Riak ialah sifat menunjuk-nunjukkan kelebihan dan kebaikan dirinya kepada orang lain.
Sabda Nabi SAW: (ertinya) “Allah tidak akan menerima amalan yang ada di dalamnya riak walau sebesar biji sawi.” (HR Ibn Jarir al-Tabari – Hadis Mursal)
Riak boleh dibahagikan kepada dua jenis, iaitu:
1. Riak tulen iaitu untuk mendapatkan manfaat dunia dengan amalan akhirat.
2. Riak yang kabur iaitu untuk mendapatkan manfaat dunia dan juga manfaat dari amalan akhirat itu.
Kedua-dua jenis riak tersebut menggugurkan pahala.
Cintakan kemegahan dan nama dengan tujuan agar nama baik dan terpuji bagi dirinya itu tersebar luas. Sifat ini adalah tercela dan memutuskan jalan kepada Allah, kecuali bagi orang yang telah dijadikan terkenal dan masyhur oleh Allah untuk menyebarkan agama-Nya. Tidak ada orang yang akan bersih dari sifat cintakan kemegahan ini kecuali golongan as-siddiqin.
Nabi SAW bersabda: (ertinya) “Seseorang itu sudah cukup dikira sebagai jahat bila ia terkenal kerana agamanya atau dunianya, kecuali orang yang dipelihara oleh Allah.”(HR at-Tibrani dan al-Baihaqi)
Abu Yazid al-Bustami berkata: “Aku terus menerus dan bersungguh-sungguh beribadat kepada Allah selama tiga puluh tahun, maka aku nampak seorang berkata kepadaku: “Ya Abi Yazid! Khazanah-Nya penuh dengan ibadat, jika engkau mahu sampai kepada-Nya maka wajiblah engkau merasakan benar-benar hina dan sentiasa memerlukan-Nya.”
Al-Mutawalli berkata; “Orang yang fakir (yang merasa sentiasa perlukan Allah) di dunia ini adalah seperti orang yang berada di dalam tandas, jika ditutup pintunya ia dapat qada’ hajat dan keluar dari tandas itu dalam keadaan tertutup (berpakaian) dan tidak ada sesiapa yang dapat melihat auratnya. Jika pintu tandas itu dibuka, maka terbukalah auratnya, buruklah namanya dan semua orang yang melihatnya melaknatnya.”
Tegasnya, bila hati seorang salik itu telah cenderung kepada cintakan pangkat dan kepimpinan maka terputuslah ia dari jalan Allah itu. Wallahu a’lam.
Sumber: Buku Membentuk Jiwa Sufi
No comments:
Post a Comment