seri Liow Tiong Lai ialah Menteri Kesihatan Malaysia. Ikuti beliau melalui blog (www.liowtionglai.com/blog) atau Twitter (@liowtionglai)
No comments:
Post a Comment