Sejak pengumuman pelaksanaan sekatan pergerakan penuh (lockdown) yang bermula pada 1 Jun lalu, ramai rakyat Malaysia mula bimbang dan menghadapi tekanan pada waktu penuh cabaran ini.
Ketua Pegawai Runcit Tenaga Nasional Berhad (TNB), Datuk Ir. Megat Jalaluddin Megat Hassan berkata, tempoh itu juga memperlihatkan penggunaan elektrik mungkin meningkat rentetan ramai di antara kita yang lebih banyak menghabiskan masa di kediaman masing-masing.
Oleh itu, Megat Jalaluddin turut berkata, pelanggan mempunyai pilihan untuk memantau dan menguruskan penggunaan peralatan elektrik di kediaman mereka bagi mengelakkan pembaziran tenaga.
“Untuk lebih 1.2 juta pengguna TNB yang mempunyai meter pintar, mereka boleh memanfaatkan maklumat harian mengenai penggunaan elektrik yang tersedia di aplikasi myTNB bagi memantau penggunaan elektrik di kediaman,” katanya.
Bagi mengurangkan peningkatan, pelanggan Tenaga Nasional Berhad (TNB) dinasihati untuk mengamalkan langkah-langkah kecekapan tenaga berikut:
- Mematikan komputer selepas digunakan dan berhenti mengecas komputer riba selepas bateri dicas sepenuhnya. Pastikan suis dimatikan selepas penggunaan aksesori seperti pembesar suara, mesin pencetak dan pengimbas;
- Memastikan semua pintu, tingkap dan laluan udara ditutupkan sepenuhnya semasa menggunakan alat pendingin hawa supaya udara sejuk tidak keluar dari bilik. Gunakan kipas untuk membantu menyejukkan bilik supaya termostat alat pendingin hawa boleh dilaraskan lebih tinggi (antara 24 hingga 26 darjah Celsius) bagi penggunaan elektrik yang cekap;
- Tetapkan pemasa untuk mematikan alat pendingin hawa bagi mengurus dan menjimatkan tenaga. Sebelum tidur, cuba tetapkan ia untuk ditutup beberapa jam selepas digunakan untuk penggunaan elektrik yang lebih cekap;
- Bersihkan penapis alat pendingin hawa untuk mengoptimumkan proses penyejukan. Habuk pada penapis mengurangkan peredaran udara dan menjejaskan kecekapan alat pendingin hawa;
- Manfaatkan cahaya semula jadi bagi mengurangkan kos penggunaan lampu;
- Penggunaan air panas semasa mencuci pakaian (dengan muatan penuh) menggunakan lebih banyak tenaga kerana ia mengambil masa untuk air dipanaskan;
- Apabila menggunakan ketuhar elektrik, membuka dan menutup pintu ketuhar dengan kerap tidak akan mempercepatkan masa hidangan dimasak bahkan ia akan menyebabkan penggunaan elektrik yang lebih banyak untuk mengekalkan suhu ketuhar;
- Mematikan suis dan menanggalkan plag peralatan elektrik apabila tidak digunakan. Televisyen, kotak dekoder (set-top boxes) seperti Astro dan modem yang tidak dimatikan boleh meningkatkan penggunaan elektrik dalam jangka masa yang panjang; dan
- Masa mandian yang panjang dengan alat pemanas air menggunakan lebih banyak tenaga untuk memanaskan air secara berterusan.
Sumber: Awani
No comments:
Post a Comment